
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
JANGAN
ada orang Islam beranggapan bahawa mandi wajib itu perbuatan yang tidak
perlu untuk diambil berat. Tanggapan ini adalah tidak betul malah
merugikan. Lebih malang lagi jika mandi itu tidak sah.
Perlu
diingat, mandi wajib atau disebut juga mandi hadats adalah mandi yang
difardhukan; tidak sah setiap ibadat yang disyaratkan padanya suci
daripada hadats tertentu melainkan dengan mandi tersebut.
Mandi
wajib adalah ibarat kunci, hadats ibarat peti dan ibadat ibarat harta
di dalam peti. Tidak akan dapat dibuka peti dan diambil harta tanpa
kunci peti yang betul. Demikian juga tidak akan terangkat hadats dan
tidak akan sah ibadat tanpa mandi wajib yang betul.
Perkara
yang mewajibkan mandi itu ialah disebabkan mati, haidh, nifas, wiladah
(melahirkan) tanpa keluar darah, junub dan keluar air mani.
Dalil pensyari'atan mandi wajib itu antaranya ialah firman Allah Subhanahu Wata'ala :
Tafsirnya : ''... Jika kamu berjunub (berhadats besar) maka bersucilah (dengan mandi wajib) ...'' (Surah al-Ma'idah : 6)
Perkara-perkara wajib dalam mandi wajib
Tidak sah mandi wajib jika dilakukan tanpa dua perkara berikut :-
1. Niat
Niat
hendaklah dilakukan dalam hati dan disertai dengan permulaan mandi,
iaitu ketika mencurahkan air pada bahagian pertama badan.
Niat dilakukan sama ada dengan :
i) Niat mengangkat hadats yang dimaksudkan.
Sebagai
contoh, berniat mengangkat hadats junub ketika berjunub, berniat
mengangkat hadats haidh setelah mengalami haidh atau berniat mengangkat
hadats nifas setelah mengalami nifas.
ii) Atau memadai dengan satu niat secara umum dan menyeluruh seperti berniat mengangkat hadats atau berniat mengangkat hadats akbar (besar).
iii) Atau niat untuk membolehkan ibadat tertentu yang diwajibkan mandi terlebih dahulu.
Sebagai contoh, berniat mandi untuk menunaikan sembahyang atau berniat mandi untuk membaca Al-Qur'an atau untuk menunaikan thawaf.
iv) Atau niat menunaikan fardhu mandi.
Sebagai contoh : ''Sahaja
aku menunaikan fardhu mandi'' atau ''Sahaja aku mandi fardhu'' atau
''Sahaja aku mandi yang difardhukan'' ataupun ''Sahaja aku mandi
wajib''.
v) Atau niat bersuci daripada hadats atau bersuci untuk sembahyang.
Seperti yang dimaklumi, niat letaknya di dalam hati dan tidak wajib untuk dilafazkan. Walau bagaimanapun, afdhal niat itu disertakan juga dengan disebut atau dilafazkan kerana hukumnya adalah sunat.
2) Meratakan air ke seluruh badan
Wajib
meratakan dan menyampaikan air ke seluruh bahagian zahir badan. Ini
termasuk kuku dan bahagian zahir di bawahnya, rekahan kulit, yang zahir
daripada lubang telinga, kulup dan faraj wanita yang zahir apabila duduk
bertinggung.
Demikian
juga wajib menyampaikan air pada rambut dan bulu-bulu yang tumbuh
termasuk bahagian dalam jika rambut atau bulu itu tebal seperti dengan
menguraikan rambut yang tebal dan mengenakan air pada bahagian dalamnya
atau menyelati air pada janggut yang tebal.
Dalil meratakan air ke seluruh badan seperti yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallahu 'anhu, beliau berkata :
Maksudnya : ''Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam mengambil tiga ceduk (air) dengan kedua
tapak tangan, lalu mencurahkannya ke atas kepala, kemudian barulah
meratakan air tersebut ke seluruh tubuh Baginda.''
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Perkara-perkara sunat dan makruh ketika mandi wajib
Di
samping mandi yang betul dengan memelihara perkara-perkara yang
diwajibkan, mandi juga menjadi lebih sempurna dengan menitikberatkan
perkara-perkara sunat dan menghindari perkara-perkara makruh ketika
mandi wajib. Antara perkara-perkara yang disunatkan itu ialah :
1. Menghadap Qiblat.
2. At-Ta'awwudz, iaitu menyebut 
3. At-Tasmiyyah (Basmalah), iaitu menyebut
atau
pada permulaaan mandi dengan disertai perbuatan mula membasuh dua
pergelangan tangan sebanyak tiga kali dan niat untuk melakukan
perkara-perkara sunat mandi.
4. Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung.
5.
Kencing terlebih dahulu bagi yang inzal (keluar mani) supaya sisa-sisa
mani ikut keluar bersama air kencing kerana jika sisa mani keluar
setelah mandi dilakukan, maka wajib diulang mandi tersebut.
6.
Membersihkan kotoran yang ada pada faraj dengan tangan kiri seperti
kesan mani dan madzi walaupun kotoran dan hadats tersebut dapat
dihilangkan sekali gus dengan mandi wajib sahaja.
7. Afdhal mendahulukan wudhu sebelum mandi.
Niat wudhu ketika mandi wajib pula adalah seperti berikut :
a)
Jika seorang dalam keadaan junub tetapi tidak berhadats kecil seperti
keluar mani disebabkan syahwat apabila melihat isterinya, jika dia
hendak berwudhu sama ada sebelum atau selepas mandi wajib, maka dia
boleh berniat dengan niat melakukan wudhu sunat untuk mandi wajib.
Contoh : ''Sahaja aku melakukan wudhu yang disunatkan pada mandi'' ataupun : ''Sahaja aku berwudhu untuk melakukan perkara sunat mandi'' ataupun : ''Sahaja aku bersuci untuk melakukan perkara sunat mandi.''
b)
Jika seorang dalam keadaan junub dan pada masa yang sama berhadats
kecil, jika dia hendak berwudhu sebelum memulakan mandi wajib, maka dia
boleh berniat dengan niat ''Sahaja aku mengangkat hadats kecil''.
Jika dia berwudhu di pertengahan atau selepas mandi, maka dia boleh berniat sama ada dengan :
-
berniat mengangkat hadats kecil seperti di atas sebagai langkah untuk
mengelak dari berselisih pendapat dengan golongan yang berpendapat
bahawa tidak ada penyatuan di antara hadats kecil dan hadats besar.
- atau berniat wudhu untuk melakukan perkara sunat mandi sahaja.
8.
Bersungguh-sungguh meratakan dan menyampaikan air ke bahagian-bahagian
berlekuk seperti telinga, lubang pusat dan ketiak seperti dengan
mengambil air dalam telapak tangan kemudian menyampaikannya pada
bahagian-bahagian tersebut. Tujuannya ialah untuk memastikan air
betul-betul sampai atau mengenai pada bahagian-bahagian tersebut.
9. Membasuh kepala sebanyak tiga kali dengan menggosoknya dan menyelangi air sehingga ke pangkal rambut.
10. Menyelangi air pada janggut dengan menggunakan jari.
11. Mencurahkan air ke seluruh badan dan menggosoknya sebanyak tiga kali.
12. Mendahulukan sebelah kanan badan kemudian sebelah kiri.
13. Air yang digunakan tidak kurang dari sukatan satu gantang, iaitu kira-kira 4.56 liter.
14. Berturut-turut.
15. Membaca doa yang sering dibaca selepas berwudhu iaitu :

Ertinya : ''Aku
bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah Tuhan yang Esa, tiada sekutu
bagiNya, dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah
hambaNya. Ya Allah, jadikanlah aku dari orang-orang yang sentiasa
bertaubat kepadaMu, dan jadikankanlah aku dari orang-orang yang sentiasa
mensucikan diri. Maha suci Engkau wahai Allah dengan segala puji hanya
milikMu, aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Engkau, aku memohon
keampunanMu dan bertaubat kepadaMu.''
16.
Bagi perempuan haidh dan nifas yang bukan dalam ihram ataupun ihdad
(berkabung), sunat membubuh kesturi atau wangian pada kapas dan
mengusapnya pada faraj selepas mandi.
Bersambung