
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, 
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Pengertian mufaraqah dari segi bahasa ialah berpisah atau meninggalkan. Manakala dari segi istilah pula, pengertian mufaraqah itu adalah serupa sepertimana pengertiannya dari segi bahasa.
Pengertian mufaraqah
 dalam ibadat sembahyang pula jika dikaitkan mengikut makna dari segi 
bahasa ialah makmum berpisah daripada mengikut imam dalam sembahyang 
berjemaah.
Apabila makmum berniat mufaraqah maka terputuslah 
hubungan sembahyang makmum dengan sembahyang imam, dan apa juga hukum 
yang berlaku ke atas imam tidak akan menjejaskan hukum sembahyang makmum
 seperti hukum mengikut imam atau hukum imam terlupa atau tersilap.
Dalam perkara mufaraqah
 ini, kitab Bughyatul Mustarsyidin, yang ditulis oleh Sayyid Abdurrahman
 Ba‘alawi Rahimahullahu Ta‘ala, menyebutkan bahawa mufaraqah itu 
terbahagi kepada lima hukum:
Ertinya: “Sesungguhnya perihal berpisah daripada mengikut imam dalam sembahyang berjemaah adalah tertakluk kepada hukumhakam yang lima. Wajib (berpisah daripada mengikut imam), umpamanya apabila melihat imam melakukan perkara yang membatalkan sembahyang, dan sunat (berpisah daripada mengikut imam) apabila melihat imam tertinggal sunat sembahyang, dan harus (berpisah daripada mengikut imam), umpamanya apabila mendapati imam memanjangkan sembahyang, dan makruh (berpisah daripada mengikut imam) tanpa keuzuran, kerana yang demikian itu meninggalkan fadhilat berjemaah, dan haram (berpisah daripada mengikut imam) jika yang demikian itu menyebabkan syiar tidak menyerlah (kewajipan agama) atau sembahyang jemaah itu merupakan satu kewajipan seperti sembahyang Jumaat.”
(Kitab Bughyah al-’Musytarsyidin: 74)
Berdasarkan
 penjelasan di atas, makmum dibolehkan atau dibenarkan berniat keluar 
daripada imamnya (mufaraqah) dalam sembahyang berjemaah mengikut 
keadaankeadaannya yang tertentu sehinggakan adakalanya makmum tidak 
perlu berniat mufaraqah tetapi hanya perlu menyelesaikan sembahyangnya 
secara bersendirian. Ini bermakna melakukan mufaraqah dalam sembahyang 
berjemaah adakalanya harus, adakalanya pula wajib bahkan adakalanya 
makruh dan haram.
Keadaan-keadaan mufaraqah
Sebagaimana disebutkan sebelum ini bahawa hukum mufaraqah
 boleh menjadi wajib, sunat, harus, makruh dan haram mengikut keadaan 
yang berlaku ke atas imam dan makmum.Maka untuk lebih jelas dibawakan 
beberapa gambaran keadaan-keadaan mufaraqah itu.
1. Mufaraqah kerana imam terlupa atau tersilap melakukan rukun sembahyang.
Apabila
 imam tersilap atau terlupa melakukan rukun sembahyang, maka makmum 
sunat mengingati imam dengan cara ucapan tasbih (Subhanallah) bagi 
makmum lelaki dan dengan cara tashfiq bagi makmum khuntsa dan perempuan.
 Jika imam menyedari akan kesilapannya lalu mengerjakan rukun yang 
tertinggal itu, maka wajib bagi makmum mengikut imam tersebut.
Akan
 tetapi jika imam tidak juga melakukan rukun yang tertinggal itu, makmum
 tidaklah boleh terus mengikut sembahyang imam tersebut malah haram 
hukumnya. Oleh yang demikian makmum wajib berniat mufaraqah dan 
menyelesaikan sembahyangnya secara bersendirian.
Menyentuh tentang tashfiq yang dikhususkan bagi makmum khuntsa serta perempuan, ia boleh dilakukan dengan cara-cara berikut:
(a) Menepukkan tapak tangan kanan ke belakang tangan kiri.
(b) Menepukkan belakang tangan kanan ke tapak tangan kiri.
(c) Menepukkan belakang tangan kanan ke belakang tangan kiri.
(d) Menepukkan belakang tangan kiri ke tapak tangan kanan.
(e) Menepukkan tapak tangan kiri ke belakang tangan kanan.
(f) Menepukkan belakang tangan kiri ke belakang tangan kanan.
2. Mufaraqah kerana imam terlupa atau tidak melakukan perkara sunat dalam sembahyang.
Jika
 imam didapati meninggalkan sunat sembahyang seperti tasyahhud awal 
ataupun qunut, sama ada terlupa ataupun sengaja, yang demikian itu 
tidaklah membatalkan sembahyang jika makmum terus mengikut imam 
sekalipun dia tidak melakukan tasyahhud awal ataupun qunut tersebut. 
Akan tetapi adalah sunat hukumnya bagi makmum berniat mufaraqah untuk 
melakukan perkara sunat itu.
Perlu diingat bahawa terdapat 
perbezaan di antara cara mengulangi perkara sunat sembahyang yang 
tertinggal dengan rukun sembahyang yang tertinggal.
Pada 
dasarnya, jika seseorang itu bersembahyang secara bersendirian dan 
terlupa akan salah satu dari rukun sembahyang, maka dia hendaklah terus 
melakukan rukun tersebut sejurus setelah dia teringat walaupun setelah 
berlalu beberapa rukun yang lain. Ini kerana rukun lain yang 
dilakukannya itu (selepas rukun yang tertinggal itu) adalah tidak dikira
 selagi rukun yang tertinggal itu tidak dilakukannya.
Manakala
 jika seseorang itu tertinggal akan salah satu daripada sunat sembahyang
 dia boleh melakukan sunat sembahyang yang tertinggal itu selagi dia 
belum sempurna melakukan rukun yang seterusnya. Sebagai contoh, jika 
yang tertinggal itu tasyahhud awal maka dia boleh kembali melakukan 
tasyahhud awal itu selagi belum sempurna melakukan rukun qiyam pada 
rakaat seterusnya. Ini kerana jika sudah sempurna rukun qiyam pada 
rakaat seterusnya itu, maka dia tidaklah boleh kembali duduk untuk 
melakukan tasyahhud awal yang tertinggal itu. Jika dilakukannya juga, perbuatannya itu akan membatalkan sembahyangnya.
Sehubungan
 dengan itu, jika makmum melihat imamnya terlupa sehingga tidak 
melakukan tasyahhud awal, dan imam tersebut terus bangkit sehingga 
sempurna mengerjakan qiyam (berdiri betul), maka makmum tidak boleh 
duduk menunggu imam dengan andaian bahawa imam itu akan duduk kembali 
untuk mengerjakan tasyahhud awal. Bahkan wajib makmum bangkit mengikut 
imam untuk mengerjakan qiyam. Ini kerana perbuatan makmum duduk menunggu
 imam itu akan membatalkan sembahyang makmum disebabkan melakukan 
perbuatan yang bersalahan dengan perbuatan imam.
Jika makmum 
tetap sahaja senghaja duduk menunggu imam yang sudah bangkit dan 
sempurna mengerjakan qiyam dengan andaian bahawa imam tersebut akan 
kembali duduk mengerjakan tasyahhud awal, maka batal sembahyang makmum 
jika dia tidak berniat mufaraqah. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami 
Rahimahullah, dalam perkara seumpama ini (imam terlupa atau senghaja 
meninggalkan tasyahhud awal), mufaraqah daripada imam itu adalah lebih 
utama.
 
Bersambung