Sifat Tawaduk

Seruan Suci
25/07/2015

seruan


MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.


Manusia adalah makhluk Allah Subhanahu Wata’ala yang istimewa dan juga sebaik-baik ciptaan-Nya berbanding dengan makhlukmakhluk lain di muka bumi ini. Manusia dijadikan mempunyai fizikal yang cantik dan diberikan akal fikiran. Selain itu, manusia juga dianugerahkan dengan akhlak. Akhlak mulia merupakan salah satu ciri penting bagi seseorang manusia.


Sesungguhnya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam itu adalah orang yang mempunyai sebaik-baik akhlak untuk dicontohi dan diteladani. Firman Allah SubhanahuWata'ala dalam Surah Al Qalam ayat 4 :


Tafsirnya : ''Dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak mulia.''


Bahkan dikatakan juga bahawa orang yang paling baik itu ialah orang yang memiliki akhlak yang mulia. Justeru, kita hendaklah mengasihi diri kita dengan akhlak mulia dan membuang akhlak keji kerana perkara tersebut adalah perintah dan suruhan Allah Subhanahu Wata'ala dan Rasul-Nya. Antara akhlak mulia yang patut dimiliki oleh setiap umat Islam ialah bersifat tawaduk.


Apakah dia sifat tawaduk itu? Sifat tawaduk adalah sifat terpuji yang menjadikan seseorang itu merendahkan diri tanpa melampaui batas hingga ke darjat menghinakan diri sendiri. Jika sikap seseorang itu berlebih-lebihan dan meninggikan diri pula, maka itu adalah sifat takbur dan jika keterlaluan merendah diri, maka itu adalah kehinaan. Contohnya dalam pakaian, jika seseorang itu berpakaian yang bagus dengan tujuan untuk menarik perhatian orang ramai atau untuk kemasyhuran, maka itu tandanya dia bersifat riya dan bangga diri (takbur) dengan pakaian. Agama Islam tidak juga menyuruh umatnya untuk terlalu merendah diri sehingga berpakaian koyak-rabak atau compang-comping sedangkan dia mampu untuk memakai pakaian yang lebih elok. Sikap yang baik ialah bersederhana, iaitu pakaian yang tidak terlalu menjolok mata kerana terlalu indah dan tidak juga terlalu buruk dan lusuh.


Hakikatnya tawaduk adalah sifat yang sangat mulia. Orang ramai bersifat tawaduk akan merasakan dirinya mempunyai kelemahan dan kekurangan. Adapun kekuatan, kekayaan, kepandaian dan apa jua kelebihan yang dimilikinya, semuanya adalah pemberian dari Allah Subhanahu Wata'ala. Ketahuilah bahawa Allah Subhanahu Wata'ala mencintai orang-orang yang bersifat tawaduk. Bahkan sifat tawaduk juga dapat meninggikan darjatnya di sisi Allah Subhanahu Wata'ala dan di sisi manusia. Dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, ia berkata, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :


Maksudnya : ''Sedekah tidaklah mengurangi harta. Tidaklah Allah menambahkan kepada seorang hamba sifat pemaaf melainkan akan semakin memuliakan dirinya. Dan juga tidaklah seseorang memiliki sifat tawaduk (rendah diri) kerana Allah melainkan Allah akan meninggikan darjatnya.'' (Riwayat Al-Imam Muslim)


Dalam kitab Mau'idzatulmu'minin Minihya Ulumiddin, ada diriwayatkan dalam suatu peristiwa bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah dikunjungi seorang tetamu pada suatu malam. Ketika itu, Khalifah Umar sedang menulis tetapi lampu minyak mejanya hampirhampir padam. Maka tetamu itu pun berkata : ''Izinkan aku membetulkan lampu itu.'' Jawab Khalifah Umar : ''Tidak mengapa, bukan sifat yang mulia jika tuan rumah membiarkan tetamunya berkhidmat kepadanya.'' Kata tetamu itu pula : ''Baiklah, kalau begitu biarlah saya panggilkan pelayanmu untuk membetulkan lampu itu.'' Jawab Khalifah Umar : ''Tidak perlu, pelayanku itu baru saja tidur. Jangan kejutkan dia.'' Lalu beliau sendiri bangun dan menuangkan minyak pada lampu itu. Melihat itu tetamu berkata : ''Apakah engkau sendiri melakukan ini wahai Amirul Mukminin?'' Jawab Khalifah Umar : ''Kenapa tidak, bila aku pergi mencari minyak itu, saya adalah Umar, dan bila saya kembali supaya pun adalah Umar. Tidak ada sesuatu yang kurang pada peribadiku. Semulia-mulia manusia ialah orang yang merendah diri."


Dari kisah tersebut kita ambillah pengajaran betapa Umar sebagai Khalifah yang agung juga mengerjakan kerja-kerja yang dilakukan oleh orang-orang biasa padahal beliau boleh sahaja membangunkan pekerjanya untuk melakukan tugas tersebut. Dari kisah ini, Umar mempamerkan sifat tawaduk yang perlu dicontohi oleh semua orang.


Dalam kisah yang lain pula, Abu Salamah pernah berkata : Pernah saya bertanya apakah pendapat Abu Said Al-Khudri tentang sikap orang ramai terhadap pakaian, minuman, kenderaan dan makanan. Abu Said menjawab : Wahai anak saudaraku! Makanlah kerana Allahdan minumlah kerana Allah. Dan bila berpakaian pakailah kerana Allah. Tetapi apabila perkaraperkara itu bercampur dengan ujub, sombong, riya atau meminta pujian dan sanjungan, maka ketika itu ia menjadi suatu maksiat dan dosa. Dan dilakukan juga kerja-kerja rumah tangga seperti mana yang dikerjakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di rumah Baginda sendiri. Baginda sendiri yang memerah susu, menampal kasut, menjahit baju, makan bersama-sama pelayannya.


Baginda sendiri yang mengurus soal pembelian barang-barang keperluan rumah, lalu membawanya sendiri ke rumah tanpa segan silu. Baginda berjabat tangan dengan orang yang kaya dan orang yang miskin. Baginda sering mendahului salam kepada orang yang datang mengunjunginya, tidak kira kecil atau besar. Baginda menyambut baik bila diundang dan tidak pula mencaci apa saja makanan yang dijamu oleh pengundang. Baginda seorang yang berbudi pekerti, pergaulannya baik, berwajah manis, tegas tanpa kekerasan, merendah diri tanpa penghinaan, murah hati tanpa boros dan berhati lembut.


Apa yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tersebut membuktikan betapa tinggi dan luhurnya akhlak Baginda. Baginda adalah seorang yang tawaduk dan berhati mulia, tidak membangga diri dan tidak sombong sedangkan kedudukan Baginda itu adalah hampir di sisi Allah Subhanahu Wata'ala, maka apatah lagi kita manusia biasa.


Sifat tawaduk adalah sifat yang dapat menghindarkan diri kita dari bersifat sombong. Sedangkan sifat sombong itu adalah sifat yang keji dan dibenci oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Bagi menghindarkan sifat sombong dan menyuburkan sifat tawaduk, maka kita hendaklah mengamalkan segala ajaran Al-Qur'an dan Hadis, memperbanyakkan zikir dan doa agar hati dan jiwa sentiasa terdorong untuk berakhlak mulia dan berbuat kebaikan dan seterusnya kita hendaklah mencontohi sikap dan sifat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Akhirnya marilah kita samasama berdoa semoga kita semua memiliki akhlak mulia dan bersifat tawaduk, semoga dengannya ikatan ukhuwah Islamiah semakin erat dan kita semua dapat menikmati kehidupan yang aman dan bahagia.


Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Furqan ayat 63 :


Tafsirnya : ''Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Pemurah ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), maka menjawab dengan perkataan yang baik-baik (untuk menghindarkan dosa).''

Attachments