
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam,
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
LEBIH dari 1400 tahun yang lalu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
telah menyebutkan melalui hadits Baginda mengenai anjing dan hukum
bejana yang dijilat anjing. Begitu juga tentang tidak adanya keberkatan
bagi rumah yang di dalamnya ada anjing. Berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
inilah perkara mengenai kenajisan anjing bukanlah satu yang baharu dan
direka-reka oleh para ulama. Ia adalah ketetapan hukum yang berkait
dengan kebersihan dan kesucian yang merupakan perkara utama dalam
kehidupan seorang muslim. Kebersihan dan kesucian itu ada kaitan dengan
ibadat.
Menghukumkan anjing sebagai najis bukan bererti
membenarkan orang Islam untuk memukul, menyeksa dan membunuhnya. Islam
menuntut umatnya untuk berbuat baik kepada binatang kerana binatang juga
adalah makhluk Allah Subhanahu wa Ta‘ala termasuk anjing
sekalipun ia binatang yang najis. Namun, ini tidak bermakna kita
dibolehkan memilikinya tanpa tujuan dan keperluan tertentu. Bahkan Islam
telah menetapkan peraturan dan syarat-syarat dalam perkara pemeliharaan
atau pemilikan anjing ini.
Kenajisan Anjing
Selain babi, anjing juga merupakan binatang yang tergolong dalam najis mughallazhah,
iaitu najis berat. Kenajisannya tidak hanya terbatas kepada air liur
atau kotorannya sahaja bahkan ia merangkumi keseluruhan anggota tubuh
badannya termasuk mulut, bulu, peluh dan sebagainya.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Penyucian
bejana setiap seorang dari kamu, apabila anjing menjilatnya, adalah
dengan mencucinya sebanyak tujuh kali cucian, salah satunya (cucian air
yang bercampur) dengan tanah.”
(Hadits riwayat Muslim)
Jika dilihat pada perkataan
pada awal permulaan matan hadits yang bermaksud penyucian nyatalah
menunjukkan bahawa anjing adalah najis. Hanya benda atau zat yang
bernajis sahaja perlu kepada penyucian.
Apabila disebut
perbuatan ‘jilat’, maka ia berkaitan dengan air liur, anggota lidah dan
mulut. Perlu diingat, walaupun di dalam hadits hanya disebutkan cucian
untuk ‘jilatan’ sahaja, namun kenajisan ini merangkumi seluruh tubuh
badan anjing kerana sifat anjing yang gemar menjilat-jilat tubuh
badannya. Apabila disebut air liurnya sebagai najis, maka begitulah juga
dengan peluh yang keluar dari seluruh badannya juga adalah najis. Oleh
itu, sesiapa yang mengatakan bahawa kenajisan anjing tersebut
sebagaimana dalam hadits hanya terbatas pada air liur sahaja adalah
pendapat dan tanggapan itu salah.
Najis merupakan kotoran yang
menyebabkan sembahyang tidak sah. Bila disebut pula kenajisan anjing ia
juga menyentuh perkara kebersihan. Kebersihan pula melibatkan
kesihatan. Kenajisan anjing bukan sahaja kotor tetapi juga dapat
mengundang pelbagai penyakit yang menjejaskan kesihatan diri kita.
Menurut
kajian para ilmuwan Sains Perubatan terkini, pelbagai penyakit boleh
terjadi dengan sebab menyentuh anjing. Ia boleh jadi disebabkan oleh
virus, bakteria, fungus, protozoa, cacing, serangga atau hama yang
terdapat di dalam atau pada badan anjing.
Parasit yang ada
pada anjing boleh sahaja berpindah kepada manusia yang mengusap bulu
anjing atau tersentuh najis anjing. Kutu-kutu anjing pula hinggap pada
tempat-tempat anjing biasa berehat di dalam sesebuah rumah. Jadi jika
anjing tersebut tiada, kutu-kutu itu pula akan melompat ke badan manusia
untuk mencari makan. Sebagai contoh, di kawasan tropika, berjalan kaki
tanpa kasut di atas pasir atau tanah yang pernah dicemari oleh najis
anjing boleh membawa kepada jangkitan cacing kerawit anjing.
Antara penyakit yang boleh disebabkan oleh anjing ialah:
(i) Rabies:
Penyakit anjing gila yang disebabkan oleh virus yang menjangkiti sistem
saraf. Ia terdapat pada air liur anjing dan boleh berjangkit melalui
gigitan atau jilatan pada rekahan kulit manusia. Virus itu pula akan
merebak dari luka melalui saluran saraf hingga ke otak. Ini menyebabkan
radangan, kekejangan otot dalam kerongkong dan pelbagai gejala lain. Ia
adalah penyakit yang boleh membunuh dengan nisbah peratus iaitu 100%.
(ii) Hydatidosis:
Serangan parasit yang terdiri daripada anak-anak cacing pita, digelar
sebagai Echinococcus Granulosus, yang ada pada anjing. Ia biasa
menyerang hati, paru-paru, otot atau otak yang perlahan-lahan
menumbuhkan lebaman-lebaman cecair (cysts). Kehadirannya pada otak boleh
mengakibatkan buta dan lumpuh. Lebaman cecair yang pecah pula boleh
mengakibatkan tindak balas alergi seperti demam dan Urticaria (ruam
gatal).
Hukum Menyentuh Anjing
Apabila
seseorang menyentuh atau terkena mana-mana anggota anjing sama ada
salah satunya (orang tersebut atau anjing tersebut) atau kedua-duanya
(orang dan anjing itu) dalam keadaan basah, wajiblah disertu bahagian
yang terkena najis itu sebanyak tujuh kali cucian (dengan air), salah
satunya dicampur dengan tanah.
Begitu juga apabila sesuatu
menjadi najis disebabkan terkena atau tersentuh anjing, seperti
seseorang yang melihat seliparnya dijilat-jilat anjing, maka selipar
tersebut nyata najis dan wajib dibersihkan terlebih dahulu dengan cara
yang disyari‘atkan untuk membersihkan najis mughallazzah iaitu disertu sebelum dipakai semula. Ini ada dinyatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah:
Ertinya:
“Dan apa yang menjadi najis kerana bersentuhan sesuatu daripada anjing
hendaklah dicuci sebanyak tujuh kali cucian, salah satunya dengan (air
yang bercampur) tanah.”
Hukum Memiliki Anjing
Menurut
Imam an-Nawawi Rahimahullah memiliki anjing tanpa ada tujuan dan
keperluan hukumnya adalah haram. Ini berdasarkan hadits yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa
memiliki anjing bukan anjing bagi tujuan berburu, dan bukan tujuan
menjaga binatang ternak, bukan juga bagi tujuan menjaga ladang, maka
yang demikian itu menyebabkan pahalanya berkurangan dua qirath (satu
qirath seperti gunung uhud) pada setiap hari.”
(Hadits
riwayat Muslim) Menurut sebahagian ulama, harus memiliki atau memelihara
anjing untuk keperluan berburu atau untuk tujuan menjaga sesuatu,
menjaga binatang ternak, dan untuk menjaga sawah ladang dan diharuskan
juga memiliki anak anjing untuk diajar bagi keperluankeperluan tersebut.
Namun
adalah haram memiliki anjing jika tidak ada keperluan padanya seperti
mereka yang tidak dan belum mempunyai sawah ladang dan juga mereka yang
tidak berburu dan hanya berburu apabila dia berkeinginan sahaja.
Bagaimana pula hukum memiliki anjing untuk tujuan menjaga rumah?
Para ulama berselisih pendapat dalam perkara ini. Pendapat yang ashah
(lebih shahih) mengatakan adalah harus memiliki atau memelihara anjing
untuk keperluan menjaga rumah, pintu, gerbang dan seumpamanya berkiaskan
kepada tiga keperluan yang diharuskan iaitu kerana tujuan berkebun,
berburu atau menjaga binatang ternak. Begitu juga harus menggunakan
anjing terlatih bagi tujuan pengesanan dadah dan menjejaki penjenayah.
Namun begitu seseorang tetap dikehendaki berhati-hati dan berwaspada
kerana ditakuti boleh tersentuh anjing tersebut.
Begitulah apa
yang telah digariskan syara‘ mengenai hukum berkaitan anjing. Tentu
saja ada hikmah di sebalik itu, dan yang nyata manusia turut menyangkut
perkara memelihara kebersihan dan kesihatan manusia.