Tamadun tinggi ini semakin ketara dapat dirasakan bilamana sebahagian dari mereka juga sudah mula menyertai sektor kerajaan dan swasta untuk menunaikan tugas dan tanggungjawab yang dipikulkan. Sebahagiannya sudah mula mengasuh bakat dan ini lah permulaan ke arah penyertaan mereka yang lebih meluas dalam erti kata jalan-jalan untuk menabur bakti. Suara-suara yang penuh aspirasi tinggi ternyata menjanjikan suatu yang ingin mereka capai dengan lebih cemerlang. Kita kini sudah melihat keupayaan mereka untuk bersaing dan proaktif menangani perubahan semakin ketara memperlihatkan keupayaan yang tinggi. Paling ketara pemilihan kursus pengajian tinggi yang mereka pilih juga sudah semakin kompetitif dan mempunyai daya saing pasaran yang sangat bergelut.
Pemilihan kursus di kalangan para pelajar tinggi yang ingin melanjutkan pelajaran mereka juga memperlihatkan trend ke arah membina kemahiran diri yang lebih kukuh. Keadaan Ini jugalah suatu yang akan dapat membantu suasana dan kualiti pembelajaran meningkat ke satu tahap yang lebih sempurna. Persaingan sudah semakin ketara, ini wujud lantaran terangkatnya kualiti kehidupan dengan adanya peningkatan ilmu pengetahuan. Masyarakat belia dan pelajar negara akan jadi lebih proaktif dan dinamik dalam mewujudkan suasana pencarian ilmu yang lebih berdaya saing. Perubahan dan trend sedemikian ini sangat baik berlaku di negara kita. Evolusi sedemikian ini juga akan lebih berkeupayaan untuk membina tamadun keilmuan yang berkembang pesat. Justeru perubahan dan perkembangan sekeliling ini mewujudkan pula perubah- an besar yang menghasilkan kemahiran tinggi di kalangan generasi muda belia kita. Inilah yang kita inginkan dalam saat kita sedang mewujudkan ‘succession planning’ yang amat memerlukan generasi muda belia dengan persiapan keilmuan tinggi. Persiapan perlu berlaku dengan suatu proses yang mampu membekalkan mereka dengan kemahiran tinggi dan kecekapan diri yang mampu berdaya saing.
Kita mesti melahirkan generasi yang mampu melakar peta perkembangan dan kemajuan bangsa dengan lebih berkesan. Di negara kita rasa syukur dan terima kasih tidak terhingga dapat mereka rasakan.
Kemudahan di pelbagai bidang yang disediakan oleh pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ternyata mampu mencorakkan suatu kehidupan yang lebih baik dan sempurna. Kita ingin melahirkan generasi yang cerdas dan berilmu tinggi di saat segalanya masih kita miliki dan mampu kita rasakan. Kita ingin mewujudkan suatu kelahiran yang akan menjadikan kita unggul. Di saat dan gembleng sedemikian inilah yang akan melahirkan suatu untuk negara. Apa yang akan lahir ialah generasi yang mahir di dalam berbagai bidang. Kita mahukan generasi belia kita kalangan mereka yang akan lahir sebagai jentera penggerak yang berperanan membina kekuatan bangsa dan negara. Kita memerlukan mereka sebagai pemangkin ke arah kepelbagaian idea yang menjana kemajuan. Justeru apa yang kita nantikan ialah melahirkan graduan generasi pelapis yang berilmu dan bukan setakat berpengetahuan, namun lagi beriman.
Dua hal yang amat berbeza untuk diadun sebati kepada pemiliknya. Pertalian keduanya ialah melahirkan generasi yang cemerlang. Ilmu akan membantu memahirkan pengetahuan sedang pengetahuan akan memperkaya keilmuan, iman pula akan memantapkan keilmuan. Kita berdoa semoga generasi yang terdiri dari anak bangsa kita ini akan berjaya mencapai kegemilangan dan kecemerlangan hidup mereka. Kita juga berharap ketinggian ilmu ini akan menjadi asas dalam membina bangsa yang maju dan mampu bergerak secara proaktif. Tidak dapat tidak, hal sedemikian amat penting diperlukan dalam sesebuah negara yang sedang menghala ke arah pembangunan yang pesat. Pembangunan yang bergerak tidak dapat lari dari norma-norma lingkungan kualiti sedemikian ini.
Lingkungan sedemikian menjadi teras untuk mewujudkan sebuah generasi yang kuat dan berwibawa. Penumpuan akan lebih terarah dan kemas kini. Namun jika kita berdepan dengan generasi yang lemah, pasif dan tidak berwawasan, ia akan melahirkan generasi yang bermasalah. Paling atas masalah yang akan ketara berlaku ialah masalah gejala sosial yang negatif. Bukan sedikit jumlah peruntukan yang perlu disediakan dalam menangani isu-isu sedemikian. Selain dari itu penumpuan juga terpaksa digembleng yang melibatkan masa, kemudahan dan sebagainya. Hal inilah yang akan menjadikan kita tertinggal dalam membina gagasan generasi yang mampu berperanan sebagai penerus zaman. Selalunya kita akan menjadi terkongkong dalam melayani kehendak sedemikian ini. Kita secara proaktif perlu menyediakan hala tuju yang lebih dinamik dan progresif, terutama sekali dalam menyediakan program yang menjadi asas pembinaan generasi yang berkualiti.
Bidang keilmuan perlu diimarahkan sebagai punca gudang kemahiran kerana tidak dapat dinafikan ilmu itu dapat menjadi penyuluh kehidupan untuk menentukan peta jalan kehidupan yang betul dan salah. Ilmu itu juga tidak semata-mata yang dilahirkan oleh perspektif yang menjurus kepada satu hala akan tetapi ia perlu kepada kepelbagaian. Dari ruang inilah juga kita tidak boleh lari dari keimanan dan ketakwaan, kerana nantinya akan dibentuk keimanan dan ketakwaan untuk menghasilkan akhlak yang baik lagi berwibawa.
Bila persiapan diri sudah semakin ampuh dan kuat dengan bekalan yang sukar untuk diganggu gugat, barulah akan lahir kemahiran yang akan menjana kehidupan yang lebih bererti dan bermakna. Inti pati hal ini membawa pengertian yang boleh menyumbang kemampuan mereka kepada pengisian keperluan bermasyarakat dan bernegara. Kemahiran inilah pula yang perlu wujud sebagai jejak-jejak persaingan yang bermakna.