Sambungan
Niat puasa dalam mazhab Maliki
MENGIKUT
pendapat dalam mazhab Maliki pula, boleh berniat sekali sahaja untuk
melakukan ibadat puasa yang wajib dikerjakan secara berturut-turut,
seperti puasa sebulan Ramadhan, dan niat itu dilakukan pada malam
pertama puasa.
Oleh
itu, sebagai langkah berhati-hati dan berjaga-jaga demi untuk
mengelakkan terlupa berniat puasa, di samping berniat pada tiap-tiap
malam, adalah digalakkan berniat pada awal bulan Ramadhan dengan niat
satu bulan, dengan bertaqlid (mengikut) pendapat mazhab Maliki
sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.
Lafaz niatnya ialah :
Ertinya : ''Sahaja aku berniat puasa bulan Ramadhan seluruhnya (sebulan penuh) pada tahun ini kerana Allah Ta'ala.''
Namun
begitu, perlu diketahui juga, apa yang dinyatakan di dalam Mazhab
Maliki, jika puasa yang wajib dilakukan secara berturut-turut itu,
seperti puasa Ramadhan, terputus oleh sesuatu sebab, sama ada sebab yang
dibenarkan syara' ataupun tidak, maka niat sebulan puasa itu tidak lagi
memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya. Bahkan, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut. Dalam makna yang lain, berniat sekali lagi dan memadai dengan sekali niat bagi semua hari-hari puasa yang berbaki.
Sebab-sebab yang dikategorikan sebagai penghalang daripada puasa secara berturutan :
1)
Berlaku sesuatu yang mengharuskan seseorang itu tidak berpuasa, seperti
sakit atau dalam pelayaran, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak
berbuka puasa).
2) Berlaku sesuatu yang membatalkan puasa, seperti datang haidh, nifas, gila, pengsan dan sebagainya.
3) Berbuka puasa atau tidak berpuasa tanpa apa-apa sebab yang dibenarkan oleh syara'.
Oleh
itu, orang yang berniat sebulan puasa jika berlaku sesuatu yang
mengharuskannya tidak berpuasa, seperti sakit, dalam pelayaran atau
sebagainya, maka niat puasa sebulannya itu tidak lagi memadai (tidak
boleh lagi dipakai) untuk hari-hari puasanya yang seterusnya, walaupun
dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka) dalam keadaannya sakit, dalam
pelayaran atau sebagainya.
Begitu
juga bagi orang yang berlaku ke atasnya sesuatu yang membatalkan puasa,
seperti datang haidh, nifas, gila, pengsan dan sebagainya, niat puasa
sebulannya itu tidak boleh lagi dipakai untuk hari-hari puasanya yang
seterusnya.
Sebab,
ibadat puasa orang-orang seperti ini tidak lagi termasuk di dalam
kategori puasa yang wajib dikerjakan secara berturut-turut yang menjadi
syarat (dalam mazhab Maliki) bagi berniat sebulan itu.
Khusus
bagi orang yang berlaku ke atasnya sesuatu sebab yang mengharuskan dia
berbuka puasa, seperti orang sakit dan orang yang dalam pelayaran, jika
dia hendak berpuasa juga dalam keadaannya sakit atau dalam pelayaran
atau sebagainya, hendaklah dia berniat puasa pada tiap-tiap malam.
(Al-Qawanin al-Fiqhiyyah 104, Hasyiah al-Dusuqi 1/812-813 dan Taqrirat
'Ulaisy 1/812-813)
Kesimpulan
Niat atau berniat pada pandangan syara' adalah titik tolak permulaan bagi seseorang itu melakukan ibadat, termasuk ibadat puasa.
Tanpa
niat, ibadat puasa menjadi tidak sah. Dalam mazhab Syafi'e niat wajib
dilakukan pada setiap malam. Akan tetapi ulama mazhab Syafi'e juga
menganjurkan supaya bertaqlid dengan mazhab Maliki, iaitu berniat
sebulan penuh pada malam pertama Ramadhan sebagai langkah berjaga-jaga
demi mengelakkan terlupa berniat puasa. Bahkan dalam mazhab Syafi'e
sendiri perkara itu adalah sunat.
Perbezaan
pendapat di antara pelbagai mazhab termasuk dalam perkara niat puasa
merupakan satu rahmat. Dengan adanya pendapat-pendapat yang berbeza itu
kita boleh beramal dengannya berdasarkan apa yang disarankan oleh para
ulama di dalam kitab-kitab mereka.