
Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda
BID'AH
merupakan satu isu yang bukan sahaja menjadi perbincangan besar dalam
kalangan para ulama, bahkan ia juga turut menjadi topik hangat perbualan
serta perbahasan segelintir golongan awam. Apabila disebut sahaja
perkataan bid'ah, seringkali ia akan mendatangkan tanggapan negatif pada
sebilangan orang. Ini kerana menurut mereka, bid'ah itu sinonim dengan
kesesatan berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada al-'Irbadh bin
Sariyah Radhiallahu 'anhu bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda :
Maksudnya : ''Dan
jauhilah oleh kamu perkara-perkara yang baru diadakan, kerana tiap-tiap
perkara yang baru diadakan itu adalah bid'ah, dan tiap-tiap bid'ah itu
adalah sesat.''
(Hadits riwayat Imam Abu Daud dan Imam at-Tirmizi).
Akan
tetapi betulkah tanggapan tersebut? Adakah benar hadits tersebut
membawa maksud sepertimana yang difahami golongan berkenaan?
Definisi Bid'ah
Bid'ah
menurut bahasa bererti sesuatu yang baru direka atau baru diadakan,
tanpa ada contoh atau asal yang seumpamanya sebelum itu dan tiada
kebiasaan sepertinya. Tidak kira sama ada dalam urusan ugama ataupun
urusan lainnya.
Adapun menurut istilah syara' pula, para ulama berbeza pendapat:
i)
Imam asy-Syafi'e, Imam 'Izzuddin Abdul 'Aziz bin Abdussalam, Imam
an-Nawawi dan lainnya berpendapat bahawa bid'ah adalah sesuatu yang
baru, yang tidak ada dalam Al-Quran dan As-Sunnah, atau belum wujud
serta belum berlaku pada zaman Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Tidak kira sama ada ia adalah sesuatu yang tercela dan dikeji ataupun
sebaliknya.
Menurut pendapat ini, bid'ah itu menurut istilah syara' ada yang baik dan terpuji serta ada pula bid'ah yang buruk dan tercela.
ii)
Pendapat kedua pula menyatakan bahawa bid'ah menurut istilah syara'
adalah tiap sesuatu yang baru, yang berlawanan dengan sunnah. Ini adalah
pendapat Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani, Imam Ibnu Hajar al-Haitami, Imam
Ibnu Rajab dan lain-lain.
Menurut
pendapat ini, sesuatu yang baru itu, jika ia tidak bertentangan dengan
sunnah, maka ia dinamakan bid'ah dari segi bahasa sahaja, iaitu
semata-mata kerana ia adalah suatu yang baru direka atau baru diadakan.
Manakala jika ia bertentangan dengan sunnah pula, maka ia adalah bid'ah
menurut istilah syara'.
Konsep Bid'ah Menurut Ulama Ahli As-Sunnah Wal-Jama'ah
Secara
asasnya, terdapat dua pendapat mengenai konsep bid'ah menurut ulama
mazhab Ahli As-Sunnah Wal-Jama'ah. Penjelasannya seperti berikut :
Pendapat Pertama :
Menurut
Imam asy-Syafi'e, Imam an-Nawawi, Imam 'Izzuddin Abdul 'Aziz bin
Abdussalam dan lainnya, bid'ah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:
i) Bid'ah hasanah (yang baik atau bagus) atau bid'ah mahmudah (yang terpuji).
Bid'ah hasanah atau bid'ah mahmudah
adalah suatu perkara yang dibuat oleh orang Islam selepas zaman Nabi
Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, di mana perkara tersebut tidak
diketahui sama ada pernah berlaku atau pernah dibuat pada zaman Baginda,
akan tetapi perkara tersebut masih termasuk di bawah dalil khas atau
dalil am dari Al-Quran atau hadits Rasulullah Sallallahu 'Alaihi
Wasallam atau atsar para sahabat atau ijma' ulama Islam.
ii) Bid'ah sayyi'ah (yang buruk) atau bid'ah dhalalah (yang sesat).
Bid'ah sayyi'ah atau bid'ah dhalalah
pula adalah suatu perkara yang dibuat oleh orang Islam selepas zaman
Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, di mana perkara tersebut
tidak diketahui sama ada pernah berlaku atau pernah dibuat pada zaman
Baginda, dan perkara itu menyalahi dalil dari Al-Quran, atau menyalahi
dalil dari hadits Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, atau menyalahi
atsar para sahabat atau menyalahi ijma' ulama Islam. Dalam
erti kata lain, ia menyalahi akan hukum-hukum syara' dan menyalahi akan
dalil syara' yang khas mahupun dalil syara' yang am.
Adapun pengukur atau cara untuk mengetahui sama ada sesuatu perkara itu termasuk dalam kategori bid'ah hasanah ataupun bid'ah sayyi'ah adalah melalui mizan
(timbangan) syara'. Apabila perkara yang baru itu termasuk dalam
perkara yang dinilai baik oleh syara', maka dengan sendirinya ia adalah
bid'ah hasanah. Sebaliknya apabila perkara yang baru itu termasuk dalam
perkara yang dinilai buruk oleh syara', maka ia adalah bid'ah sayyi'ah.
Imam asy-Syafi'e Rahimahullah berkata: ''Perkara-perkara yang baru diadakan itu terbahagi kepada dua bahagian :
Pertama :
Perkara baru yang bercanggah dengan Al-Quran, atau As-Sunnah, atau
atsar para sahabat atau al-ijma'. Maka perkara seumpama ini adalah
bid'ah yang sesat.''
Kedua :
Perkara baru yang baik yang tidak bercanggah dengan satupun daripada
Al-Quran, atau As-Sunnah, atau atsar para sahabat atau al-ijma'. Ini
adalah perkara-perkara baru yang tidak tercela.''
Imam Ibnu al-Atsir al-Jazari Rahimahullah berkata dalam kitabnya an-Nihayah Fi Gharib al-Hadits Wa al-Atsar : ''Bid'ah
ada dua : Bid'ah hidayah, dan bid'ah sesat. Maka segala apa yang
bercanggah dengan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala
serta Rasul-Nya Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah dalam kategori
(bid'ah) yang tercela dan ditegah, dan segala apa yang termasuk di bawah
umum perkara yang dianjurkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala serta
Rasul-Nya Sallallahu 'Alaihi Wasallam pula adalah termasuk dalam
kategori (bid'ah) yang terpuji.
Dan
segala apa yang belum ada contoh seumpamanya (sebelum itu) seperti
semua jenis perbuatan yang berupa kebajikan dan kemurahan hati serta
semua jenis perbuatan yang makruf, adalah tergolong dalam kategori
perbuatan yang terpuji.
Segala
perbuatan (yang berupa kebajikan, kemurahan hati serta segala jenis
perbuatan yang makruf) ini tidak mungkin tersenarai dalam perbuatan yang
bertentangan dengan kehendak syara' (sungguhpun ia tidak berlaku di
zaman Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam) kerana Nabi Sallallahu
'Alaihi Wasallam telah menjanjikan baginya (segala perbuatan yang baik
itu) ganjaran pahala. Sabda Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam :
Maksudnya : ''Barangsiapa
yang merintis suatu sunnah hasanah dalam Islam, maka baginya pahala
amalan yang dirintisnya itu serta (dia juga beroleh) pahala orang yang
mengamalkannya selepasnya.''
(Hadits riwayat Imam Muslim).
Imam Ibnu al-'Arabi Rahimahullah berkata dalam kitabnya 'Aridhah al-Ahwazi Bi Syarhi Jame' at-Tirmizi bahawa bid'ah atau muhdats (sesuatu yang baru diadakan) itu tidak dikira tercela hanya kerana secara lafaznya ia digelar dengan perkataan bid'ah atau muhdats. Katanya : ''Adapun
sesungguhnya dicela daripada perkara bid'ah itu ialah apa-apa yang
menyalahi sunnah, dan dicela daripada perkara muhdats itu ialah apa-apa
yang mengajak kepada kesesatan.''
Pendapat Kedua :
Menurut
pendapat sebilangan ulama lain pula, penisbahan bid'ah terhadap
perkara-perkara baru yang ada dasarnya dalam hukum syara' itu adalah
dari sudut bahasa sahaja, iaitu semata-mata kerana ia adalah sesuatu
yang baru yang tidak ada contoh, tidak ada asal serta tidak ada
kebiasaan yang sepertinya sebelum itu. Manakala perkara-perkara baru
yang tidak ada dasarnya dalam hukum syara' atau bercanggah dengan hukum
syara' pula adalah bid'ah dari sudut istilah syara'.
Antara ulama yang berpendapat sedemikian adalah Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani Rahimahullah, katanya : ''Manakala
segala apa yang ada baginya asal atau dasar menurut dalil syara', maka
ia bukanlah bid'ah (dalam istilah syara'). Adapun bid'ah yang
dimaksudkan dalam istilah syara' itu adalah semua bid'ah yang tercela,
manakala (bid'ah) dari segi bahasa pula adalah sebaliknya (tidak
semuanya tercela) kerana sesungguhnya (dari segi bahasa), setiap sesuatu
yang baru yang tidak ada contoh yang seumpamanya sebelum itu (semuanya)
dinamakan bid'ah, tidak kira sama ada ia adalah (bid'ah) yang terpuji
ataupun (bid'ah) yang tercela.''
Kata-kata seumpama ini juga ada diriwayatkan daripada beberapa ulama lain, antaranya Imam Ibnu Rajab Rahimahullah, yang berkata dalam kitabnya Jame' al-'Ulum Wa al-Hikam : ''Adapun
yang dimaksudkan dengan bid'ah adalah segala apa yang baru diadakan,
yang tidak ada asal dalam hukum syara' yang dapat menjadi dalil baginya
(dalam syari'at). Manakala segala apa yang ada asal dalam hukum syara'
yang dapat menjadi dalil baginya (dalam syari'at), maka ia bukan bid'ah
dari segi syara', bahkan ia adalah bid'ah dari segi bahasa
(semata-mata).''
Pendapat
para ulama yang dinukilkan di atas, sungguhpun pada zahirnya terdapat
perbezaan pendapat antara mereka dari segi takrif atau definisi, ia
tetap menjurus kepada satu natijah yang sama, iaitu tidak semua perkara
baru yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah Sallallahu 'Alaihi
Wasallam adalah buruk dan tercela sepertimana yang didakwa sesetengah
pihak, bahkan pada hakikatnya ada sesetengah 'bid'ah' itu adalah
perkara-perkara yang terpuji dan berkebajikan.
Ini berdasarkan dalil-dalil yang sabit dan sahih, antaranya sebuah hadits sahih yang diriwayatkan daripada 'Aisyah Radhiallahu 'anha, bahawasanya Baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda :
Maksudnya : ''Barangsiapa
yang mengada-adakan (sesuatu yang baru) pada urusan kami ini
(syari'at), padahal ia bukan sesuatu daripadanya, maka ia adalah
tertolak.''
(Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim).
Mafhum
hadits ini ialah sesiapa sahaja yang membuat atau mengada-adakan
sesuatu perkara dalam Islam dengan sesuka hatinya, dengan mendakwa
bahawa perkara itu ada dalam agama Islam, padahal perkara itu tidak ada
dalam agama Islam, maka ia adalah tertolak dan jadi sia-sia, bahkan
sebaliknya dia akan mendapat dosa dan masuk Neraka.
Dapat
juga difahami daripada hadits ini, serta daripada pendapat-pendapat
ulama yang telah disebutkan tadi, bahawa setiap sesuatu yang baru itu
akan menjadi tertolak dan tercela hanya apabila ia menyalahi dan
bertentangan dengan hukum syara'. Maka selagi mana sesuatu itu tidak
bertentangan dengan hukum syara' dan tidak warid nas yang menegah atau
mencelanya, walaupun ia tidak ada dan tidak pernah berlaku pada zaman
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, maka ia tidak semestinya
termasuk dalam perkara yang tertolak dan tercela sepertimana yang
disebutkan dalam hadits sahih di atas.
Hukum Suatu Bid'ah Tertakluk Kepada Hukum Syara'
Telah
dijelaskan sebelum ini bahawa segala perkara baru yang tidak berlaku
pada zaman Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam itu tidak semuanya
buruk dan tercela, dan tidak pula semuanya baik dan terpuji. Imam Ibnu
Hajar al-'Asqalani Rahimahullah berkata : ''Dan semua yang
belum ada pada zaman Baginda itu dinamakan bid'ah (dari segi bahasa).
Akan tetapi antaranya ada yang baik, dan antaranya pula ada yang
sebaliknya (yang buruk).''
Adapun
hukum segala perkara baru yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah
Sallallahu 'Alaihi Wasallam tertakluk kepada kedudukannya dalam hukum
syara'. Imam al-Ghazali Rahimahullah berkata dalam kitabnya Ihya' Ulumiddin : ''Maka
tidak semua perkara yang baru dibuat itu tertegah. Adapun yang tertegah
itu adalah bid'ah yang bercanggah dengan sunnah yang sabit ... Bahkan
membuat sesuatu perkara baru itu adakalanya menjadi wajib dalam
sebahagian keadaan ...''
Ini
turut disokong dan diperjelaskan lagi oleh Imam 'Izzuddin Abdul 'Aziz
bin Abdussalam Rahimahullah seorang ulama mazhab asy-Syafie. Beliau ada
menyatakan dalam kitabnya Qawa'id al-Ahkam Fi Islah al-Anam bahawa
setiap perkara bid'ah itu termasuk di bawah salah satu daripada hukum
syara' yang lima, iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan mubah.
Penjelasannya adalah seperti berikut :
i) Bid'ah Wajibah
Bid'ah wajibah
bermaksud bid'ah yang wajib. Contohnya, mempelajari kaedah nahu Bahasa
Arab untuk memahami isi-isi Kalamullah (Al-Quran) dan Sunnah Rasulullah
Sallallahu 'Alaihi Wasallam bagi menjaga syari'at Islam. Ini kerana
ayat-ayat Al-Quran serta matan (lafaz) hadits Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam tercatat dalam Bahasa Arab.
Ia termasuk dalam bid'ah wajibah
kerana menjaga syari'at agama Islam itu hukumnya wajib. Tanpa
penguasaan Bahasa Arab yang sempurna, tuntutan ini tidak mungkin akan
dapat dilaksanakan kerana penguasaan Bahasa Arab merupakan salah satu
ilmu asas yang wajib dan utama untuk memahami isi-isi Al-Quran dan
hadits-hadits Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Ini sepertimana
kaedah yang masyhur, iaitu ''sesuatu yang wajib, tetapi ia tidak
sempurna kecuali dengan sesuatu yang lain, maka hukum sesuatu yang lain
itu juga menjadi wajib.''
Jadi
walaupun perkara seumpama ini dinamakan 'bid'ah' kerana ia sesuatu yang
baru yang tidak ada dalam Al-Quran dan As-Sunnah, atau belum wujud
serta belum berlaku pada zaman Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam,
hukum mengadakannya adalah wajib kerana ia merupakan keperluan untuk
melaksanakan perkara yang wajib, iaitu menjaga syari'at agama Islam.
Termasuk juga dalam perkara bid'ah wajibah
ini perkara-perkara wajib yang lain seperti mempelajari ilmu Tafsir,
ilmu Hadits, ilmu Tauhid, ilmu Feqh, ilmu Usul Feqh dan lain-lain yang
seumpamanya bagi memahami ugama Islam serta memelihara kesuciannya dan
memperteguhkan syi'arnya.
ii) Bid'ah Muharramah
Bid'ah
muharramah adalah segala perbuatan yang menyimpang, bertentangan dan
menyalahi ajaran serta hukum syara' seperti ajaran golongan Mujassimah
yang menjadikan tuhan mereka sebagai berhala dan lain-lain golongan yang
menyalahi ajaran Ahli As-Sunnah Wal-Jama'ah seperti mazhab dan ajaran
golongan Qadariyyah, Murji'ah, Mu'tazilah dan Khawarij.
Begitu
juga amalan-amalan karut lagi khurafat yang tidak ada sandaran serta
dasarnya dalam nas-nas syara' seperti Sembahyang Sunat Nisfu Sya'ban,
mengumpul kerak nasi di Arafah, tawafkan duit keliling Kaabah, bercelak
mata
pada Hari 'Asyura, Sembahyang Sunat 'Asyura dan bid'ah-bid'ah tertegah yang lainnya.
iii) Bid'ah Mandubah
Bid'ah mandubah
adalah segala perkara yang baik dan berkebajikan, akan tetapi belum
pernah dibuat dan belum ada di zaman Rasulullah Sallallahu 'Alaihi
Wasallam seperti membangun sekolah, membina rumah-rumah tumpangan dan
sebagainya bagi memenuhi hajat dan keperluan hidup di suatu tempat atau
negeri, menulis kitab-kitab ilmu, mendirikan Sembahyang Sunat Tarawih di
masjid secara berjemaah, mengadakan acara memperingati Maulid Nabi
Sallallahu 'Alaihi Wasallam, mengadakan majlis-majlis perbincangan ilmu,
dan yang seumpamanya.
iv) Bid'ah Makruhah
Bid'ah makruhah
adalah segala perkara baru yang terdapat dalil syara' yang menerangkan
bahawa perkara tersebut tidak disukai oleh syara'. Sebagai contoh,
perbuatan menghias dan mengukir masjid, bermain catur tanpa pertaruhan
dan tanpa melalaikan daripada sembahyang, serta menghias mushaf Al-Quran
dengan yang lain daripada emas. Adapun menghias mushaf Al-Quran dengan
emas pula hukumnya adalah haram.
v) Bid'ah Mubahah
Bid'ah mubahah
adalah segala perkara baru yang harus dibuat. Sebagai contoh, perbuatan
bersalam-salaman selepas mengerjakan sembahyang berjemaah,
bersenang-senang dengan makanan yang pelbagai dan enak-enak, memakai
pakaian yang indah-indah dan cantik-cantik, memiliki atau menggunakan
kenderaan dan sebagainya.
Pembahagian
ini menyokong dan memperkukuhkan lagi pegangan kita sebagai Ahli
As-Sunnah Wal-Jama'ah bahawa bid'ah atau suatu yang baru itu bukanlah
seluruhnya tertegah dan bukan pula seluruhnya secara mutlak dibenarkan,
bahkan ia tertakluk kepada kedudukan perkara tersebut dalam kaedah hukum
syara'.
Jika
ia termasuk dalam kategori perkara-perkara yang wajib dalam hukum
syara', maka dengan sendirinya ia adalah dalam kategori bid'ah wajibah.
Jika ia termasuk dalam kategori perkara-perkara yang diharamkan dalam
hukum syara', maka dengan sendirinya ia adalah dalam kategori bid'ah muharramah dan begitulah seterusnya.