|
SASTERA DAN BUDAYA
Pecinta dan penilaian puisi
Oleh : Salmi Mesra, Brunei
APA yang penyair perkatakan di sini mengenai puisi (sajak) dan daerah yang terkandung di dalamnya. Saya menulis puisi sejak tahun 50-an yang dikeluarkan melalui akhbar 'Utusan Kanak-Kanak' dalam tulisan (Jawi) pada 13 November 1956 ketika berusia 14 tahun di Republik Singapura yang bertajuk: 'Untuk Harapan' sebagai satu percubaan waktu itu untuk meluahkan idea (penciptaan) bahawa puisi itu sebahagian warisan salah satu cabang seni sastera.
Pada mulanya tidak sangka bahawa tulisan itu akan dikeluarkan di akhbar tersebut yang mendorong kreatif saya di lapangan seni sastera puisi dan biarlah kita katakan di sini bahawa apa yang akan dibicarakan adalah berdasarkan kepada penglaman, pengetahuan (ilmu), pendengaran dan pendapat sendiri sebagai yang berwawasan seorang penyair. Malah daripada itu tentu sahaja bersifat subjective dan mungkin akan menimbulkan beberapa pandangan dan pendapat yang berlainan serta tidak diterima oleh penyair lain, kalau timbul keadaan yang sedemikian, tidaklah menyalahkan kepada penyair yang seangkatan dengan penyair pada tahun 50-an dan 60-an - sebab menghormati pendirian penyair itu sendiri, kerana lapangan seni sastera sangat luas daerahnya, tidak dapat kita mengatakan dengan tegas dan pasti bahawa pendirian kita hanya benar, sedangkan perbatasan benar dan tidak benar dalam konteks lapangan kesenian tidak akan pupus dan putus dibicarakan selagi ada pelbagai resam manusia yang hidup dengan fahaman masing-masing bagi menyambung keturunan manusia di muka bumi Tuhan ini.
Jadi selaras dengan kehendak dan pengalamn tadi saya menulis puisi (sajak) kira-kira beberapa tahun yang lalu itu tidak henti-henti sehingga sekarang, suatu sifat istimewa yang merupakan kreatif sastera tidak putus-putus dan ini kami merasa sendiri dan belum terasa puas memberi sesuatu tanggapan yang pasti mengenai pendapat dan pengalaman pencipta kreatif sastera (puisi) untuk jadi pegangan oleh penyair yang lain, malah kami masih meninjau, masih berusaha mencari akan hakikat ketinggian dan keluhuran seni sastera yang abadi. Tetapi sekadar untuk pengetahun am dapatlah kita unggapkan beberapa hak yang ada kaitannya dengan soal seni sastera tanah air.
Kreatif sastera harus berkembang dicipta oleh manusia sebgai penyair yang mencurahkan perasaan dan fikiran penyair yang suci? Pendapat yang jujur dan pandangan yang mendalam kehidupan manusia boleh berubah, kalau difikirkan sungguh-sungguh dalam suasan penciptaan puisi - bukan mudah untuk menilai sebuah puisi itu, sekurang-kurangnya tahu untuk memberikan tafsirannya! Lalu barangkali kita terpaut atau tertarik hati dengan pandangan aliran pemikiran seorang penyair - sudah kita anggap puisi itu baik mengikut ukuran ada mengandungi isi falsafah, sejarah, sosial, ekonomi, perjuangan, protes dan sebagainya, dapatlah mereka mengharagi puisi itu bermutu tinggi. Tetapi bagaimana pula jika ada orang tidak faham dengan tujuan dan pandangan serta fikiran penyair itu? Tidak bermutu dan boleh jadi juga?
Bedasarkan dengan fakta itu dapatlah kita memberi suatu definisi defination sebagai pengalaman penyair itu sendiri mengenai kehidupan, pengetahuan, penciptaan, kegagalan, kejayaan dan sebagainya yang diciptakan dalam puisi itu yang terasa suggestive melalui pengalaman tadi kita boleh melahirkan ciptaan sebuah puisi sejajar dengan pengalamannya mengikut kata bahasa puisi yang indah, puitis, berirama sebagi contoh puisi berikut:
PETIKAN RASA
Ketika di hati laut
Jejak kaki mengalih rasa
Budi sedang dipaut
Memilih kasih di dada.
Negara Brunei Darussalam.
8 Ogos 1987.
Puisi ini dicipta oleh penyair hanya sekadar menyampaikan perasaan apa yang dirasakan, terpulang kepada ahli penilai dan pengkritik sastera yang mengukur tafsiran pemikiran yang dilahirkan oleh penyair dalam segi bentuk, isi, penyampian, aliran, perlambangan, fahaman, tema dan lain-lain.
Mencipta sebuah puisi tidak kira di mana seorang penyair itu berada melalui pandangan, pengetahuan, pendengaran, penglihatan, seorang penyair (suka dan duka) yang dirasakan timbul sebuah puisi, umpamanya ketika penyair menghadiri Dialog Borneo - Kalimantan 1V, Pontianak - Kalimantan Barat, Republik Indonesia pada 27-29 Julai 1995 bertajuk: 'Aku dan Bayang' dipetik madah seperti berikut:
AKU DAN BAYANG
Aku berdiri
Bayang memanjang
Menyimpan rahsia
Hati.
Waktu senja
Bayang menyepi
Dalam diri
Mengukur budi.
Ketika tengahari
Bayang merendah diri
Merayap di telapak kaki.
Aku sembunyi
Bayang pun menghilang diri
Ke mana akan kucari.
Pontianak, Indonesia.
29 Julai 1995.
Puisi atau sajak ini berdasarkan 'Khatulistewa' sebelum Perang Dunia Kedua, bahawa rakyat Jepun berada pada tahun 1930-an di Pontianak, Republik Indonesia membuat penyelidikan mengenai keadaan dunia menerusi kedudukan matahari dan bumi bagi mengukur pusat bumi atau dunia pada waktu itu sehingga selepas Perang Dunia Kedua baharu diteruskan usaha itu dan ternyata kebenarannya bahawa setiap 21-23 bulan Mac dan September pada setiap tahun apabila matahari di tengah atas kepala atau sesuatu garis pengukur didirikan atau kita sendiri berdiri tidak ada suatu bayang pun nampak - maka terciptalah sebuah puisi tersebut.
Kemudian penyair sendiri menghadiri sebagai peserta 'Pertemuan Sasterawan V, Brunei Darussalam-Malaysia-Singapura dan Indonesia di Dewan Sultan Hassanuddin, Makasar, Republik Indonesia pada 22-25 November 1986. Maka lahirlah sebuah puisi bertajuk: 'Kudrat Ilahi' seperti petikan berikut:
KUDRAT ILLAHI
Kutatap waktu senja
Dalam sinar mentari
Di ruang angkasa beredar
Yang kerananya
Membuat aku terpaku
Kudrat Ilahi.
Ketika itu semuanya
Gambaran indah menyepi
Gunung - bukit-bukau - lautan
Yang luas terbentang
Betapa sayunya hati
Karya seni Rabbiizzati.
Kutatap wajah seni
Ke dada laut
Burung kunang-kunang.
Mencari rezeki
Untuk mengais lapar
Pulang ke sarang sendiri.
Jakarta - Bali - Makasar,
Indonesia, Brunei.
November 1986.
Apa yang menjadi bahan penciptaan puisi ini adalah keadaan alam sekeliling dengan pandangan, pengetahuan, pendengaran, perasaan dan mungkin pengalaman lahir ciptaan sebuah puisi - terus terang penyair katakan masih mencari dalam segi ungkapan kata-kata serta perlambangan yang menjurus kepada penciptaan dan penilaian puisi yang baik dan bermutu tinggi dalam 'Ideologi Intelektual' untuk membina masyarakat demi perkembangan fikiran untuk menuang dan menfaatkan seni kesusasteraan Melayu tanah air.
Dalam satu hal lain pula bahan penciptaan puisi itu penyair tidak kira di mana ia dicipta dan waktu apa? Siang atau malam dan perkara ini tidak menentu waktunya, kadangkala memakan masa lebih lama baharu dilahirkan mengikut jangka waktu terluang kita mencipta sehingga ada sampai dua tahun baharu dicipta seperti puisi bertajuk: 'Ombak Pantai' ketika penyair berada di Kuala Terengganu, Malaysia dalam menghadiri pesta jemputan permainan gasing sempena melawat Malaysia pada bulan Jun 1988. Petikan seperti berikut:
OMBAK PANTAI
Musim demi musim
Seperti bayu
Memuput senja
Yang beredar
Bagaikan roda.
Ombak di laut
Memecah pantai
Bagaikan hasrat
Rindukan damai.
Kuala Terengganu,
Malaysia.
Jun 1988.
Kita harus membuat kajian apakah maksud seorang penyair itu meluahkan kata-kata seperti bayu', 'memuput senja' umpamanya suatu kehendak tabii alam dengan kekuasaan Tuhan yang Maha Pencipta Sekalian Alam ini - ada perlu kita kaitkan beberapa istilah yang dikisahkan kepada sesuatu pergolakan dunia dari musim ke musim yang tidak menentu dengan perubahan bagaikan roda berpusing, beredar dan jika tidak berpusing serta beredar apakan jadi? Itu suatu perkara yang lain pula? Nah kita lihat ayat 'ombak di laut , 'memecah pantai' , 'bagaikan hasrat', 'rindukan damai', di laut yang bergelombang apa kan terjadi? Penyair hanya menggariskan tulisan ini kepada beberap persoalan dan berakhir dengan kata-kata 'bagaikan hasrat' 'rindukan damai', itu yang menjadi fikiran kita supaya keadaan seperti ini akan sentiasa bagi kehidupan manusia dan haiwan di dunia sejagat.
Suatu contoh yang lain bagi mencipta puisi waktu penyair menghadiri Krusus Fotografi Asian, Manila, Republik Filipina pada 25-31 Januari 1995 penyair dapat merakamkan sebuah puisi bertajuk: 'Jendela Kaca' madah petikan berikut:
JENDELA KACA
Jendela kaca
Di sebalik kaca
Mengorak senyuman
Memukau di dada
Setiap yang menunggu
Di jendela kaca.
Alangkah kecewa
Manusia
Di sudut kaca
Yang memukau
Di jendela kaca.
Manila, Filipina,
27 Januari 1995.
Kita melihat keadaan manusia di sana - memang ramai rakyat Filipina dan rakyat asing sebagai pendatang atau pelawat, dalam sebuah restoran penyair bersama tetamu atau di pesta keramaian amat menyeronokkan - maka timbul di fikiran penyair di suatu jendela kaca - mungkin sebagai syor tayang kepada pelawat-pelawat tadi beberapa orang gadis tersenyum di jendela kaca itu dan terus penyair nukilkan di sebuah kertas menjadi sebuah puisi tersebut.
Memang sukar bagi seorang pembaca yang tidak pernah mencipta sebuah puisi pun (sajak) ianya berlainan dengan cerita pendek dan jika cerita pendek orang membaca sekali pintas sahaja akan segera dapat mengerti kerana cerita itu.
Maka sudah tentu ada sebabnya - biarlah penyair menerangkan dengan bahasa yang mudah dimengertikan, tetapi di lapangan seni sastera puisi (sajak) adalah terjumlah dalam bentuk pantun, syair, gurindam dan seluka umpamanya. Kreatif seni sastera puisi itu adalah digubah oleh penyairnya lebih memerlukan perasaan emotion dan sebaliknya karangan prosa (cerita pendek, novel, roman dan drama) lebih memerlukan ketahanan jiwa dan mental fikiran dalam mengubahnya.
Dalam telahan penyair bahawa untuk menghasilkan ciptaan sebuah puisi itu penyair lebih condrong merasakan kreatif seni sastera puisi berbentuk biasa dan ada kalanya berirama susunan ayat yang sama di akhir bunyi a,b,a,b: yang melahirkan bunyi merdu. Tetapi kalau ada sebuah puisi (sajak) yang susah difahami - kita selalu membuat kajian yang mendalam terhadap kesulitan itu dan kita tinjau melalui bahan-bahan sejarah, falsafah, politik, perjuangan, ekonomi, penderitaan dan sebagainya yang boleh menjangkau serta membimbing kita ke arah memahami - mari kita perhatikan sebuah puisi yang agak sukar difahami petikan seperti berikut:
KERING ATAS BATU
Kering atas batu
Kering lautan hangat
Mendidih ranap
Nanah dan hingus
Dalam cacian
Semua manusia lapar
Dari timbunan rumpun-rumpun
Belukar.
Titisan bahang yang sempit
Remuk dihimpit tulang-tulang kaku
Yang mendakap musim gerimis
Bahang diabu cair
Pahit dari segala yang hanyir
Mabuk atas batu
Hanyut bagaikan salju.
Pantai Jerudong, Brunei.
2 Mei 1982.
Tinjauan kita harus tertumpu ke arah memahami seni kata-kata terlebih dahulu. Kemudian di mana ruang lingkupnya kita beredar untuk meneroka bahan-bahan yang ada terkandung di dasar mengenai fakta sejarah zaman Firaun dan Nabi Musa Radiallahuan membelah laut dengan mukjizat tongkatnya dan Nabi Noh Radiallahuan membuat kapal di hutan belantara dan kemudian hujan turun (Tsunami) dengan hebatnya serta air pun bah (banjir) sehingga menenggalami dunia semesta. Kisah seperti ini mungkin boleh menolong kita menamui semua itu? Berdasarkan fakta ini suatu jangkauan rumusan bagi meneliti pada keseluruhan bentuk, isi dan maksud tafsiran dapat dinilai atau tidak bermutu sebuah puisi dicipta oleh penyair.
Tumpuan kita yang sungguh-sungguh amatlah perlu menggerakkan perhatian untuk memahami sesuatu yang kita tidak nampak seperti pepatah atau bidalan bangsa Melayu 'Kuman seberang laut dapat dilihat' dan 'Gajah di depan mata tidak nampak', begitulah berakhir sesuatu pengertian isi buah pena penyair yang tidak kurang nilainya daripada hasil penulisan puisi dalam perkembangan kesusasteraan Melayu kita.
KESIMPULAN
1. Untuk itu perlu satu tahap pengukur kreatif sastera itu bermutu atau tidak selaras dengan konsep tujuan puisi dicipta oleh penyair.
2. Setiap ahli pengkritik atau pensyarah sastera hendaklah membuat kajian yang mendalam serta untuk mahasiswa dan mahasiswi pengajian tinggi perlu menilai dan mencari kemampuan untuk dapat menyingkap dan meneroka pelabagai sudut apa yang telah disampaikan oleh penyair itu dalam segi tema, bahasa dan aliran penulisan masa kini terhadap tahap kesusasteraan dan perkemangan sastera puisi Melayu Nusantara.
Kembali ke muka utama
|