
MARILAH
kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan
penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Lebih-lebih lagi ketika kita berada di
bulan Ramadan yang Mubarak ini. Mudahmudahan segala amal ibadat kita
diterima dan seterusnya kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa
serta selamat di dunia dan di akhirat.
Sekarang
kita berada di penghujung bulan Ramadan dan beberapa hari lagi akan
menjelang Hari Raya Aidilfitri. Ramai di kalangan kita mengambil
kesempatan untuk menziarahi tanah perkuburan. Sebenarnya amalan
menziarahi kubur adalah amalan yang lazim dilakukan oleh umat Islam di
negara ini dan amalan tersebut semakin meningkat semasa bulan Ramadan
dan di pagi Hari Raya Aidilfitri. Ziarah ke tanah perkuburan ini, pada
hakikatnya tidaklah tertumpu pada bulan Ramadan atau bulan Syawal
sahaja, akan tetapi kita digalakkan berziarah ke tanah perkuburan pada
bila-bila masa. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang
diriwayatkan oleh Al-Imam Ibnu Majah :
Maksudnya : ''Dari
Abu Mas'ud Radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam bersabda : pada mulanya aku melarang kamu menziarahi kubur,
kini bolehlah kamu menziarahinya kerana sesungguhnya menziarahi kubur
itu boleh menzuhudkan (menjadikan hidup tidak dikuasai oleh kemewahan
dan keseronokan dunia) dan mengingati akhirat.''
Sesungguhnya
amalan ziarah kubur ini mempunyai tujuan dan hikmahnya tersendiri,
antaranya akan menimbulkan perasaan insaf dan taubat di dalam hati
tentang menghadapi hari kematian, alam kubur dan alam akhirat, iaitu
dengan muhasabah diri, adakah amalan kita sudah cukup untuk dijadikan
bekal di dalam alam barzakh dan alam akhirat.
Ziarah
kubur juga bertujuan untuk menggembirakan penghuni kubur, lebih-lebih
lagi kepada roh kedua ibu bapa kita, iaitu dengan memberi salam,memohon
doa-doa agar dilimpahi dengan rahmat dan pengampunan daripada Allah
Subhanahu Wata'ala. Perlulah diketahui bahawa doa anak soleh yang
sentiasa mendoakan kedua ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia akan
diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala serta ditulis oleh Allah
Subhanahu Wata'ala sebagai anak yang taat kepada ibu bapanya. Sabda
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Imam Muslim :
Maksudnya : ''Dari
Abu Hurairah Radhiallahuanhu, bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam telah bersabda : apabila seseorang manusia itu mati, akan
terputuslah daripadanya segala amalannya melainkan tiga perkara :
sedekah yang berterusan manfaatnya, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak
yang soleh yang mendoakan baginya.''
Perlu
diingat apabila kita menziarahi tanah perkuburan, jangan pula kita lupa
panduan dan adab-adab ziarah kubur yang patut diikuti, antaranya
sebelum menziarahi kubur, disunatkan kita berwuduk serta hendaklah
memakai pakaian yang bersesuaian dan menutup aurat. Apabila kita sampai
di tanah perkuburan, kita disunatkan memberi salam kepada semua ahli
atau penghuni kubur seperti : 
Ertinya : ''Mudah-mudahan
Allah melimpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian wahai penghuni
kubur orang-orang Mukminin dan Muslimin, dan sesungguhnya kami ini
insyaaAllah akan bertemu kamu, kami memohon kepada Allah keafiatan untuk
kami dan bagi kamu juga.''
Setelah
berada di kubur keluarga yang hendak diziarahi, afdal berdiri di tepi
kubur dengan membelakangi kiblat dan menghadapi ke arah muka ahli kubur
yang kita ziarahi sambil memberi salam secara khusus seperti ''Assalamualaikum wahai ibuku''.
Setelah itu disunatkan duduk menghadapi ke arah mukanya serta membaca
ayat suci Al-Quran dan menghadiahkan pahala kepada ahli kubur tersebut.
Kemudian disunatkan menghadap kiblat dan berdoa semoga Allah mengampuni
dosa dan melimpahkan rahmat ke atas roh ahli kubur.
Az-Zakfarani berkata : ''Saya
pernah bertanya kepada Imam Syafie mengenai bacaan Al-Quran di kubur.
Ternyata beliau itu (as-Syafie) adalah membolehkannya.'' Demikian juga
kenyataan Imam An-Nawawi dalam Syarhul Muhadzab'' disunatkan bagi
orang ziarah kubur itu membaca ayat-ayat Al-Quran yang mudah-mudahan
baginya dan mendoakan mereka setelah membaca ayat-ayat Al-Quran.
Al-Qurubi telah menukilkan bahawa Al-Sheikh Izzuddin bin Abdul Salam
telah mengeluarkan fatwa bahawa pahala bacaan Al-Quran itu tidak sampai
kepada orang mati. Ketika dia telah meninggal, sebahagian sahabatnya
bermimpi bertemu dengannya. Mereka bertanya kepadanya : ''Wahai
Izzuddin, tuan telah berfatwa bahawa pahala bacaan Al-Quran tidak sampai
kepada orang yang telah meninggal dunia. Lalu bagaimanakah tuan telah
menyaksikan perkara itu?'' Izzuddin menjawab : ''Saya
mengatakan perkara itu ketika masih di dunia, tetapi sekarang saya sudah
meninggalkannya. Saya telah menyaksikan adanya kemurahan Allah
Subhanahu Wata'ala dalam perkara ini, yakni pahala itu memang sampai
kepada orang yang telah meninggal dunia.'' Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud :
Maksudnya : ''Dari Ma'kal bin Yasar katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Bacalah Surah Yaa Siin untuk si mati kamu.''
Berkata Al-Qurtubi mengenai hadis ini : ''Ia adalah mencakupi bacaan keika orang akan mati dan juga bacaan di kuburnya.''
Setelah
itu disunatkan pula menjirus air dan meletakkan pelepah yang masih
hijau serta tumbuh-tumbuhan wangi yang masih basah di atas kubur.
Seperti lazimnya di negara kita, amalan bersedekah selalu dilakukan
selepas ziarah kubur, amalan itu sememangnya amalan baik dan terpuji
kerana bersedekah adalah antara sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam dan diniatkan kepada ahli kubur agar pahalanya akan sampai
kepada penghuni kubur tersebut. Walau bagaimanapun, janganlah dijadikan
bersedekah di kubur itu suatu kewajipan atau kemestian.
Marilah
kita sama-sama menjaga adab-adab ziarah kubur dan meninggalkan
perkara-perkara yang dilarang, apatah lagi yang boleh merosakkan akidah
dan keimanan kita. Mudah-mudahan kesan dari amalan ziarah yang kita
lakukan itu dapat memberi keinsafan dan kesedaran kepada kita dengan
sentiasa mengingati mati dan segera bertaubat kepada Allah Subhanahu
Wata'ala. Kita juga berharap agar penghuni-penghuni kubur akan mendapat
rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan mendapat keampunan serta
terhindar dari seksa kubur dan azab api neraka. Amin ya Rabbal alamin.
Surah Yunus, ayat 25 :
Tafsirnya :
''Itulah dia kesudahan kehidupan dunia dan sebaliknya Allah menyeru
manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa
memberi petunjuk hidayah-Nyakepada sesiapa yang dikehendakinya menurut
undang-undang peraturan-Nya ke jalan yang betul lurus yang selamat
itu.''