Mufaraqah dalam sembahyang berjemaah

Irsyad Hukum
27/05/2015


irsyad

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam,
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)


Pengertian mufaraqah dari segi bahasa ialah berpisah atau meninggalkan. Manakala dari segi istilah pula, pengertian mufaraqah itu adalah serupa sepertimana pengertiannya dari segi bahasa.


Pengertian mufaraqah dalam ibadat sembahyang pula jika dikaitkan mengikut makna dari segi bahasa ialah makmum berpisah daripada mengikut imam dalam sembahyang berjemaah.


Apabila makmum berniat mufaraqah maka terputuslah hubungan sembahyang makmum dengan sembahyang imam, dan apa juga hukum yang berlaku ke atas imam tidak akan menjejaskan hukum sembahyang makmum seperti hukum mengikut imam atau hukum imam terlupa atau tersilap.


Dalam perkara mufaraqah ini, kitab Bughyatul Mustarsyidin, yang ditulis oleh Sayyid Abdurrahman Ba‘alawi Rahimahullahu Ta‘ala, menyebutkan bahawa mufaraqah itu terbahagi kepada lima hukum:


Ertinya: “Sesungguhnya perihal berpisah daripada mengikut imam dalam sembahyang berjemaah adalah tertakluk kepada hukumhakam yang lima. Wajib (berpisah daripada mengikut imam), umpamanya apabila melihat imam melakukan perkara yang membatalkan sembahyang, dan sunat (berpisah daripada mengikut imam) apabila melihat imam tertinggal sunat sembahyang, dan harus (berpisah daripada mengikut imam), umpamanya apabila mendapati imam memanjangkan sembahyang, dan makruh (berpisah daripada mengikut imam) tanpa keuzuran, kerana yang demikian itu meninggalkan fadhilat berjemaah, dan haram (berpisah daripada mengikut imam) jika yang demikian itu menyebabkan syiar tidak menyerlah (kewajipan agama) atau sembahyang jemaah itu merupakan satu kewajipan seperti sembahyang Jumaat.”


(Kitab Bughyah al-’Musytarsyidin: 74)


Berdasarkan penjelasan di atas, makmum dibolehkan atau dibenarkan berniat keluar daripada imamnya (mufaraqah) dalam sembahyang berjemaah mengikut keadaankeadaannya yang tertentu sehinggakan adakalanya makmum tidak perlu berniat mufaraqah tetapi hanya perlu menyelesaikan sembahyangnya secara bersendirian. Ini bermakna melakukan mufaraqah dalam sembahyang berjemaah adakalanya harus, adakalanya pula wajib bahkan adakalanya makruh dan haram.


Keadaan-keadaan mufaraqah


Sebagaimana disebutkan sebelum ini bahawa hukum mufaraqah boleh menjadi wajib, sunat, harus, makruh dan haram mengikut keadaan yang berlaku ke atas imam dan makmum.Maka untuk lebih jelas dibawakan beberapa gambaran keadaan-keadaan mufaraqah itu.


1. Mufaraqah kerana imam terlupa atau tersilap melakukan rukun sembahyang.


Apabila imam tersilap atau terlupa melakukan rukun sembahyang, maka makmum sunat mengingati imam dengan cara ucapan tasbih (Subhanallah) bagi makmum lelaki dan dengan cara tashfiq bagi makmum khuntsa dan perempuan. Jika imam menyedari akan kesilapannya lalu mengerjakan rukun yang tertinggal itu, maka wajib bagi makmum mengikut imam tersebut.


Akan tetapi jika imam tidak juga melakukan rukun yang tertinggal itu, makmum tidaklah boleh terus mengikut sembahyang imam tersebut malah haram hukumnya. Oleh yang demikian makmum wajib berniat mufaraqah dan menyelesaikan sembahyangnya secara bersendirian.


Menyentuh tentang tashfiq yang dikhususkan bagi makmum khuntsa serta perempuan, ia boleh dilakukan dengan cara-cara berikut:


(a) Menepukkan tapak tangan kanan ke belakang tangan kiri.


(b) Menepukkan belakang tangan kanan ke tapak tangan kiri.


(c) Menepukkan belakang tangan kanan ke belakang tangan kiri.


(d) Menepukkan belakang tangan kiri ke tapak tangan kanan.


(e) Menepukkan tapak tangan kiri ke belakang tangan kanan.


(f) Menepukkan belakang tangan kiri ke belakang tangan kanan.


2. Mufaraqah kerana imam terlupa atau tidak melakukan perkara sunat dalam sembahyang.


Jika imam didapati meninggalkan sunat sembahyang seperti tasyahhud awal ataupun qunut, sama ada terlupa ataupun sengaja, yang demikian itu tidaklah membatalkan sembahyang jika makmum terus mengikut imam sekalipun dia tidak melakukan tasyahhud awal ataupun qunut tersebut. Akan tetapi adalah sunat hukumnya bagi makmum berniat mufaraqah untuk melakukan perkara sunat itu.


Perlu diingat bahawa terdapat perbezaan di antara cara mengulangi perkara sunat sembahyang yang tertinggal dengan rukun sembahyang yang tertinggal.


Pada dasarnya, jika seseorang itu bersembahyang secara bersendirian dan terlupa akan salah satu dari rukun sembahyang, maka dia hendaklah terus melakukan rukun tersebut sejurus setelah dia teringat walaupun setelah berlalu beberapa rukun yang lain. Ini kerana rukun lain yang dilakukannya itu (selepas rukun yang tertinggal itu) adalah tidak dikira selagi rukun yang tertinggal itu tidak dilakukannya.


Manakala jika seseorang itu tertinggal akan salah satu daripada sunat sembahyang dia boleh melakukan sunat sembahyang yang tertinggal itu selagi dia belum sempurna melakukan rukun yang seterusnya. Sebagai contoh, jika yang tertinggal itu tasyahhud awal maka dia boleh kembali melakukan tasyahhud awal itu selagi belum sempurna melakukan rukun qiyam pada rakaat seterusnya. Ini kerana jika sudah sempurna rukun qiyam pada rakaat seterusnya itu, maka dia tidaklah boleh kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awal yang tertinggal itu. Jika dilakukannya juga, perbuatannya itu akan membatalkan sembahyangnya.


Sehubungan dengan itu, jika makmum melihat imamnya terlupa sehingga tidak melakukan tasyahhud awal, dan imam tersebut terus bangkit sehingga sempurna mengerjakan qiyam (berdiri betul), maka makmum tidak boleh duduk menunggu imam dengan andaian bahawa imam itu akan duduk kembali untuk mengerjakan tasyahhud awal. Bahkan wajib makmum bangkit mengikut imam untuk mengerjakan qiyam. Ini kerana perbuatan makmum duduk menunggu imam itu akan membatalkan sembahyang makmum disebabkan melakukan perbuatan yang bersalahan dengan perbuatan imam.


Jika makmum tetap sahaja senghaja duduk menunggu imam yang sudah bangkit dan sempurna mengerjakan qiyam dengan andaian bahawa imam tersebut akan kembali duduk mengerjakan tasyahhud awal, maka batal sembahyang makmum jika dia tidak berniat mufaraqah. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, dalam perkara seumpama ini (imam terlupa atau senghaja meninggalkan tasyahhud awal), mufaraqah daripada imam itu adalah lebih utama.

 

Bersambung

Attachments