Pembinaan masjid pada zaman baginda itu telah dimasukkan ke dalam Rancangan Kemajuan Negara dan masih diteruskan serta dipertingkatkan dengan lebih pesat di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Hasil daripada kewibawaan pemerintahan sultan-sultan Brunei dari dahulu hingga sekarang dalam menegakkan ajaran suci agama Islam, jumlah masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di negara ini semakin meningkat.
Dengan peningkatan bilangan masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat pada masa kini, umat Islam di negara ini telah dapat menikmati kemudahan-kemudahan tempat beribadat dengan lebih selesa.
Menurut sejarah awal perkembangan Islam di Negara Brunei Darussalam bahawa masjid pertama dibina pada zaman pemerintahan Sultan Sharif Ali yang memerintah dari tahun Masihi 1426 hingga 1432 iaitu Sultan Brunei ke-3.
Selain dijadikan sebagai tempat melakukan ibadat seperti sembahyang fardu lima waktu, Sembahyang Fardu Jumaat, Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri, Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha dan sebagainya, fungsi dan peranan masjid di Negara Brunei Darussalam adalah bagi menjalankan kegiatan-kegiatan pentakmiran masjid seperti majlis ilmu, kuliah, forum, kursus, bengkel, belajar mengaji Al-Qur’an dan sebagainya.
Tersergam indah di tengah ibu negara Bandar Seri Begawan, Masjid Omar 'Ali Saifuddien menjadi lambang kegemilangan agama Islam di Negara Brunei Darussalam sejak ia dibina lima dekad yang lalu.
Pembinaan Masjid Omar 'Ali Saifuddien yang bermula pada 4 Februari 1954 adalah atas hasrat dan cita-cita murni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Brunei ke-28 dalam mengembangkan syiar Islam di bumi Darussalam.
Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien telah berkenan berangkat menyempurnakan pembukaan rasmi Masjid Omar 'Ali Saifuddien pada hari Jumaat, 26 September 1958 bersamaan 13 Rabiulawal 1378 Hijrah.
Diiktiraf sebagai salah sebuah masjid terindah di Asia Tenggara, bangunan Masjid Omar 'Ali Saifuddien mempunyai bentuk seni bina Islam klasik, dihias dengan mozek emas, marmar dan kaca berwarna-warni.
Menaranya mempunyai lif dan kubahnya diperbuat daripada emas setiap satunya berukuran 53 dan 54 meter tinggi, manakala di kawasan lagun pula dibina sebuah kapal konkrit yang berbentuk Kenaikan Diraja kurun ke-16.
Hampir kesemua bahan-bahan yang digunakan dalam pembinaan masjid yang indah ini diimport daripada luar negara seperti batu pejal dari Hong Kong, batu marmar untuk lantai dan dinding dari Itali dan lampu candelier yang telah direka oleh Al-Marhum sendiri ditempah di England, sementara itu pintu-pintu gangsa yang cantik bentuknya serta tulisan ayat-ayat suci Al-Qur'an yang terukir pada gangsa itu juga dibuat di England.
Sebagai salah sebuah masjid negara yang menjadi ristaan sejarah sepanjang zaman, Masjid Omar 'Ali Saifuddien yang dibina di atas sebidang tanah seluas dua hektar berdekatan dengan pinggir Sungai Brunei dan dapat menampung lebih 3,000 jemaah akan genap usianya 50 tahun pada 26 September 2008 bersamaan 26 Ramadan 1429 Hijrah tahun ini.
Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid telah merancang, menyusun dan melaksanakan acara-acara bagi meraikan Sambutan Jubli Emas sebagai satu ristaan sejarah sepanjang zaman bagi Negara Brunei Darussalam.
Sehubungan itu, pada 27 Jun yang lalu telah dilangsungkan Majlis Pembukaan Acara-acara Sempena Sambutan Jubli Emas Masjid Omar 'Ali Saifuddien dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an dari johan-johan qari peringkat dewasa kebangsaan.
Majlis yang diselajurkan dengan Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah telah dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain selaku tetamu kehormat.
Bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an oleh johan-johan qari peringkat dewasa kebangsaan dipersembahkan oleh Mudim Haji Matassim bin Haji Metussin; Awang Haji Mohd. Fahmi bin Haji Metussin dan Dato Paduka Awang Haji Md. Yussop bin Bakar.
Menurut Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Abd. Kahar bin Haji Hussin sebagai mengambil sukut baik dan keberkatan ayat-ayat suci Al-Qur’an dan juga peranan masjid berkenaan dalam melahirkan qari dan qariah yang berwibawa di negara ini, maka acara-acara tiga bulan sebelum dan selepas acara kemuncak pada 26 September 2008 nanti, telah dimulakan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an daripada johan-johan qari yang pernah memenangi Pertandingan Membaca Al-Qur’an Peringkat Dewasa Kebangsaan serta pernah mewakili dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
"Setelah itu acara-acara sempena Jubli Emas ini akan diikuti dengan aktiviti-aktiviti keagaman, keilmuwan, peraduan-peraduan dan pertandingan yang melibatkan penyertaan orang ramai yang bertujuan bagi sama-sama memeriahkan lagi Sambutan Jubli Emas Masjid Omar 'Ali Saifuddien yang penuh dengan keceriaan, keagungan dan keberkatan," jelas beliau.
Acara-acara bercorak keagamaan yang telah disusun dan dirancang oleh ahli jawatankuasa bagi membarigakan Sambutan Jubli Emas Masjid Omar 'Ali Saifuddien termasuklah persembahan Dikir Syarafil Anam, bacaan rawi, forum khas, peraduan menulis puisi, ceramah bimbingan pegawai masjid, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, peraduan menghafaz surah-surah pilihan dan membaca Al-Qur’an 50 kali khatam.
Selain acara bercorak keagamaan, acara-acara terbuka bagi penyertaan orang ramai juga akan diungkayahkan, antaranya ceramah motivasi, peraduan melukis pemandangan, pertandingan fotografi dan walkaton Jubli Emas Masjid Omar 'Ali Saifuddien.
Kembali ke muka utama