
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi
Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Hukum Membaca Surah Selepas Surah Al Faatihah Dalam Sembahyang
MEMBACA
surah selepas Surah Al Faatihah dalam sembahyang merupakan sunat hai'at
yang disunatkan sebagai ittiba' (mengikut) perbuatan Nabi Sallallahu
Alaihi Wasallam. Bahkan menurut kebanyakan ulama dalam mazhab
asy-Syafi'e, meninggalkan membaca surah selepas Surah Al Faatihah adalah
makruh.
Maka
adalah sunat membaca surah selepas Surah Al Faatihah bagi imam dan
munfarid (orang yang bersembahyang seorang diri), sama ada dalam
sembahyang jahr, iaitu sembahyang yang dinyaringkan bacaan atau
sembahyang sirr, iaitu sembahyang yang diperlahankan bacaan.
Oleh
yang demikian, sunat hukumnya membaca surah selepas Surah Al Faatihah
dalam sembahyang dua rakaat, sama ada sembahyang fardhu seperti
Sembahyang Jumaat dan Sembahyang Fardhu Subuh atau sembahyang sunat
seperti Sembahyang Sunat Subuh, Sembahyang Sunat Hari Raya dan lainnya.
Begitu
juga disunatkan membaca surah selepas Surah Al Faatihah pada dua rakaat
yang pertama daripada sembahyang empat rakaat, iaitu Sembahyang Fardhu
Zuhur, Asar dan Isyak serta pada dua rakaat yang pertama daripada
sembahyang tiga rakaat, iaitu Sembahyang Fardhu Maghrib.
Adapun
dalam Sembahyang Jenazah pula, maka tidak disunatkan untuk membaca
surah selepas Surah Al Faatihah bahkan hukumnya adalah makruh.
Disyaratkan
bahawa surah tersebut hendaklah dibaca selepas Surah Al Faatihah.
Sekiranya ia dibaca sebelum Surah Al Faatihah maka hukumnya adalah
makruh serta bacaan tersebut tidak dikira kerana ia bertentangan dengan
sunnah. Oleh itu, hendaklah dia mengulang kembali bacaan surah tersebut
selepas dia selesai membaca Surah Al Faatihah.
Kadar Yang Memadai Bagi Bacaan Surah Selepas Surah Al Faatihah Dalam Sembahyang
Tuntutan
sunat membaca sesuatu ayat atau surah daripada Al-Qur'an selepas Surah
Al Faatihah itu dapat dicapai dengan hanya membaca satu ayat sahaja
daripada Al-Qur'an. Bagaimanapun, yang afdhalnya adalah sebanyak tiga
ayat.
Akan
tetapi satu surah yang lengkap, sekalipun surah yang pendek, adalah
lebih afdhal dibaca daripada membaca sebahagian ayat sahaja daripada
surah yang panjang (jika tidak dibaca keseluruhannya). Ini kerana
apabila dibacasebahagian ayat sahaja dari surah yang panjang, boleh jadi
dia waqaf (memberhentikan) di tempat yang tidak diharuskan waqaf, dan
ini boleh memutuskan ayat Al-Qur'an yang mempunyai kaitan dengan ayat
yang selepasnya.
Sekiranya
seseorang membaca satu surah yang sama pada rakaat pertama dan rakaat
kedua, misalnya pada rakaat pertama dia membaca Surah Adh Dhuha,
kemudian pada rakaat kedua dia mengulang kembali Surah Adh Dhuha itu,
maka yang demikian itu adalah memadai dan tercapai tuntutan sunat itu
walaupun dia hafaz surah-surah yang lain.
Adapun
membaca Surah Al Faatihah bagi menggantikan surah-surah tersebut
menurut ulama adalah tidak memadai dan tidak terhasil tuntutan sunat
tersebut.
Dikecualikan
dalam hal ini sekiranya orang tersebut tidak hafaz selain daripada
Surah Al Faatihah. Maka dalam hal ini, tuntutan sunat tersebut terhasil
dan tercapai dengan mengulang Surah Al Faatihah itu sebagai ganti
surah-surah tersebut. Inilah pendapat yang tepat dan dipilih dalam
mazhab asy-Syafi'e.
Tuntutan Membaca Surah Selepas Surah Al Faatihah Bagi Makmum
Tuntutan
untuk membaca surah selepas Surah Al Faatihah ke atas makmum berbeza
dalam sembahyang jahr, iaitu sembahyang yang dinyaringkan bacaan dengan
sembahyang sirr, iaitu sembahyang yang diperlahankan bacaan. Begitu juga
terdapat beza hukum dalam permasalahan ini bagi makmum yang masbuq.
Penjelasannya adalah seperti berikut :
(1) Dalam Sembahyang Jahr
(i) Makmum dapat mendengar bacaan imam.
Tidak
disunatkan ke atas makmum untuk membaca surah selepas Surah Al Faatihah
dalam sembahyang jahr jika makmum itu dapat mendengar bacaan imam.
Bahkan makmum dituntut dan disunatkan untuk mendengar bacaan imam. Ini
berdasarkan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Aa'raf ayat
204 :
Tafsirnya : “Dan apabila Al-Qur'an itu dibacakan, maka dengarkanlah ia (dengan teliti) serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-A'raf : 204)
Jika dia membaca juga maka ini tidaklah membatalkan sembahyang akan tetapi hukumnya adalah makruh.
Walau
bagaimanapun, membaca surah selepas Surah Al Faatihah dalam sembahyang
jahr yang bacaan imamnya dapat didengar oleh makmum boleh menjadi haram
ke atas makmum sekiranya bacaan makmum itu boleh mengganggu jemaah lain.
(ii) Makmum tidak dapat mendengar bacaan imam.
Sekiranya
makmum tidak dapat mendengar bacaan imam dalam sembahyang jahr,
misalnya kerana jauh daripada imam, ataupun imam memperlahankan
bacaannya dalam sembahyang jahr itu, atau makmum tidak dapat mendengar
bacaan imam dengan jelas (sehingga tidak dapat membezakan antara
huruf-hurufnya), ataupun makmum tidak dapat mendengar bacaan imam dengan
baik kerana masalah pendengaran, maka dalam hal ini dituntut ke atas
makmum untuk membacanya. Bagaimanapun, hendaklah makmum tersebut membaca
secara sirr sahaja kerana makmum ditegah daripada membaca secara jahr
di belakang imamnya.
(2) Sembahyang sirr
Adapun
dalam sembahyang sirr pula, maka makmum dituntut untuk membaca surah
selepas Surah Al Faatihah kerana dalam sembahyang sirr makmum tidak
dapat mendengar bacaan imam.
Walau
bagaimanapun, sekiranya imam membaca secara jahr dalam sembahyang yang
sepatutnya dibaca secara sirr, contohnya imam membaca secara jahr dalam
Sembahyang Fardhu Zuhur, maka dalam hal ini makmum tidak disunatkan
untuk membaca surah selepas Surah Al Faatihah, bahkan makmum dituntut
untuk mendengar bacaan imam sepertimana dalam keadaan sembahyang jahr.
(3) Bacaan Surah Selepas Surah Al Faatihah Bagi Makmum Yang Masbuq
(i)
Makmum yang tidak sempat mengerjakan rakaat pertama dan rakaat kedua
bersama imam dalam Sembahyang Fardhu Zuhur atau Isyak misalnya, adalah
disunatkan untuk membaca surah selepas Surah Al Faatihah pada rakaat
terawal yang didapatinya bersama imam.
Sebagai
contoh, seorang makmum baru mengikuti jemaah sedangkan imam sudah
berada pada rakaat ketiga dalam Sembahyang Fardhu Zuhur atau Isyak. Maka
dalam hal ini, sunat makmum yang masbuq itu membaca surah selepas Surah
Al Faatihah pada rakaat yang pertama dan kedua yang dikerjakannya
bersama imam (rakaat ketiga dan keempat bagi imam). Perkara ini boleh
dilakukan jika makmum yang masbuq itu berkesempatan membacanya pada
rakaat tersebut.
Sekiranya
dia tidak ada kesempatan untuk membacanya, maka dia boleh menqadha
bacaan surah selepas Surah Al Faatihah itu secara sirr pada baki rakaat
yang ada selepas imam memberi salam (rakaat ketiga dan rakaat keempat
bagi makmum masbuq). Ini bagi menjaga serta memastikan sembahyangnya itu
tidak kosong daripada surah tanpa sebarang keuzuran.
(ii)
Dalam Sembahyang Fardhu Maghrib pula, sekiranya seorang makmum baru
mengikuti jemaah sedangkan imam sudah berada pada rakaat ketiga, lalu
dia tidak dapat membaca surah selepas Surah Al Faatihah dalam rakaat
yang dikerjakannya bersama imam itu (rakaat pertama bagi makmum masbuq
dan rakaat terakhir bagi imam), kemudian selepas imam memberi salam, dia
tidak juga membaca surah selepas Surah Al Faatihah pada rakaat kedua
yang dikerjakannya secara bersendirian, maka menurut Imam as-Sayyid
al-Bakri Rahimahullah, sunat dia membaca dua surah pada rakaat ketiga
yang dikerjakannya sebagai ganti bacaan surah yang tidak dibacanya pada
rakaat yang pertama dan kedua.
(iii)
Sekiranya makmum yang masbuq itu mendapati imam dalam keadaan dia tidak
sempat membaca Surah Al Faatihah, contohnya dia mula mengikuti imam
semasa imam sedang rukuk pada mana-mana rakaat sembahyang, maka dengan
sendirinya bacaan surah selepas Surah Al Faatihah juga terlepas daripada
tanggungan makmum sepertimana halnya bacaan Surah Al Faatihah terlepas
daripada tanggungan makmum dan ditanggung oleh imam. Maka dari itu, dia
tidak lagi dituntut untuk membaca surah selepas Surah Al Faatihah bagi
rakaat tersebut dan dia tidak perlu menqadhanya pada rakaat yang lain.
Demikian
beberapa penjelasan tentang hukum membaca surah selepas Surah Al
Faatihah bagi makmum. Semoga ia akan menambahkan lagi ilmu kita mengenai
ibadat sembahyang agar kita dapat menunaikan segala tuntutannya, sama
ada yang wajib ataupun yang sunat dengan sempurna sepertimana yang
dituntut oleh syarak.