Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Hotline || Arkib ||

EDISI ISNIN,
RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Oleh : Haniza Abdul Latif
Foto : Koleksi Gambar Beach Bunch

KEINDAHAN dan kebersihan persekitaran pantai-pantai di Negara Brunei Darussalam menjadikannya sebagai salah satu daya tarikan kepada para pelancong yang datang ke negara ini. Namun keindahan dan kebersihan pantai-pantai ini perlu dijaga agar ianya sentiasa menjadi kunjungan bukan saja daripada pelancong asing tetapi juga penduduk tempatan.

Peranan yang dimainkan oleh masyarakat dalam menjaga persekitaran pantai-pantai ini amatlah penting. Justeru, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Beach Bunch tampil sebagai kumpulan sukarelawan dalam menjaga persekitaran pantai-pantai ini. BERTANGGUNGJAWAB Dalam temu bual wakil PELITA BRUNEI bersama Presiden Beach Bunch, Awang Rizan bin Latif menjelaskan idea untuk menubuhkan persatuan tersebut ialah apabila melihat keadaan persekitaran pantai-pantai yang amat membimbangkan.

PRESIDEN Beach Bunch, Awang Rizan bin Latif.

Beach Bunch mula ditubuhkan secara rasminya pada Januari 2010 melalui Pejabat Pendaftaran Pertubuhan dengan hanya disertai oleh beberapa orang ahli yang terdiri daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat Awang Rizan. Ianya merupakan sebuah pertubuhan alam sekitar yang misinya adalah untuk mengekalkan dan melindungi pantai-pantai Brunei daripada pencemaran.

Pertubuhan pencinta alam sekitar ini telah menganjurkan dan menjalankan kempen-kempen pembersihan yang kerap di pantai Brunei dan program-program kesedaran tentang pengurusan sisa di pantai.

Menurut Awang Rizan, mereka juga membantu persatuan-persatuan lain, kelab-kelab, syarikat-syarikat dan agensi-agensi kerajaan dalam mempromosi kempen pembersihan pantai dan menggalakkan pengurangan dalam penjanaan sisa dalam botol plastik dan beg plastik tertentu. Di samping itu, mereka juga menyediakan program pendidikan alam sekitar melalui institusi awam, swasta dan pendidikan.

Pantai Meragang, jelasnya, merupakan pantai yang pertama yang mana mereka mula menjalankan kempen kebersihan mereka dan setelah mengerjakan pembersihan di pantai tersebut, beliau dan rakanrakannya yang lain merasa gembira atas usaha yang mereka lakukan.

Sebagai seorang ahli pengakap semasa remaja, Awang Rizan telah terdedah kepada kepentingan pemuliharaan alam sekitar yang kemudian mendorongnya untuk meneruskan pengajian di Royal Melbourne Institute of Technology di Australia dalam jurusan Kejuruteraan Alam Sekitar.


AKTIVITI-AKTIVITI kebersihan yang dijalankan di sebuah pantai di negara kita.

“Isu-isu alam sekitar mungkin tidak banyak diperbincangkan di negara kita, namun kita telah dapat melihat perubahan secara beransuransur kerana orang ramai kini mula menyedari kepentingan menjaga alam sekitar dan tindakan mereka,” jelasnya lagi.

Keadaan pantai pada 15 atau 20 tahun dahulu adalah bersih dan penduduk tempatan sering ke sana tetapi sekarang kebanyakan pantai ini bersepah dengan sampah-sarap yang dibuang oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan tidak bertimbang rasa.

Namun tambahnya melalui aktiviti-aktiviti pembersihan pantai yang dijalankan, masyarakat khususnya golongan belia telah mula mengubah minda mereka dan menyedari tentang kepentingan untuk menjaga alam sekitar.

Presiden NGO ini juga menyarankan agar pantai-pantai seperti Pantai Meragang, Pantai Tungku dan Pantai Jerudong diberi peruntukan untuk membina infrastruktur- infrastruktur seperti penyediaan tong-tong sampah. Ini kerana tempat-tempat seperti Pantai Tungku dan Pantai Jerudong tidak jauh dari tempat penginapan pelancongpelancong yang datang.


KEADAAN persekitaran pantai yang bersih seperti ini akan sentiasa dikunjungi
oleh orang ramai.

Masyarakat, jelasnya, perlu mengubah cara pemikiran mereka untuk membersihkan dan memelihara alam sekitar untuk masa depan kita. Membersihkan kawasan persekitaran pantai hanyalah satu permulaan tetapi beliau juga mahu memberi tumpuan kepada mendidik orang ramai juga.

Pengalaman menyertai kempenkempen kebersihan pantai ini telah banyak mengajar Awang Rizan bahawa dengan ketabahan, kesungguhan dan komitmen merupakan kunci untuk mendorong dalam melakukan sesuatu yang dapat dipercayai bagi memastikan sesuatu wawasan itu akan menjadi kenyataan.

Tambahnya, setiap daripada kita memainkan peranan dalam menjaga persekitaran alam sekitar termasuk pihak kerajaan, penduduk tempatan, warga tua dan terutama sekali golongan belia, di samping itu sokongan dari ahli-ahli baru, sukarelawan, penaja dan sokongan moral daripada pihak kerajaan.

Orang ramai yang ingin menyertai kempen-kempen yang dijalankan oleh Beach Bunch boleh melayari laman web www.beachbunch.net atau melalui laman jaringan sosial Facebook atau Twitter dengan menaip Beach Bunch.


Kembali ke muka utama