Tanggungjawab dalam keluarga

Seruan Suci
30/04/2016

seruan

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Yaa Siin, ayat 36 yang tafsirnya :

"Maha suci Allah yang telah menciptakan semuanya berpasang-pasangan sama ada yang tumbuh di bumi atau daripada mereka sendiri ataupun daripada yang mereka tidak mengetahuinya."

Perkahwinan adalah satu ibadat yang dituntut oleh syara'. Perkahwinan boleh mendatangkan keberkatan dan keharmonian dalam kehidupan dan juga mengeratkan hubungan antara sesama manusia. Bagaimanapun, untuk membentuk dan mengekalkan sesebuah keluarga bahagia itu bukanlah suatu perkara yang mudah, kerana ia memerlukan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Islam mengajarkan umatnya agar menjadikan rumah tangga sebagai sebuah institusi yang aman, selamat, sihat, harmoni dan bahagia buat seluruh keluarga. Oleh itu, pembinaan keluarga yang bahagia ini perlu dilihat kepada peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh setiap isi rumah, merangkumi ibu bapa dan anak-anak. Tanggungjawab ini haruslah disemai sejak di awal perkahwinan lagi supaya ibu bapa menjadi orang pertama memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang betul kepada anak-anak. Suami atau ayah sebagai ketua keluarga adalah orang yang berperanan penting dan bertanggungjawab dalam menjaga kemaslahatan, memberikan bimbingan, pimpinan serta didikan kepada isteri, anak-anak dan keluarga agar mereka menjadi orang-orang mukmin yang bertakwa serta hidup bahagia lagi sempurna di dunia dan di akhirat. Ini tidak akan dapat dicapai melainkan suami atau ayah itu sendiri terlebih dahulu menghayati dan mengamalkan ajaran agama Islam, kerana pimpinan dan ikutan yang berkesan itu adalah melalui contoh dan teladan. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah An-Nisa ayat 34 :

Tafsirnya : "Laki-laki adalah pemimpin terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan laki-laki dengan beberapa keistimewaan atas kaum perempuan, dan juga kerana laki-laki memberi nafkah dari harta mereka."

Kita menyedari bahawa fenomena keluarga masa kini sangat mencabar berbanding zaman dahulu. Sebagai ketua keluarga, suami perlu menjadikan konsep 'mawadah warahmah' (kasih sayang dan belas kasihan) sebagai asas yang penting dalam kekeluargaan. Para suami hendaklah memiliki sifat mesra, menyayangi, mengasihi dan balas kasihan terhadap isteri. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Ar-Rum ayat 21 :

Tafsirnya : "Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya bahawa dia menciptakan bagi isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu cenderong dan merasa senang kepada-Nya dan dijadikan-Nya di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan rahmat (balas kasihan)."

Dalam kehidupan berumah tangga, perlu ada sikap saling bantu membantu antara suami isteri. Semangat dan sikap bantu membantu adalah nilai-nilai yang luhur dan mulia yang boleh membahagiakan keluarga dan diredhai oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Para suami digalakkan untuk menolong dan membantu isteri bagi meringankan tugas isteri, di samping tidak meninggalkan tanggungjawab yang telah diberikan. Inilah yang dilakukan oleh Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah contoh teladan kepada umat manusia. Baginda telah menunjukkan peribadi yang baik terhadap keluarga sebagai seorang suami, bapa dan sekali gus ketua keluarga. Selain sebagai seorang rasul, nabi dan ketua negara, Baginda juga telah berjaya menjadi seorang suami mithali.

Manakala peranan isteri pula wajiblah mentaati suami dan bertanggungjawab menjaga rumah tangga dengan membantu dan bekerjasama dalam usaha mewujudkan rumah tangga yang bahagia. Sabda Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari :

Maksudnya : "Dari Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma, Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu. Seorang pemerintah adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan bertanggungjawab terhadap ahli keluarganya, seorang perempuan adalah penjaga kepada rumah suaminya dan dia bertanggungjawab terhadapnya."

Selain ayah dan ibu, anak-anak juga mempunyai peranan dalam sesebuah keluarga, peranan dan tanggungjawab anak-anak ialah mentaati kedua ibu bapa mereka, bersikap dan bercakaplah dengan berlemah lembut dan bersopan santun. Sesungguhnya kedudukan ibu bapa di dalam Islam amat tinggi sehingga seorang anak diwajibkan menghormati dan memuliakan ibu bapanya. Pengorbanan dan jasa kedua ibu bapa amat besar, mereka merupakan insan mulia dan berjasa dalam mengasuh, membesarkan, mendidik dan melengkapkan setiap keperluan anak dengan kesabaran, keikhlasan dan rasa kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Sebagai seorang anak hendaklah menanamkan rasa cinta dan kasih sayang kepada ibu bapa untuk mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Dalam era globalisasi ini peralatan moden sememangnya boleh merapatkan hubungan, namun apa yang menyedihkan, kegunaannya telah disalahgunakan oleh sebilangan orang menyebabkan hubungan mesra bersama keluarga menjadi renggang. Masing-masing sibuk dengan telefon bimbit, komputer, televisyen dan sebagainya. Ini boleh diatasi dengan beberapa cara bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan, antaranya ialah dengan menggunakan segala peralatan tersebut dengan bijak. Selain itu, untuk merapatkan hubungan kekeluargaan ialah dengan mengamalkan sembahyang berjemaah bersama keluarga. Sembahyang berjemaah mempunyai fadhilat dan ganjaran pahala yang amat besar. Oleh itu, dirikanlah sembahyang berjemaah bersama keluarga secara rutin kerana mendirikan sembahyang secara berjemaah bersama isteri, anak-anak dan keluarga itu boleh menjadikan sebuah keluarga yang sakinah 'mawadah warahmah', iaitu keluarga yang aman, penuh kasih sayang dan balas kasihan.

Seterusnya ialah mengadakan aktiviti kerohanian di rumah seperti membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya. Al-Quran adalah kalamullah yang mempunyai hikmah dan fadilat bagi setiap yang membacanya sekalipun hanya mendengarnya. Suami isteri dan keluarga dianjurkan mendampingi, membaca dan beramal dengan Al-Quran. Sesungguhnya rumah yang dibacakan Al-Quran akan mendapat keluasan rezeki, sentiasa dihadiri oleh malaikat, menjauhkan syaitan dan sentiasa mendapat kebaikan serta keberkatan. Manakala rumah yang tidak dibacakan di dalamnya Al-Quran, boleh menjauhkan para malaikat dan dihampiri oleh syaitan serta tidak mendapat keberkatan kepada ahlinya.

Amalan makan bersama atau berjemaah juga boleh mengukuhkan keakraban dan kemesraan sesama ahli keluarga. Melalui amalan ini akan memberi peluang ahli keluarga berinteraksi dan beramah mesra. Sesungguhnya makan secara berjemaah boleh mendatangkan berkat, sebagaimana sabda Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadisnya, riwayat Al-Imam Ibnu Majah :

Maksudnya : "Dari Umar bin Al-Khatab katanya : Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : makanlah kamu bersama-sama dan janganlah kamu makan sendiri-sendiri maka sesungguhnya berkat itu adalah dalam berjemaah."

Sama-samalah kita mengambil tahu serta melaksanakan peranan, tugas dan tanggungjawab masing-masing di dalam sesebuah keluarga. Mudah-mudahan kita akan memperolehi keluarga yang bahagia, harmoni serta sentiasa dalam rahmat Allah Subhanahu Wata'ala. Berdoalah kita semoga menjadi orang yang sentiasa menunaikan tanggungjawab dalam keluarga dan semoga keluarga kita menjadi sebuah keluarga yang sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala serta mendapat kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Furqan ayat 74 :

Tafsirnya : "Dan juga mereka yang berdoa : Ya tuhan kami, kurniakanlah kepada kami isteri-isteri kami dan zuriat-zuriat keturunan kami sebagai penyenang hati dan jadiahkanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa."

 

Attachments