Menyentuh Ka'bah ketika tawaf

Irsyad Hukum
26/08/2015

irsyad

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam,
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)


TAWAF merupakan salah satu daripada rukun haji yang enam. Secara ringkas rukun-rukun haji yang enam itu ialah Ihram, Wuquf di 'Arafah, Tawaf Ifadhah, Sa'ie antara Safa dan Marwah, menggunting rambut dan tertib.


Manakala jenis-jenis tawaf pula antaranya ialah tawaf Ifadhah, tawaf Qudum, tawaf Wada', tawaf Nadzar, tawaf Tathawwu' dan tawaf Tahallul, iaitu tawaf yang dilakukan oleh seseorang yang telah luput hajinya, umpamanya luput haji kerana luput berwuquf di 'Arafah, sebagai bertahallul (cara melepaskan dirinya) daripada ihram hajinya. Manakala dam orang yang luput hajinya ini adalah sepertimana dam tamattu' dari segi sifat dan segala hukumnya.


Tawaf Sekeliling Ka'bah


Tawaf bererti melakukan pusingan di sekeliling al-Bayt al-Haram, (Ka'bah), iaitu mengelilingi Ka‘bah sebanyak tujuh kali keliling dengan syarat tertentu sambil berdoa. Tempat melakukan tawaf ialah di sekeliling Ka‘bah yang terletak di dalam Masjidil Haram. Perkara ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:


Tafsirnya : ''Dan melakukan tawaf di Baitul 'Atiq (Ka'bah).'' (Surah al-Hajj : 29)


Syarat-Syarat Tawaf


Sepertimana ibadat-ibadat yang lain mempunyai syarat-syaratnya yang tertentu agar sesuatu ibadat itu dianggap sah dan sempurna, tawaf juga mempunyai syarat-syaratnya. Secara ringkas syarat tawaf adalah sepertimana berikut.


1. Menutup aurat sepertimana menutup aurat di dalam sembahyang.


2. Suci daripada hadats kecil dan hadats besar serta suci pada pakaian, badan dan tempat tawaf daripada najis.


3. Sentiasa menghalakan bahu kiri ke arah Ka'bah sepanjang melakukan tawaf.


4. Memulakan tawaf daripada penjuru Hajar al-Aswad ataupun setentangan dengan penjuru Hajar al-Aswad. Apabila memulakan tawaf, hendaklah keseluruhan badan orang yang tawaf, yakni pada bahagian bahu kiri, bersetentangan dengan penjuru Hajar al-Aswad dan tidak boleh mana-mana anggota badannya itu terkedepan daripada garisan Hajar al-Aswad.


5. Melakukan 7 kali pusingan tawaf yang sempurna dengan yakin. Bermula satu pusingan tawaf yang sempurna daripada penjuru Hajar al-Aswad dan berakhir pada penjuru Hajar al-Aswad itu juga.


6. Tawaf dilakukan di dalam Masjidil Haram di sekeliling Ka‘bah dan di luar daripada asy-Syadzarwan dan al-Hijr (Hijir Isma'il). Tidak memadai tawaf seseorang itu melainkan mengelilingi keseluruhan Ka'bah, sama ada tawaf dilaksanakan dengan jarak yang berhampiran dengan Ka'bah ataupun jauh sedikit daripadanya, selama mana ia dikerjakan di dalam lingkungan Masjidil Haram. Hukum tawaf tetap sah walaupun terdapat halangan atau hadangan (ha'il) di antara orang yang tawaf itu dengan Ka'bah, seperti mimbar, tiang atau telaga Zamzam. Demikian juga adalah sah melakukan tawaf dari atas atap Masjidil Haram, menurut pendapat al-mu'tamad, kerana ruang di atas masjid mengambil hukum sepertimana hukum masjid. Dengan kesepakatan ulama, tawaf yang dilakukan di luar Masjidil Haram adalah tidak sah.


7. Niat tawaf


8. Tujuan adalah semata-mata untuk tawaf dan bukan selainnya.


Had Kawasan Ka'bah


Sebagaimana yang dijelaskan, tempat melakukan tawaf ialah di sekeliling atau di sisi Ka'bah. Oleh yang demikian, tidak sah tawaf yang dilakukan pada Ka'bah, di atas Ka'bah ataupun dalam Ka'bah. Oleh itu, terlebih dahulu perlu diketahui apakah dia Ka'bah dan di manakah had atau kawasan yang dinamakan Ka'bah?


Ka'bah merupakan rumah empat persegi. Ia dinamakan al-bayt al-haram, difahami sebagai binaan Ka'bah itu sendiri.


Selain daripada binaan Ka'bah itu sendiri seperti yang dilihat pada ketika ini, terdapat juga kawasan atau bahagian yang merupakan Ka'bah yang asal, seperti asy-Syadzarwan dan al-Hijr (Hijir Isma'il) yang mengambil hukum seperti Ka'bah jua. Oleh itu, berikut dijelaskan beberapa perkara mengenai hukum tawaf pada keduanya.


1. Asy-Syadzarwan Sebahagian Ka'bah Yang Asal


Pada asalnya, dinding Ka'bah adalah lebih besar atau terkeluar sedikit daripada dinding Ka'bah yang ada pada ketika ini. Untuk mengetahui dinding asal Ka'bah, antaranya dilihat pada asy-Syadzarwan, iaitu binaan asas pada bahagian bawah Ka'bah yang terkeluar daripada tepi dinding Ka'bah. Berbentuk seperti bendul dan diperbuat daripada marmar. Tingginya daripada dasar lantai lebih kurang 11 sentimeter (2/3 dzira') dan lebarnya lebih kurang 40 sentimeter.


Bahagian asal Ka'bah asy-Syadzarwan yang ada pada masa ini telah dibiarkan atau ditinggalkan terkeluar daripada dinding Ka'bah oleh kaum Quraisy semasa pembinaan semula Ka'bah, disebabkan kesempitan pembiayaan atau dana kaum Quraisy pada ketika itu.


Tawaf mengelilingi asy-Syadzarwan


Maksud ''tawaf mengelilingi| asy-Syadzarwan'' ialah tawaf di sisi asy-Syadzarwan, di luar daripadanya dan di luar daripada ruang di atas asy-Syadzarwan. Perkara ini berdasarkan ayat daripada Surah al-Hajj ayat 29 yang telah disebutkan. Menurut jumhur ulama, keseluruhan badan orang yang tawaf itu, termasuk tangannya, wajib berada di luar daripada asy-Syadzarwan ketika melakukan tawaf.


2. Al-Hijr Sebahagian Ka'bah Yang Asal


Al-Hijr dinamakan juga Hijr Isma'il, iaitu suatu tembok melengkung berbentuk separa bulatan pada dua penjuru bahagian sebelah kiri Ka‘bah. Lebih tepat al-Hijr berada di kawasan bawah pancuran (mizab) Ka'bah. Di antara dinding Ka'bah dan kedua-dua hujung al-Hijr terdapat tempat laluan.


Al-Hijr adalah bahagian asal Ka'bah yang ditinggalkan pembinaannya oleh kaum Quraisy kerana kekurangan pembiayaan atau dana ketika pembinaan semula Ka'bah yang mereka lakukan. Lalu mereka mengeluarkannya daripada binaan yang dibuat oleh Nabi Ibrahim 'Alaihissalam dan mereka jadikannya tembok rendah.


Al-Hijr adalah sebahagian daripada Ka'bah berdasarkan beberapa hadits shahih antaranya daripada 'Aisyah Radhiallahu 'anha, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda :


Maksudnya : ''Aku pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam mengenai tembok (al-Hijr), apakah ia termasuk Baitullah?''


Baginda menjawab : ''Ya''.


Aku bertanya : ''Kenapa mereka tidak memasukkannya ke dalam Baitullah?


Baginda menjawab : ''Sesungguhnya kaummu (pada ketika itu) kekurangan dana (pembiayaan).''


Aku bertanya : ''Kenapa pintunya diletakkan tinggi (di bahagian atas)?''


Baginda menjawab : ''Kaummu telah membuatnya seperti itu, supaya mereka boleh memasukkan siapa yang mereka kehendaki dan menegah siapa yang mereka kehendaki. Kalau bukan kerana kaummu masih dekat dengan (keadaan) jahiliyyah dan (kalau bukan kerana) aku merasa khuatir hati mereka akan mengingkarinya, nescaya akan aku masukkan tembok (al-Hijr) di dalam Baitullah dan akan aku letakkan pintunya di bahagian bawah sahaja.''


(Hadits riwayat Muslim)

Attachments