Golongan belia yang disifatkan sebagai Tunas Bangsa haruslah menyertai secara aktif kegiatan-kegiatan sosial dan beragama yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan sektor-sektor swasta. Acara tersebut termasuklah pertandingan berpidato, membaca Al-Qur'an dan menulis Jawi atau esei, perkhemahan pengakap dan sekolah, larian ekspedisi berbasikal atau mendaki bukit, aktiviti Kenali Negara Kitani (KNK), kempen kebersihan alam sekitar, kempen kesihatan tanpa tembakau dan minggu tenaga. Tujuannya ialah untuk memupuk kesedaran golongan belia terhadap kepentingan menjaga kesihatan, kebersihan diri dan sekeliling, memelihara keamanan dan keselamatan masyarakat. Melalui acara tersebut, budaya sikap membaca dan berani tampil di khalayak orang ramai dan sikap berjimat cermat dalam menggunakan tenaga, juga dapat diamalkan dalam kehidupan mereka.
Di samping itu, mereka juga boleh menyertai pertandingan serantau dan antarabangsa seperti Sukan Sukma, Sukan Arafura, perlawanan bola sepak atau Liga Malaysia, pertandingan membaca Al-Qur'an bagi Belia ASEAN dan sebagainya. Penglibatan mereka bukan saja dapat mengeratkan hubungan yang terjalin dengan kawan sekolah dan ahli-ahli masyarakat, menghargai kenilaian dan manfaatnya, malah mereka juga bakal memenangi pingat-pingat bagi mengharumkan nama dan imej diri dan negara di arena serantau dan antarabangsa.
Begitu juga pesta-pesta kebudayaan, kebangsaan dan kemasyarakatan seperti sambutan Hari Keputeraan, perhimpunan menyambut hari kebesaran diraja, perarakan kereta berhias dan Majlis Bersama Rakyat haruslah melibatkan penyertaan golongan belia supaya mereka dapat menunjukkan taat setia mereka kepada raja yang dikasihi dan sama-sama memeriahkan lagi suasana perayaan.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa para belia harus berwaspada dan menjauhkan diri daripada gejala-gejala yang membahayakan seperti penagihan dadah, tabiat merokok dan pergaulan bebas. Pada masa yang sama, mereka harus sedar dan mampu membezakan antara perkara yang baik dan buruk, hormat-menghormati kepada ibu bapa, rakan sekolah dan jiran serta belajar dari segala kesilapan yang dilakukan.
Perkara ini selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-24 :
‘‘Jenayah harta benda paling banyak dilaporkan, sebanyak 2,030 kes atau 60 peratus dari keseluruhan indeks jenayah sementara jumlah keseluruhan kes jenayah yang telah di- catat pada tahun 2007 sebanyak 4,519 kes dan jenayah 'kekerasan rompak' menunjukkan peningkatan sebanyak 100 peratus. Para penjenayah terdiri daripada lelaki dan perempuan yang berumur 19 dan 35 tahun termasuk juga 57 orang penuntut. Jenayah yang bertambah adalah satu perkara sementara pelakunya pula terdiri dari para belia adalah perkara lain lagi. Mereka belia yang menjadi Tunas Bangsa tetapi telah menjadi penjenayah. Para Tunas Bangsa diingatkan supaya betul-betul menjadi tunas yang sihat yang turut berusaha mewujudkan negara yang bebas jenayah. Inilah patriotisme sejati di mana kita semua sepatutnya sama-sama menjadi penyelamat.’’
Pemuda pemudi yang berani dan bersikap tabah menghadapi cabaran dan menempuhi suasana sekeliling wajarnya dianggap sebagai golongan yang tinggi nilai akhlaknya dan memiliki pegangan agama yang teguh. Dengan adanya keazaman yang tinggi, kemahiran, disiplin, semangat fizikal dan mental yang kukuh dan juga pemikiran mereka yang positif, sudah pasti mereka dapat belajar hidup berdikari dan sedia berjuang dalam kehidupan mereka demi bangsa dan negara. Mereka perlu bekerjasama dan berusaha untuk menjadikan negara kita ini bebas dari sebarang jenayah dan gejala sosial yang berkesan negatif. Ini juga harus bertepatan dengan peraturan-peraturan dan tatasusila kebruneian yang diamalkan dan diwarisi selama ini.
Ang Tzing Seng,
No. 178, Simpang 168,
Jalan Subok,
Bandar Seri Begawan BD 2717.
No. k/p : 01-075039
PADA 1 Ogos 2008 ini kita menyambut Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-3. Sewajarnyalah ianya disambut bagi menghargai jasa-jasa, pengorbanan, sumbangan, khidmat bakti dan penglibatan para belia dalam mengungkayahkan, menggerakkan persatuan-persatuan dan badan-badan kesukarelaan ke arah pembangunan negara dalam pelbagai bidang seperti keagamaan, kebudayaan, kesukanan, kemasyarakatan dan sebagainya. Di samping memupuk nilai etika kepimpinan yang berkualiti, ianya juga dapat meningkatkan kesedaran para belia tentang sumbangan mereka yang berharga kepada masyarakat dan negara.
Di ketika usia yang masih muda dan bertenaga, mereka perlulah memanfaatkan keistimewaan tersebut dan mengambil peluang dengan sebaik-baiknya dengan mengerjakan perkara-perkara yang berfaedah dan berkebajikan, bukan sahaja untuk kepentingan diri sendiri malah untuk masyarakat dan negara. Belia yang beriman, berilmu dan berwawasan adalah belia yang tinggi nilainya dan merupakan aset negara yang paling berharga dan penjana kepada kemajuan negara di masa hadapan.
Supaya belia di negara ini tidak tercicir dan terdedah dengan gejala-gejala sosial yang tidak sihat, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga pihak-pihak tertentu telah menyediakan institusi-institusi pendidikan bagi memperolehi pelbagai ilmu dan juga kemahiran-kemahiran bagi mereka mencapai kecemerlangan serta menyemai dan memupuk kesedaran dalam diri mereka agar mereka faham dan sedar akan peranan serta sumbangan mereka dalam membangun negara.
Ibu bapa juga turut berperanan dan mempunyai tanggungjawab dalam memberikan pendidikan yang sempurna dan lebih berwawasan kepada anak-anak mereka kerana disiplin tarbiah atau pendidikan itu bermula daripada rumah, jika rumah dapat dimanfaatkan sebagai wadah, maka insya-Allah semuanya akan indah dan berhasil kepada masyarakat dan negara.
Kerajaan telah mengenalkan Dasar Belia Negara yang menggariskan prinsip, objektif dan strategi dalam melaksanakan program-program belia. Maka dengan ini Jabatan Belia dan Sukan adalah diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program- program tersebut supaya dapat melahirkan generasi belia yang berwawasan baik di peringkat negara, serantau mahupun di arena antarabangsa.
Hajah Raimah binti Haji Sapar,
No. 9, Lot 106, Simpang 637-94-13-3,
Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati
Kampong Lambak Kiri,
Jalan Berakas, BB 1114.
No. k/p : 00-066792
HARI Belia disambut pada setiap tahun di negara kita. Ianya menghimpunkan belia di seluruh negara sama ada individu, pelajar, warga Perkhidmatan Awam, usahawan serta ahli dalam pergerakan, pertubuhan dan persatuan belia. Ianya adalah menjadi wadah berterusan dalam memupuk kesedaran bermasyarakat dan bernegara. Pada bulan April 2008 yang lalu, kongres belia telah diadakan di negara kita. Menjadikannya sebagai medan kepada golongan belia untuk berinteraksi secara terbuka bagi mengupas isu-isu semasa, menyuarakan pendapat dan pemikiran yang bernas dan relevan. Belia merupakan aset penting dan berharga dalam memberi sumbangan terhadap pembangunan negara dan ‘nation building’.
Golongan belia sangat diperlukan sebagai pelapis kepimpinan bangsa dan negara di masa hadapan. Negara sangat memerlukan golongan belia ini bukan saja yang mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, tetapi juga mereka yang memiliki akhlak yang terpuji. Dengan mempunyai kedua-dua kriteria yang terpenting itu, sudah tentu mereka juga akan memiliki sikap bertanggungjawab terhadap dirinya, agama, bangsa, masyarakat dan negaranya. Dari itu belia hendaklah mempunyai tanggungjawab pada diri sendiri dan juga membimbing masyarakat dari terjebak kedalam berbagai masalah yang boleh menjejaskan pembentukan akhlak dan tatasusila kehidupan bermasyarakat, bernegara dan beragama. Dengan adanya berbagai program yang dilaksanakan oleh para belia ini, insya-Allah dapat membantu kita dalam melaksanakan cara hidup yang bermatlamatkan Melayu Islam Beraja.
Belia sebagai anggota dalam masyarakat hendaklah mempunyai semangat patriotik sebagai melambangkan bangsa yang bertamadun. Semangat patriotik ini perlu ditumpukan dalam sebarang aktiviti kerana ianya dapat memperkembangkan secara mendalam, nilai-nilai kebudayaan nasional, kesedaran bermasyarakat dan semangat bernegara. Dengan adanya semangat patriotik dan kenegaraan tersebut ianya boleh berfungsi dalam menanai harapan dan jangkaan kita yang sekali gus menjadi hasrat bangsa dan negara untuk menjadikan masyarakat kita benar-benar bersatu padu, kukuh, kuat dan tahan lasak. Apatah lagi masyarakat kita terkenal dengan sifat sopan santun, lemah lembut dan berpegang kuat dengan adat budaya bangsa.
Memupuk sikap muafakat adalah merupakan salah satu daripada ciri-ciri keperluan hidup bermasyarakat dan bernegara. Banyak kebaikan dan faedah yang dapat diperolehi dari hidup bermuafakat di dalam sesebuah masyarakat itu seperti hidup bersatu padu, bantu membantu, keprihatinan, pemedulian, hormat-meng- hormati dan bersilaturahim. Malah hidup muafakat dalam bermasyarakat merupakan tunjang tradisi masyarakat kita sejak turun-temurun lagi. Ianya merupakan asas yang kukuh kepada keharmonian hidup bermasyarakat, berbangsa, bernegara dan beragama. Sebuah negara yang aman damai itu diwujudkan oleh anggota masyarakatnya yang bermuafakat dan bersatu padu.
Pada kesimpulannya, Hari Belia dapat memupuk kesedaran bermasyarakat dan bernegara sesuai dengan hasrat dan cita-cita nasional bagi mewujudkan keamanan, kemakmuran, keselesaan dan kesejahteraan rakyat, di samping mempertahankan kedaulatan negara.
Nur Afiqah Hazirah
binti Mohamad Zaidi,
No. 4, Simpang 163,
Jalan Kota Batu,
Kampong Mentiri,
BU 1929
No. k/p : 01-053590
SUDAH enam tahun berlalu setelah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, memperkenankan pengisytiharan setiap 1 Ogos sebagai Hari Belia. Mengimbas kembali pada perhimpunan para belia di seluruh negara yang diadakan pada tahun yang sudah-sudah, tidak dapat disangkalkan lagi Hari Belia itu wadah memupuk kesedaran bermasyarakat dan bernegara. Begitu ketara betapa para belia di negara ini menyambut baik sambutan Hari Belia yang diadakan setiap tahun.
Penglibatan dan penyertaan para belia tidak kira dari mana-mana persatuan, institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah, badan-badan sukarela dan orang persendirian telah memberikan mereka peluang untuk berinteraksi sesama yang lainnya. Aktiviti-aktiviti lain yang berbentuk keagamaan membolehkan mereka untuk saling bertukar-tukar pandangan, buah fikiran dan pendapat dari pelbagai aspek.
Hari Belia itu bukan sahaja wadah memupuk kesedaran bermasyarakat dan bernegara, bahkan juga merupakan wadah ke arah menyemarakkan semangat perpaduan dan perasaan ukhuwah di kalangan belia. Ia juga menyumbang kepada penjanaan seluruh aktiviti pembangunan belia di negara ini ke arah mencapai entiti barisan belia yang dinamik, berdaya saing, maju dan mapan dan seterusnya menyumbang secara positif kepada kecemerlangan dan pengukuhan ekonomi serta masa depan negara.
Dengan perhimpunan Hari Belia setiap tahun, tidak mustahil akan timbulnya perasaan tanggungjawab dan kesedaran di kalangan belia yang menekankan kepada mereka bahawa negara amat memerlukan belia hari ini kerana mereka merupakan antara aset yang amat penting dan berharga dalam konteks 'nation building' dan sangat diperlukan untuk sama- sama memajukan dan memartabatkan negara. Belia pada masa ini merupakan peneraju masa depan dan pewaris yang sangat bernilai yang akan meneruskan kesinambungan pembangunan negara ini. Di samping itu juga, ia juga mampu memupuk rasa pariotisme, beriltizam dan berazam dan secara langsung membantu seseorang itu untuk menyesuaikan diri dengan individu yang lain bagi pengukuhan perpaduan negara.
Bersama-samalah kita berfikir dan mengamati tujuan Hari Belia itu diadakan. Kita harus faham bahawa Hari Belia itu bukan diadakan setakat 'suka-suka' atau 'saja-saja' sahaja, ia merupakan sebagai suatu penghargaan di atas sumbangan, jasa dan penglibatan para belia di dalam sama-sama meningkatkan taraf dan martabat negara ini. Bukan itu sahaja, malah ia juga memiliki objektif lain yang lebih penting iaitu mengeratkan persefahaman dan meningkatan ukhuwah di kalangan para belia di negara ini.
Hajah Rafizah binti Haji Abdullah,
No. 139 'N', Kampong Peramu,
Bandar Seri Begawan, BP 1126.
No. k/p: 00-298007
Kembali ke muka utama