Insaf dari keterlanjuran

Menuju Keredaan Allah
03/08/2016

menuju


SESUNGGUHNYA kita umat manusia tidak akan terlepas dari melakukan sebarang kesilapan dan keterlanjuran sama ada sengaja ataupun tidak. Sebaik-baik insan yang melakukan kesilapan itu ialah mereka yang segera bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan menyesali segala yang telah dilakukannya. Kebanyakan manusia, walaupun tidak semua, masing-masing pernah terlanjur melakukan kesilapan. Kesilapan itu mengakibatkan dosa kerana telah melakukan maksiat.

Kita sentiasa mendengar perkataan bahawa manusia ini dengan segala sifat kemanusiaannya sentiasa terdedah kepada keterlanjuran. Tidak kira sama ada orang bertakwa ataupun sebaliknya perbezaannya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka melakukan kesilapan yang mendatangkan dosa, mereka akan segera ingat lalu menyedari hakikat sebenarnya. Berlainan dengan keterlanjuran orang yang kurang bertakwa, apabila terlanjur mungkin saja dia berterusan dalam dosa dan noda. Tidak ada keinginan untuk kembali bertaubat dan terus dengan kelalaian.

Lebih menyedihkan lagi, terdapat dalam kalangan kita yang meremehkan perbuatan maksiat itu kerana sudah terbiasa melakukannya. Walau bagaimanapun, orang seperti itu perlu diberi keyakinan bahawa masih ada jalan untuk pulang. Masih ada peluang untuk mereka kembali serta mendapat keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Allah menuntut kepada umat manusia agar sentiasa meminta atau memohon keampunan kepada-Nya. Kita diwajibkan memohonkan keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan Dia yang bersifat Pengampun sentiasa mengampunkan orang yang mahu bertaubat. Kita pohonkan keampunan setentunya adalah kerana keinsafan. Apabila kita insaf akan keterlanjuran yang menzalimi diri sendiri dengan kejahatan dan dosa, maka kita segera ingatkan Allah.

Tentunya keinsafan itu didorong oleh takutkan balasan atau akibat buruk dosa atau kesalahan yang dilakukan. Kita takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang kita ketahui berkuasa mendatangkan balasan itu sama ada lambat atau cepat, di dunia ataupun di akhirat. Ketakutan sedemikian itu dapat kita terima sebagai tanda takwa. Takwa itu dari mula lagi sudah kita miliki menerusi asuhan kerohanian. Tetapi sebagai manusia, lalai dan lupa adalah sifat dominan kita.

Yang penting ialah kita sedar akan kesalahan. Kita insaf akan keterlanjuran. Kita tahu ia dosa yang amat membebankan. Keadaan sedemikian itu ada digambarkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali Imran, ayat 135 - 136 yang mafhumnya : ''Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka. Dan sememangnya tidak ada sesiapa yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu sedang mereka Bmengetahui (akibatnya). Mereka itu ganjarannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah sebaik-baik ganjaran bagi orangorang yang beramal.''

Adapun perkara yang utama di dalam kita bertaubat dan insaf dari kesalahan yang kita lakukan ialah :

• Insaf akan kesalahan.
• Sedar dan sentiasa ingat akan Allah Subhanahu Wata'ala.
• Segera memohon keampunan.
• Tidak berterusan dengan dosa atau bergelumang dengannya.
• Yakin hanya Allah yang dapat mengampunkan dosa.

Makanya janji Allah untuk kita yang bersikap demikian ialah maghfirah, iaitu pengampunan dan jannah, iaitu syurga-syurga yang kita kelak dikekalkan di dalamnya.

Bertaubat banyak diertikan dengan menyesal, kerana apabila telah melakukan sesuatu, tetapi hasilnya tidak seperti diharapkan, maka kebanyakannya akan mengatakan menyesal sama ada benar-benar kesal atau juga serik. Tetapi dalam keadaan perbuatan yang terlanjur dan membawa dosa bagi erti kata taubat itu memang maknanya menyesali keterlanjuran berbuat dosa lagi. Dalam erti kata lain taubat itu kembali ke pangkal jalan atau kembali ke jalan Allah.

Menyesali dosa itu ertinya insaf bahawa dosa itu jadi pendinding dari beroleh hidayat, rahmat dan berkat Allah. Mungkin tidak semudah itu timbulnya keinsafan. Sebab di dalam diri orang yang bergelumang dosa ia melihat dirinya terus-menerus beruntung dan bertuah. Tetapi jangan lupa tuah untung yang dilihat, dikecapi, dinikmati dalam keadaan bergelumang dosa tidak akan kekal selamanya malah ia boleh membuatkan manusia semakin jauh dari hidayat rahmat dan berkat.

Maka kita perlu ditimbulkan kesedaran, dipupuk keinsafan. Dari situ akan ada rasa menyesal yang disertai dengan memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan berazam tidak melakukan dosa seterusnya. Perkara itu dibuat dengan menaruh harapan bahawa Allah yang Maha Pengampun akan memberi ampun. Dengan harapan lalu bertaubat. Taubat itu malah diwajibkan untuk beroleh keampunan. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At-Tahrim, ayat 8 yang mafhumnya :

''Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.''

Kita yakin taubat kita akan diterima oleh Allah. Kita yakin kerana kita memohonkannya. Kita yakin kerana kita insaf setelah terlanjur dan ingin kembali ke jalan Allah. Kita tidak boleh berlengah-lengah. Kita takut tempoh yang diberikan terlepas. Sebab kita tidak tahu bila nafas kita akan terhenti selamanya.

Yang pasti kita sama sekali tidak ingkarkan Allah Subhanahu Wata'ala sekalipun pernah terlanjur berdosa., kita tetap bertuhankan Allah dan bernabikan Rasul-Nya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Kita akur pada Rukun-rukun Iman dan Rukun-rukun Islam. Kita jadikan Al-Quran dan hadis sumber utama kita dalam kehidupan. Kita beragama Islam. Kita adalah umat yang dikasihi dan disayangi oleh Allah sepanjang zaman.

Attachments