
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam,
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
MENGETAHUI atau mengenali orang- orang yang dikategorikan sebagai mahram dan bukan mahram adalah amat penting kerana terdapat perbezaan batasan hukum terhadap keduanya.
Mahram
ialah orang lelaki atau perempuan yang haram dinikahi menurut hukum
syara' kerana hubungan nasab (keturunan), sesusuan dan perkahwinan.
Perempuan mahram
kerana hubungan nasab ada disebutkan secara detel dalam al-Qur'an, maka
untuk memudahkan disebutkan satu persatu seperti berikut :
1. Emak kandung, termasuk nenek dan seterusnya keatas.
2. Anak perempuan kandung, termasuk cucu dan seterusnya kebawah.
3. Adik beradik perempuan seibu sebapa.
4. Adik beradik perempuan sebapa.
5. Adik beradik perempuan seibu.
6. Emak saudara sebelah bapa (adikberadik bapa) dan seterusnya keatas.
7. Emak saudara sebelah ibu (adik-beradik ibu) dan seterusnya keatas.
8. Anak perempuan dari adik-beradik lelaki mahupun dari adik-beradik perempuan (anak kemanakan).
Perempuan mahram kerana saudara sesusuan adalah sama pembahagiannya dengan perempuan mahram kerana keturunan, persamaan ini adalah berdasarkan sebuah hadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam daripada 'Aisyah Radhiallahu 'anha:
Maksudnya : ''Dilarang
untuk dinikahi saudara (adik-beradik) perampuan sesusuan sebagaimana
dilarang untuk dinikahi saudara perempuan kerana keturunan.''
(Hadis riwayat Muslim)
Manakala perempuan mahram kerana perkahwinan juga jelas disebutkan dalam al-Qur'an seperti berikut :
1. Emak mertua.
2. Anak menantu.
3. Emak tiri.
4. Anak tiri.
Apa
yang jelas ialah ikatan perkahwinan boleh membuatkan seseorang itu
menjadi mahram, namun timbul persoalan adakah antara emak mertua tiri
dengan menantu lelaki tirinya atau sebaliknya bapa mertua tiri dengan
menantu perempuan tirinya dikategorikan sebagai mahram?
Mungkin
sebilangan orang mempunyai tanggapan bahawa hubungan emak mertua tiri
iaitu emak tiri kepada isteri dengan menantu lelaki tirinya seolah-olah
sama dengan hubungan emak mertua kandung iaitu emak kandung kepada
isteri dengan menantu lelakinya.
Begitu juga sebaliknya
menantu lelaki tiri juga mungkin tidak mengetahui dan beranggapan bahawa
apabila dia sudah berkahwin dengan seorang perempuan yang mempunyai
emak tiri maka emak tiri isterinya itu atau emak mertua tirinya itu
dianggapnya juga sebagai mahram disebabkan perkahwinan.
Begitu juga halnya jika berlaku sebaliknya antara bapa mertua tiri dengan anak menantu perempuan tirinya.
Persoalannya,
adakah tanggapan-tanggapan yang disebutkan itu betul? Maka akan
dijelaskan dengan lebih lanjut adakah mertua tiri termasuk dalam
kategori mahram kepada menantu tirinya?
Siapa Mertua Tiri Dan Siapa Menantu Tiri?
Untuk
memudahkan fahaman, maka akan diterangkan terlebih dahulu siapakah yang
dimaksudkan dengan emak mertua tiri dan menantu tiri?
Pada
dasarnya, apabila seseorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan,
maka hubungan bapa kandung dan emak kandung perempuan itu jika
dinisbahkan kepada suami perempuan itu akan menjadi sebagai bapa mertua
kandung atau emak mertua kandung.
Namun berbeza keadaannya
jika bapa perempuan atau emak perempuan itu berkahwin baru, kerana
isteri bapa perempuan yang baru itu ataupun suami emak perempuan yang
baru itu akan menjadi bapa tiri atau emak tiri kepadanya. Maka hubungan
bapa tiri atau emak tiri perempuan itu jika dinisbahkan kepada suami
perempuan itu akan menjadi sebagai bapa mertua tiri ataupun emak mertua
tiri.
Begitulah gambaran bagaimana boleh terjadinya bapa
mertua tiri atau emak mertua tiri dan anak menantu lelaki tiri atau anak
menantu perempuan tiri.
Adakah Sama Antara Mertua Kandung Dengan Mertua Tiri
Dan Antara Menantu Kandung Dengan Menantu Tiri?
• Perbezaan mertua kandung dengan mertua tiri
Terdapat
perbezaan antara bapa mertua kandung dengan bapa mertua tiri dan antara
emak mertua kandung dengan emak mertua tiri sebagaimana diterangkan
sebelum ini.
Apabila berlaku perkahwinan antara seorang lelaki
dengan seorang perempuan, maka bapa kandung lelaki itu akan menjadi
mahram kepada isterinya kerana dikira sebagai bapa mertua kandung kepada
isteri. Begitu juga sebaliknya emak kandung perempuan itu akan menjadi
mahram kepada suaminya kerana dikira sebagai emak mertua kandung kepada
suami.
Al-Qur'an al-Karim telah menyebutkan kedudukan emak mertua kandung sebagai salah seorang mahram disebabkan perkahwinan.
Perkara ini jelas sebagaimana Allah Ta'ala berfirman :
Tafsirnya : ''Dan emak-emak kepada isteri-isteri kamu (emak mertua termasuk nenek perempuannya) …''
(Surah an-Nisa : 22)
Namun
tidaklah sama halnya jika seorang lelaki itu berkahwin dengan seorang
perempuan yang mempunyai emak tiri, kerana walaupun setelah lelaki dan
perempuan itu berkahwin, emak tiri perempuan itu tidaklah menjadi mahram
kepadanya, begitu juga jika berlaku sebaliknya seorang perempuan
berkahwin dengan seorang lelaki yang mempunyai bapa tiri, bapa tiri
lelaki itu juga tidak menjadi mahram kepada perempuan itu.
Bahkan
seorang lelaki boleh mengahwini emak mertua tirinya jika berlaku
perceraian atau kematian kepada bapa isterinya sepertimana disebutkan
dalam kitab al-Hawi al-Kabir seperti berikut :
Ertinya :
''(Bagi tujuan untuk dijadikan isteri) tidak mengapa bagi seorang
lelaki menghimpunkan seorang perempuan dengan (bekas) isteri bapa
perempuan itu (iaitu bekas emak tiri perempuan itu) atau (dengan bekas)
isteri anak lelaki perempuan itu, dan menghimpunkan seorang perempuan
dengan anak tiri perempuan itu, kerana di antara mereka tidak ada ikatan
nasab.''
(Kitabal-Hawi al-Kabir: 11/292)
Justeru
itu, kedudukan mertua kandung adalah tidak sama dengan mertua tiri.
Hubungan mertua kandung dengan menantu kandungnya adalah hubungan mahram
muabbad (selamalamanya). Manakala hubungan mertua tiri dengan menantu
tiri adalah ajnabi (orang asing).
• Perbezaan menantu
kandung den gan menantu tiri Begitu juga terdapat perbezaan antara
menantu lelaki kandung dengan menantu lelaki tiri dan antara menantu
perempuan kandung dengan menantu perempuan tiri.
Apa yang jelas ialah isteri bagi anak kandung (menantu kandung) adalah mahram muabbad sementara isteri bagi anak tiri (menantu tiri) adalah ajnabi.
Menantu yang dikira sebagai mahram muabbad
sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur'an al-Karim itu ialah isteri dari
anak kandung, bukan isteri dari anak tiri. Untuk lebih jelas disebutkan
sekali lagi ayat tersebut, firman Allah Ta'ala :
Tafsirnya : ''Dan (haram kamu berkahwin dengan bekas) isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu (termasuk isteri cucu).''
(Surah an-Nisaa' : 23)
Syeikh al-Khatib Asy-Syarbini rahimahullahu Ta'ala
menyatakan dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj bahawa isteri daripada anak
angkat samalah juga dengan isteri anak tiri tidaklah termasuk kategori mahram,
dan tidak haram mengahwininya selepas dia bercerai dengan suaminya.
Maka untuk lebih jelas dibawakan nash dari kitab Mughni al-Muhtaj
tersebut :
Ertinya : ''Tidak termasuk
(daripada kategori mahram itu)ialah isteri anak angkat (termasuk juga
isteri anak tiri), maka tidak haram keatas seseorang (mengahwini
bekas)isteri anak angkatnya kerana anak angkatnya itu bukanlah anaknya
sebenar.''
(Kitab Mughni al-Muhtaj : 12/243)
Berdasarkan
penjelasan itu jelaslah bahawa mertua tiri dan menantu tiri tidaklah
ada ikatan mahram dan hubungan antara keduanya adalah seperti hubungan
bersama dengan orang asing.