
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
ALHAMDULILLAHI Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan istiadat pada pagi ini berjalan dengan baik dan sempurna.
Mula-mula beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada para tetamu khas beta, yang telah sudi meluangkan masa hadir dalam istiadat meraikan ulang tahun Hari Keputeraan beta yang ke-62.
Beta juga tidak lupa merakamkan penghargaan yang sama kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat mereka kepada beta dan keluarga bersempena dengan perayaan ini.
Mengimbas beberapa tahun kebelakangan, kita telah menyaksikan pelbagai kejadian berupa kemelut-kemelut dan malapetaka yang melanda di beberapa negara, khasnya di rantau ini.
Semua ini membawa kita lebih bersyukur kerana negara kita telah ditakdirkan selamat daripada musibah-musibah yang memeritkan itu.
Kita yakin, keselamatan ini dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala adalah kerana keberkatan yang dimiliki oleh negara ini sendiri, 'Negara Zikir Brunei Darussalam'.
Pada tahun ini, kita sama-sama menyaksikan dan mengalami kenaikan harga minyak di pasaran global. Dunia jadi bergolak kerananya.
Namun begitu, alhamdulillah, kerajaan beta masih dapat mengekalkan harga domestik minyak kenderaan di tahap yang sedia ada.
Memang kita juga menyedari, dengan kenaikan harga minyak, jumlah subsidi minyak juga turut meningkat. Pada tahun 2007, tahapnya telah mencapai BND200 juta, yang bererti pada tahun ini, subsidi itu terus meningkat pula ke paras yang lebih tinggi lagi.
Oleh yang demikian, selaras dengan langkah berjimat cermat kerajaan untuk terus mengekalkan mekanisme subsidi ini, maka setiap anggota masyarakat juga perlulah sama-sama memikul tanggungjawab mengamalkan penjimatan, khasnya dalam penggunaan minyak kenderaan.
Di samping itu, jangan juga diabaikan usaha-usaha membanteras gejala penyeludupan minyak oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Juga tidak kurang pentingnya ialah penjimatan penggunaan tenaga letrik seharian, yang secara langsung dijana dari sumber penghasilan gas asli negara.
Juga sedang hangat diperkatakan ialah isu kenaikan harga barangan, khasnya barang-barang keperluan asas.
Ia adalah merupakan fenomena global, di mana tidak ada sebuah negara pun yang terhindar daripadanya.
Alhamdulillah, rakyat dan penduduk di negara ini telah menghadapi isu tersebut dengan penuh sabar lagi matang.
Bagaimanapun untuk kebaikan bersama, beta ingin mengingatkan supaya semua pihak pembekal dan peniaga tidak akan menaikkan harga barangan mereka secara sewenangwenang dan sesuka hati mereka sahaja.
Selain itu, kita juga perlu peka dengan krisis pemakanan dunia sekarang. Krisis ini telah benar-benar menimbulkan kebimbangan global apabila pengeluaran beberapa jenis bijirin asasi, termasuk beras, telah mendadak susut di negara-negara pengeluar utamanya.
Dan bertambah kalut lagi apabila beberapa negara pengeluar terpaksa mengeluarkan stok simpanan beras mereka untuk diagihkan kepada rakyat masing-masing.
Kebimbangan semakin meningkat apabila badan dunia juga turut mendedahkan hasil pertanian terus susut berbanding dengan kepesatan penduduk dunia.
Pertambahan penduduk dunia diramal meningkat dari 6.5 bilion (2006) kepada 7 bilion (2012). Peningkatan ini sudah tentu tidak seimbang dengan penghasilan pemakanan yang terus merosot.
Ini ditambah lagi dengan isu perubahan iklim dunia. Pemanasan global membawa impak kepada persekitaran. Ini juga menjadi ancaman baru kepada kehidupan.
Kemudian di merata tempat di dunia terjadi pula bencana-bencana alam yang dahsyat, seperti gempa bumi, angin kencang dan banjir besar, yang semuanya itu turut menjejaskan pula sumber pemakanan.
Kerajaan beta telah meletakkan beras selaku keperluan asas yang telah diberikan subsidi sekian lama.
Sama seperti minyak kenderaan, perbelanjaan subsidi untuk beras juga telah meningkat sekarang. Namun demi kesejahteraan rakyat dan penduduk, harga beras masih saja di tahap biasa.
Tetapi ini bukan bererti kita terlepas dari senario kebimbangan mengenai hasil makanan. Lebih-lebih lagi beberapa buah negara pengeluar telah dilihat menghentikan eksport makanan bijirin mereka ke negara lain.
Maka dengan sebab itu, Negara Brunei Darussalam tidak dapat lagi semata-mata bergantung kepada ‘ihsan alam’ luar negara untuk mendapatkan beras, walaupun kita mampu mengadakan peruntukan untuk itu.
Sikap semata-mata bergantung kepada wang ringgit untuk mengisi perut sudah tidak relevan lagi dengan terjadinya krisis makanan ini.
Jika ada negara pengeluar beras yang sudah mampu memenuhi 70 peratus keperluannya sendiri, masih sahaja sibuk menggubal dasar untuk sampai ke tahap seratus peratus mencukupi, mengapakah kita, yang cuma baru setakat mampu menampung sekitar 3.12 peratus tidak menyingsing lengan meningkatkan industri penghasilan beras negara?
Pada ingatan beta, perkara ini telah pun berulang kali beta timbulkan sejak dari beberapa tahun lagi.
Jadi memang wajar untuk kita mempunyai pelan strategi dan dasar pertanian negara yang antara lain menjadikan jaminan sekuriti makanan negara (national food security) sebagai salah satu strategi utamanya.
Menyebut tentang usaha menjana ekonomi, kita perlu menggembleng tenaga serta melipatgandakan usaha dalam menangani semua bentuk keperluan yang ada.
Untuk itu, kita mestilah mengemaskinikan segala perancangan dan perlaksanaan sumber tenaga manusia serta dasar-dasar yang berkaitan dengannya.
Sebagai contoh, kerajaan beta telah menyediakan peruntukan sebanyak hampir BND28 juta dari Dana Sumber Tenaga Manusia untuk Skim Latihan Bagi Program Khas Graduan Mencari Pekerjaan dan Program Khas Lepasan Sekolah.
Ini diharap dapat membantu mengurangkan pergantungan sektor swasta kepada tenaga kerja luar negeri dan pada waktu yang sama, dapat mengurangkan juga kadar pengangguran dalam negara.
Di masa akhir-akhir ini, terdapat perbincangan mengenai keselamatan sosial, khasnya membabitkan penyaraan diri dan keluarga sesudah berakhirnya tempoh perkhidmatan, sama ada dalam Perkhidmatan Awam, sektor swasta atau pekerjaan sendiri.
Ke arah ini kerajaan beta sedang meneliti mekanisme yang lebih menjamin bagi kehidupan di hari tua rakyat dan penduduk dan memandu perlaksanaan serta penambahbaikan dasar atau sistem persaraan di negara ini.
Perancangan bagi mengubah cara hidup daripada masyarakat pengguna (consumer society) kepada masyarakat penabung (saving society) juga haruslah dijana lebih awal.
Di sudut pembangunan pula, beta ingin menjurus ke satu pendekatan dari aspek pengawalan pembuangan sisa-sisa pepejal dan sampah sarap, termasuk pembuangan kimia dan biokimia berbahaya.
Dari pengamatan beta, sudah tiba masanya isu ini kita tangani dengan lebih serius. Kerana bukan sedikit akibatnya jika kita lambat atau lalai dari memelihara alam sekitar kita.
Tidak ada untungnya membiarkan sampah berlonggok-longgok tanpa disempurnakan pembuangan dan pelupusannya.
Status negara maju yang kita idam-idamkan tidak akan dicapai jika pengurusan sampah sarap pun masih di tahap lembap dan lemah. Oleh yang demikian, agensi-agensi berkaitan hendaklah lebih tegas, cepat dan berpandangan jauh dalam mengatasi perkara ini.
Orang ramai juga amat perlu memberikan kerjasama erat untuk menggunakan tempat-tempat pembuangan sampah yang telah disediakan.
Dengan adanya tindakan bersepadu demikian itu, insya-Allah, kita akan dihadiahkan dengan jaminan udara serta persekitaran yang bersih lagi sihat.
Kesihatan sungguh berharga dalam hidup. Ia mesti dibina dan dijaga.
Di antara cara membina dan menjaga kesihatan itu ialah melalui pengawalan pemakanan dan melazimkan aktiviti-aktivti bersenam. Maka sejajar dengan pengawalan pemakanan, beta amatlah mengalu-alukan pengawalan penggunaan dan pemasaran produk-produk tembakau.
Dengan Perintah Tembakau 2005 yang telah berkuat kuasa mulai Jun yang lalu, beta berharap, kadar penyakit yang berpunca dari penggunaan tembakau akan berkurangan.
Apabila ini berlaku, bermakna dengan sendirinya kualiti kehidupan dan kesihatan di negara ini bertambah baik dan meningkat.
Di negara kita, menangani tabiat merokok, bukanlah satu isu sukar, seperti yang dialami oleh negara-negara lain. Kerana kita tidak ada sebarang kepentingan langsung dengan rokok. Kita boleh tentukan sikap dan pendirian kita pada bila-bila masa sahaja.
Beta rasa, kita adalah cukup mampu untuk menjadi negara terulung di dunia menolak rokok. Kita juga jangan lupa, hukum merokok di negara ini adalah ‘haram’.
Tidakkah kita menyedari dengan kurangnya penyakit-penyakit serius yang disediakan oleh rokok, akan turut mengurangkan pula perbelanjaan negara dalam bentuk kos pemberian perkhidmatan perubatan?
Satu lagi bidang utama ialah pendidikan. Kerajaan beta sekarang telah pun mengemaskinikan perancangan ke arah sistem pendidikan kebangsaan dengan memperkenalkan Sistem Pendidikan Abad 21 atau SPN21. Perlaksanaannya akan bermula pada awal tahun depan, insya-Allah.
Ia dihasratkan untuk menyahut cabaran-cabaran pembangunan insan dan ekonomi serta juga mendukung aspirasi wawasan negara.
Dalam arena antarabangsa pula, hubungan negara kita dengan negara-negara jiran dan sahabat adalah semakin erat dan meningkat. Ini, ialah kerana dasar luar kita yang berprinsip lagi pragmatik.
Komitmen kita untuk keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau telah dikukuhkan lagi oleh penandatanganan 'Piagam ASEAN', semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Republik Singapura, tahun lepas.
Kerajaan beta juga menerusi perjanjian perdagangan dua hala mahupun melalui keahlian kita serta kerjasama-kerjasama serantau di dalam ASEAN dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, termasuk APEC, OIC, Commonwealth, WTO dan seumpamanya, akan terus dipertingkatkan untuk membuka peluang-peluang pasaran baru.
Demikian juga kerajaan beta tidak akan mengabaikan keselamatan, malah akan bersama-sama memelihara dan meningkatkannya, baik di peringkat serantau mahupun sejagat.
Beta menyedari tentang cabaran-cabaran keselamatan di abad ini adalah amat sukar untuk diramal. Oleh itu, keupayaan negara dalam menanganinya adalah satu keutamaan.
Diplomasi dan kerjasama pertahanan juga sentiasa diperluas melalui forum-forum dan latihan-latihan yang mewujudkan perkongsian pandangan bermanfaat mengenai masalah-masalah keselamatan bersama.
Semoga dengan keprihatinan semua pihak terhadap keselamatan, negara kita dan dunia pada umumnya akan menikmatinya dengan izin Allah.
Di saat yang berbahagia ini, beta dengan tulus ikhlas ingin mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, meliputi warga Perkhidmatan Awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan, mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan sekalian yang hadir ataupun tidak, atas sokongan dan sumbangan serta khidmat bakti di dalam apa pun bentuknya kepada kerajaan beta.
Begitu juga beta tidak lupa merakamkan ucapan yang sama kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan sama ada di peringkat daerah atau kebangsaan, atas usaha mereka yang gigih pada menjayakan perayaan hari ulang tahun beta ke-62 ini.
Semoga Allah jua yang akan membalas dengan limpah rahmat-Nya kepada mereka.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Kembali ke muka utama