|
Jangan musnahkan akhlak yang baik
Oleh : H.A. Manap
MEMANG wajar kalau terdapat kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak mereka dewasa ini. Kebimbangan ini adalah penting kerana ia akan menjadi sukat-sukat dan benteng untuk menghalang dari berlaku sebarang gejala yang boleh meruntuhkan keindahan dan kebaikan akhlak. Bukannya senang untuk merasakan dan mengalami perasaan sedemikian ini, kerana banyak perkara dan ruang yang boleh sahaja menembusi kubu pertahanan kehidupan generasi anak-anak kita. Mereka adalah rebung yang menjadi idaman ramai pihak. Sama ada idaman yang baik ataupun sebaliknya. Natijah baik memang mudah untuk kita hadapi namun sebaliknya kita akan merasa cemas, bimbang dan tidak tentu hala tuju kalau natijah negatif yang datang melanda.
Justeru semua ibu bapa, sejak anak-anak masih kecil lagi telah mendidik mereka dengan sebaiknya agar mereka membesar sebagai orang yang berguna. Berguna untuk ugama, bangsa dan negara yang tercinta. Perubahan sosialisme masa kini jelas mengundang banyak kaedah dan pendekatan baru dalam membentuk kehidupan anak-anak, sebagai tindakan yang perlu dilakukan. Kejutan budaya bagi generasi muda sudah semakin tidak ketara lagi lantaran terlalu banyak kemudahan media yang membolehkan mereka mengikutinya. Sebaliknya ibu bapa pula semakin terasa akan kejutan budaya yang berlaku di sekeliling. Hatta di dalam rumah pun mewujudkan perubahan budaya jika tidak dipantau selalu. Jangan jauh untuk kita ambil perkiraan fesyen pakaian anak-anak di zaman sekarang, kalau tidak diambil peduli akan berubah dengan begitu pantas. Baju pendek unjuran tidak cukup untuk menutup aurat, rambut berwarna sudah semakin menjadi kesukaan mereka. Mungkin ibu bapa ada juga yang tidak begitu terasa perubahan yang dilalui oleh anak-anak. Perubahan sosialisme ini adakalanya menyelinap di rumah-rumah kita.
PERSIAPKAN DIRI
Penyelinapan sosialisme ini berlaku dengan adanya kemudahan media teknologi masa kini yang semakin canggih. Mudahnya kita memiliki kemudahan media ini begitu ketara sekali. Nyatanya perubahan sosialisme ini juga dipengaruhi oleh perubahan teknologi yang berligar di persekitaran. Kita pula tidak dapat jadi penonton semata-mata, kerana perubahan sedemikian ini juga membawa nilai positif jika ia dimanfaatkan bersama. Cuma kita perlu lebih berhati-hati dalam menangani keadaan ini. Perubahan yang berlaku sekarang juga mungkin akan meninggalkan kesan yang tidak bersesuaian dengan apa yang ingin kita wujudkan bersama. Keruntuhan akhlak mungkin sahaja akan mudah berlaku dan dapat dirasakan. Keruntuhan akhlak berlaku kerana ada serangan sosialisme yang sangat ampuh meruntuhkan nilai-nilai dan kebaikan akhlak. Justeru anak-anak kita menjadi tebusan sosial.
Tidak dapat tidak akan wujud masalah sosial seperti pergaulan bebas, pergaulan akhlak yang tidak beretika dan akhirnya masalah dadah akan melanda dan menjadi warna gejala sosial. Kenapa gejala dadah menjadi penyerap perubahan sosialisme, ini kerana ia adalah senjata yang mampu untuk meruntuhkan tembok akhlak yang kukuh terhadap nilai kehidupan yang berkualiti tinggi. Justeru dalam melihat hal-hal sedemikian ini, kita perlu melaksanakan peranan dan tanggungjawab kita secara berterusan. Kita perlu menanai tanggungjawab untuk mewujudkan suasana yang membina. Anak-anak tidak boleh dipisahkan dengan pendidikan beragama, kerana ianya merupakan asas yang memperkuat kehidupan mereka sedari kecil sehingga mereka dewasa kelak. Tidak boleh kita ambil ringan perkara mendidik anak-anak dengan amalan kehidupan beragama.
Kitalah orang yang bertanggungjawab sekiranya penyakit sosial yang melanda mereka berpunca dari ruang kosong kerana ketiadaan pendidikan agama. Justeru janganlah kita cuai dalam menyediakan bekalan untuk mereka.
PERKUAT AMALAN BERAGAMA
Jangan jauhkan diri mereka dengan pendidikan beragama. Dan jangan biarkan mereka lalai, kita mesti menentukan bahawa amalan kehidupan mereka adalah amalan kehidupan beragama. Jika ini mampu kita tanai dan lakukan dengan sebaiknya, tiada sebab kenapa kita tidak boleh melihat di kalangan anak-anak yang cemerlang kehidupannya. Inilah yang akan menjadi benteng dari keruntuhan akhlak mereka. Sekalipun derasnya perubahan kehidupan yang berlaku, namun penyusunan etika kehidupan dan juga pengasuhan yang bijak dengan penyerapan nilai-nilai amalan beragama yang kuat pasti menjadikannya sebagai benteng yang akan dapat menangkis segala elemen-elemen yang merosak. Memang sukar untuk kita lari dari keadaan yang ada sekarang, kerana kita berada di dalamnya. Kendatipun sedemikian kita pula tidak boleh mengikut rentak dan irama kehidupan yang tidak bersesuaian dengan kita. Kita jadi penonton dan pemain yang beretika dalam kehidupan.
Justeru perjalanan kehidupan itu akan lebih terarah sekalipun iramanya sumbang. Inilah kehidupan yang mesti kita lalui dengan penuh hati-hati dan lebih teliti. Kita tidak boleh cuai untuk merentas sempadan laluannya. Kecuaian hanya akan menjadikan kita mudah terperdaya dan terperangkap dengan rentak dan irama kehidupan yang bukan serasi dengan amalan kehidupan yang baik. Menilai dan menelitinya dapat menjadikan kita lebih kuat dan ampuh dalam mencorakkan kehidupan ini. Apatah lagi ini akan lebih bermakna berlaku kepada generasi muda belia. Lebih jauh dari itu inilah juga merupakan benteng kukuh dari ancaman kemusnahan akhlak yang baik.
Kembali ke muka utama
|