
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam,
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Islam
mewajibkan memakan makanan yang halal lagi baik. Kerana itu pemakanan
halal adalah perkara yang penting dalam hidup seharian. Adapun memakan
sesuatu yang haram adalah perbuatan dosa dan mendapat balasan api neraka
di akhirat kelak. Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati dan perlu
menjaga pemakanan daripada perkara yang haram.
Pada masa
sekarang, bermacam-macam jenis makanan yang dihasilkan dengan bahan
ramuan yang pelbagai jenis sama ada bahan asli yang bersumber daripada
tumbuh-tumbuhan, haiwan, mikro-organisma atau bahan-bahan tiruan dan
lain-lain sehingga serangga pun turut dijadikan bahan ramuan seperti
dijadikan bahan pewarna dan sebagainya.
Persoalannya, adakah boleh serangga dijadikan sebagai bahan makanan ataupun tidak?
Serangga Tidak Halal Dimakan
Serangga
seperti lipas, kumbang, ulat, semut, cicak, kala jengking, labah-labah,
nyamuk, lebah dan lalat adalah haram dimakan melainkan belalang. Ini
kerana serangga adalah termasuk dalam sesuatu yang dianggap buruk dan
menjijikkan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Tafsirnya: “…
dan dia (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) menghalalkan bagi
mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang
buruk...”
(Surah al-A'raf: 157)
Adapun ulat
yang lahir dari buah atau makanan seperti ulat buah, kurma, bijirin,
keju dan cuka, menurut pendapat yang ashah, ulat itu boleh dimakan
bersama-sama dengan buah atau makanan tersebut jika ia sukar untuk
dihindari. Tetapi jika tidak ada kesukaran untuk menghindarinya maka
haram dimakan ulat tersebut. Begitu juga, ulat yang lahir dari buah atau
makanan seperti ulat buah, jika dimakan berasingan dan tidak dimakan
bersama-sama buah tersebut maka haram memakan ulat itu kerana ia
termasuk dalam kategori sesuatu yang najis dan menjijikkan.
Bangkai serangga najis
Menurut
Imam ar-Rafi'e Rahimahullah dari Mazhab Syafi'ie, hukum asal bagi
bangkai itu adalah najis sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Tafsirnya : “Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai (binatang yang mati tanpa disembelih)...”
(Surah al-Ma'idah: 3)
Sebab
pengharaman bangkai itu adalah kerana ia benda najis. Oleh yang
demikian, semua bangkai adalah najis melainkan bangkai ikan, belalang
dan mayat manusia. Kehalalan dan kesucian bangkai ikan dan belalang itu
ada disebutkan dalam riwayat 'Abdullah bin 'Umar Radhiallahu 'anhuma,
beliau berkata:
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kami dua jenis bangkai dan dua jenis darah iaitu belalang dan ikan, hati dan limpa.”
(Hadits riwayat al-Baihaqi)
Sementara
mayat manusia pula, ia adalah suci kerana kemuliaan manusia itu tidak
dihukumkan najis. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya : “Dan
demi sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam (manusia) dan
Kami telah mengangkut mereka (di dalam pelbagai kenderaan) di darat dan
di laut dan Kami telah mengurniakan mereka rezeki yang baik serta Kami
telah melebihkan mereka atas kebanyakan makhluk yang Kami telah ciptakan
dengan kelebihan yang sempurna.”
(Surah al-Isra’: 70)
Adakah bangkai serangga boleh menajiskan air dan cecair?
Bangkai
serangga yang tidak mengalir darahnya seperti lipas, kumbang, ulat,
semut, cicak, kala jengking, labah-labah, nyamuk, lebah, kutu dan lalat
yang kena pada cecair atau air yang sedikit adalah dimaafkan dan tidak
menajiskan cecair atau air tersebut kerana kesukaran untuk
menghindarinya, melainkan jika bangkai itu merubah sifat-sifat cecair
atau air yang sedikit itu, ataupun bangkai itu dicampakkan oleh
seseorang dengan sengaja ke dalam cecair atau air yang sedikit itu maka
ia menajiskannya.
Maksud merubah sifat-sifat air itu ialah
merubah warna, rasa dan bau air walaupun dengan perubahan yang sedikit.
Manakala yang dimaksudkan dengan air yang sedikit ialah air yang kurang
daripada dua qullah.
Disebutkan dalam Fatwa Mufti Kerajaan
Negara Brunei Darussalam, kadar dua qullah ialah lebih kurang 161 liter
atau isi padu empat segi 60x60x60x60cm. (Siri fatwa: 19/2004).
Adapun
maksud serangga yang tidak mengalir darahnya ialah serangga yang tidak
mengalir darahnya apabila dibelah anggotanya pada ketika ia hidup, sama
ada serangga itu pada asalnya tidak mempunyai darah ataupun mempunyai
darah akan tetapi tidak mengalir.
Perkara ini ada disebutkan
dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu,
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Apabila
lalat jatuh ke dalam minuman seseorang daripada kamu, maka hendaklah
dia selamkannya (lalat itu ke dalam minuman), kemudian hendaklah dia
keluarkannya (lalat itu dari minuman). Sesungguhnya pada salah satu
sayapnya itu ada membawa penyakit, dan pada sayap yang satu lagi ada
penawar.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits
ini menunjukkan bahawa bangkai lalat tidak menajiskan cecair. Sekiranya
ia menajiskan cecair, nescaya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam
tidak akan memerintahkan supaya menyelamkan lalat itu ke dalam minuman.
Tambahan lagi apabila lalat itu diselamkan ke dalam air yang panas,
kadang-kadang ia boleh mengakibatkan lalat tersebut mati. Namun air itu
masih boleh diminum setelah bangkai lalat tersebut dibuang. Oleh itu,
tiap-tiap bangkai serangga yang tidak mengalir darahnya sama hukumnya
dengan bangkai lalat.
Adapun bangkai serangga yang mengalir
darahnya adalah termasuk dalam najis yang tidak dimaafkan. Jika ia kena
pada cecair sama ada kurang atau lebih daripada dua qullah dan sama ada
ia menyebabkan sifat cecair itu berubah ataupun tidak, ia tetap
menajiskan cecair tersebut. Hal ini disebutkan dalam hadits yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu
'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Apabila
jatuh tikus ke dalam minyak sapi (lalu menjadi bangkai), jika ia
(minyak sapi itu) beku maka buanglah ia (bangkai tikus) dan apa yang di
sekelilingnya, dan jika ia (minyak sapi itu) cair maka janganlah kamu
dekatinya (janganlah kamu memakannya).”
(Hadits riwayat Abu Daud)
Oleh
yang demikian, bangkai serangga selain belalang adalah haram untuk
dijadikan bahan makanan termasuk bahagian-bahagian yang diambil daripada
serangga tersebut seperti bahan pewarna yang diekstrak daripada
serangga. Ini kerana kesemua bahagian bangkai adalah dihukumkan najis
sebagaimana yang disebutkan oleh asy-Syeikh Zainuddin al-Malibari
Rahimahullah:
Ertinya : “Maka bangkai
adalah najis walaupun (bangkai binatang yang) tidak mengalir darahnya
dan begitu juga bulunya, tulangnya dan tanduknya.”
Bahan Pewarna Daripada Cochineal Adalah Najis
Khusus
mengenai bahan pewarna Cochinea iaitu sejenis serangga yang sering
dijadikan bahan pewarna dalam makanan. Sungguhpun cochineal itu serangga
yang tidak mengalir darahnya namun bangkainya najis dan tidak halal
dimakan.
Walaupun penggunaan cochineal hanyalah pada ekstrak
daripada serangga tersebut yang dijadikan sebagai bahan pewarna, tetapi
ia tetap dihukumkan haram kerana bahan pewarna itu merupakan bahagian
daripada bangkai serangga berkenaan, sekalipun penggunaannya dalam
kuantiti yang sedikit pada suatu produk.
Tambahan lagi bahan
pewarna dari cochineal itu jelas dapat mengubah sifat cecair yang
menjadikan cecair dalam makanan itu mutanajjis atau bercampur najis.
Selain itu, penggunaan bahan pewarna tersebut bukan berlaku kerana tidak
dapat dielakkan, bahkan sebaliknya ia dimasukkan dengan senghaja ke
dalam produk makanan. Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, bangkai
dari jenis binatang yang darahnya tidak mengalir, jika ia mengubah sifat
cecair atau ia dicampakkan dengan senghaja pada cecair yang suci, maka
ia akan menajiskan cecair tersebut.
Produk Yang Menggunakan Bahan Pewarna Daripada Cochineal Adalah Membahayakan
Menurut
penyelidikan dan kajian yang dijalankan oleh pihak yang berotoriti,
antaranya sekumpulan penyelidik daripada University of Machigan, Ann
Arbor, Michigan, Amerika Syarikat, bahan pewarna daripada serangga
cochineal yang dibubuh pada gula-gula, yougurt, minuman buah-buahan
boleh menyebabkan berbagai penyakit yang merbahaya. Antara penyakit
tersebut, alahan tindak balas yang mengancam nyawa, menyebab kesan
hiperaktif (tingkah laku yang terlalu aktif sehingga sukar dikawal) yang
buruk terhadap kanak-kanak dan penyakit barah. Pihak Parlimen British
dan Eropah pula ada mencadangkan supaya pewarna dari serangga ini
diharamkan kerana kesan mudharat pewarna tersebut. Pernah dilaporkan
berlakunya jangkitan pada usus yang melibatkan penggunaan cochineal dan
menyebabkan kematian anak damit di Boston, Amerika Syarikat dan juga
seramai 22 orang menghidap demam yang sangat serius akibat memakan
produk yang menggunakan pewarna tersebut. (A Consummer’s Dictionary of Food Additives, Ruth Winter: 72&212).
Maka
berdasarkan penjelasan di atas, produk yang menggunakan bahan pewarna
daripada serangga cochineal adalah tidak halal dimakan kerana produk
tersebut telah tercemar dengan najis dan boleh mendatangkan
kemudharatan.