HALUAN

TITAH Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Israk dan Mikraj 1429 Hijrah / 2008 Masihi pada hari Rabu, 24 Rejab 1429 / 30 Julai 2008 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Sara diri dari hasil sendiri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kerana dapat pula menghadiri majlis memperingati peristiwa Israk dan Mikraj yang penuh dengan hikmah dan pengajaran ini.

Satu contoh indah dari peristiwa tersebut ialah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertemu dengan suatu kaum yang bercucuk tanam dan juga menuai padi pada hari yang sama. Setiap kali tanaman dituai, ia tumbuh semula.

Dituai lagi dan tumbuh pula sampai tidak putusputus.

Peristiwa ini adalah merupakan gambaran orang- orang yang berjuang di jalan Allah, mereka itu beroleh pahala yang lumayan yang tidak berkesudahan.

Menyebut peristiwa bertanam dan menuai dalam kisah ini, mengingatkan kita lagi kepada isu permakanan dunia sekarang. Makanan itu boleh menjadi punca kebaikan dan juga keburukan. Bilamana makanan mencukupi, maka ia akan membawa kepada kebaikan, tetapi sebaliknya, apabila ia kurang atau tidak ada, maka akan berlakulah huru-hara dan kebinasaan.

Jadi memang cantik dan tepat sekali gambaran yagn dipaparkan oleh Allah menerusi peristiwa Israk dan Mikraj itu.

Menyebut mengenainya, kita jadi terpanggil untuk terus melihat isu krisis makanan yang sedang meng- ancam dunia pada masa ini. Kita wajar fokus untuk memberikan perhatian terhadapnya.

Bahkan, usaha juga perlu, selaku ikhtiar. Kerana agama juga adalah menyuruh berikhtiar.

Ini, adalah selaras dengan kisah yang pernah berlaku, yang dipaparkan oleh Al-Qur’an, yang menyingkap peristiwa genting di zaman Nabi Allah Yusuf Alaihissalam, bagaimana kerajaan dan rakyat dikehendaki supaya bersegera bercucuk tanam dengan cara besar-besaran bagi menghadapi krisis makan- an yang diramalkan akan berlaku akibat daripada kemarau panjang yang bakal menimpa negara.

Yang kita atau dunia kita sekarang, bukan lagi setakat di tahap ramalan, tetapi sudah benar-benar berlaku. Menurut fakta bernombor, ada sekitar 854 juta penduduk dunia sekarang sedang mengalami kelaparan, di mana bilangan tersebut terus bertambah empat juta orang pada setiap tahun.

Tidakkah ini bermakna, dunia dan penduduknya sedang di ambang bahaya?

Maka oleh itu, beta tidak bosan-bosan untuk menegaskan, bahawa negara kita adalah perlu mengambil langkah tegas meningkatkan penghasilan tanaman, khasnya beras. Pastikan, bahawa kita akan berjaya juga menyara diri sendiri dengan hasil kita sendiri.

Pokoknya, peningkatan itu sangat perlu, sekurang-kurangnya untuk mengurangkan pergantungan kita kepada import yang terlalu besar. Kita perlu cepat mengatasi peningkatan yang terlalu perlahan.

Mudah-mudahan perhimpunan kita pada hari ini yang disempenakan dengan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj, akan menyuntik kita untuk lebih berdaya maju, khasnya dibidang yang sedang mendapat perhatian istimewa dunia hari ini, iaitu bidang penghasilan makanan atau pertanian.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Kembali ke muka utama