SERUAN SUCI
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, di samping kita mempertingkatkan usaha dalam mendidik anak-anak dan ahli keluarga agar menyempurnakan kewajipan masing-masing semoga dengannya kita memperolehi keberkatan dan keredaan serta perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala di dunia dan di akhirat.Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat tinggal dalam sebuah negara yang aman makmur dan maju jaya. Oleh itu keamanan, kemakmuran dan kemajuan ini perlulah dipelihara dan dijaga dan diteruskan oleh generasi akan datang. Perlaksanaan ke arah itu sangat-sangat memerlukan kepada sumber tenaga manusia yang berkualiti dan berkemahiran tinggi kerana negara memerlukan golongan pelapis iaitu golongan belia yang sanggup memikul tanggungjawab dan menanai amanah dengan jujur dan ikhlas sesuai dengan kata-kata yang berbunyi ‘Pemuda Harapan Bangsa Pemudi Tiang Negara’.
Belia merupakan aset yang amat berharga serta tunggak dan kekuatan masa depan bagi sesebuah negara. Justeru itu mereka perlu bersedia dan mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan, akhlak yang mulia, keimanan dan ketaqwaan.
Sebenarnya masa muda adalah masa terbaik untuk memanfaatkan usia dan masa bagi mempersiapkan diri dengan asas keimanan dan menimba ilmu pengetahuan untuk menempuh masa hadapan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada mengingatkan sebagaimana hadis Baginda, maksudnya:
"Dari Ibnu Ab’bas Radiallahuanhuma ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada seorang lelaki dan Baginda menasihatinya: Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara yang lain. Masa mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum fakirmu, masa lapangmu sebelum kesibukanmu dan masa hidupmu sebelum matimu." (Riwayat Al-Imam Al-Hakim).
Perlu diingat tanpa iman yang kukuh dan ilmu pengetahuan para belia akan mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif mahupun gejala-gejala yang merosakkan jiwa, minda dan akidah contohnya terlibat dengan penyalahgunaan dadah, meminum minuman yang memabukkan, berpakaian tidak senonoh, pergaul- an dan seks bebas, merokok dan bermacam-macam lagi masalah sosial yang bertentangan dengan nilai-nilai agama yang murni dan budaya bangsa kita.
Dalam masalah gejala sosial yang merosakkan inilah perlunya semua pihak menjalankan peranan masing-masing contohnya ibu bapa adalah berperanan untuk membimbing dan memimpin mereka agar tidak terpengaruh dengan kehidupan dunia yang melalaikan. Kerana telah terbukti disebabkan kurangnya didikan agama ditambah pula dengan pengaruh penyebab gejala sosial berlaku. Apa yang lebih penting belia itu sendiri perlu sedar dan berusaha serta berazam untuk menjadi belia yang cemerlang iaitu belia yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia, berwawasan serta berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar.
Untuk menjadi seorang belia Muslim yang beriman, para belia wajib mengikut ajaran yang ditetapkan oleh agama Islam yang antaranya taat kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan Rasul-Nya. Taat dalam erti kata mencintai Allah Subhanahu Wata’ala lebih dari segala-galanya dan beriman kepada-Nya, melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Adapun taat kepada Rasul ialah menjadikannya ‘role model’, mencontohi akhlak dan amalan Baginda dalam menjalani kehidupan seharian.
Di samping itu, para belia juga bertanggungjawab terhadap kedua ibu bapa iaitu dengan mematuhi dan mentaati perintah dan suruhan keduanya selagi tidak bertentangan dengan hukum Allah Subhanahu Wata’ala. Mereka dituntut untuk berbakti, mengasihi, menghormati serta sentiasa menyenangkan hati kedua ibu bapa dengan tingkah laku dan tutur kata yang lemah lembut dan bersopan. Sentiasa mendoakan keduanya dengan kesejahteraan walaupun setelah mereka tiada lagi di dunia ini. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Israa’ ayat 23 - 24, tafsirnya:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan pemeliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun. Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah untuk mereka dengan berkata : Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik semasa kecil."
Tugas terhadap agama dan negara dalam menegakkan syiar agama Islam, menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah tugas semua pihak termasuk para belia yang wajib dijalankan. Kerana amalan tersebut adalah benteng untuk menangkis segala gejala buruk yang merosakkan jiwa dan meracun minda.
Perlu disedari belia yang telah memenuhi tanggungjawab dan sentiasa berlumba-lumba membuat kebaikan, itulah belia yang cemerlang. Merekalah menjadi harapan bangsa dan masa depan negara. Merekalah contoh terbaik untuk ditauladani kerana mereka membawa kecemerlangan kepada ummah. Bukankah disebut di dalam hadis bahawa belia yang cemerlang dan taat kepada Allah Subhanahu Wata’ala telah dijanjikan dengan kedudukan yang tinggi dan tergolong ke dalam tujuh golongan yang mendapat perlindungan di Hari Kiamat ketika berada di Padang Mahsyar, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya:
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Ada tujuh golongan yang dikurniakan oleh Allah Subha- nahu Wata’ala di dalam naungan- Nya, iaitu pada hari tiada naungan lagi melainkan naungan yang dimiliki oleh Allah pada Hari Kiamat, mereka itu ialah imam yang adil, pemuda yang hidup sejak kecil hingga matinya sentiasa beribadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala." (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Golongan belia yang baik dan produktif, adalah tunjang kemakmuran dan keamanan kepada negara yang boleh menyelamatkan negara dari dibebani oleh masalah-masalah yang tidak diingini. Maka bersempena dengan Hari Belia Kebangsaan pada 1 Ogos 2008, kita berharap agar negara kita mempunyai belia yang berkualiti dan cemerlang sehingga mampu membawa negara kita lebih maju dan berjaya.
Sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada kita semua, khususnya belia-belia negara ini agar menjadi insan yang berkeperibadian tinggi dan mampu membangun ummah dan negara dengan berlandaskan ajaran agama Islam. Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah Ali ’Imran ayat 133, tafsirnya:
"Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa."