
Rabu, 6 Ogos 2008
4 Syaaban 1429
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah di Majlis Sambutan Israk dan Mikraj sekali lagi menarik perhatian kita semua dengan menitahkan agar diambil langkah tegas bagi meningkatkan penghasilan pertanian negara khasnya beras. Sesungguhnya penekanan baginda kali ini dalam isu yang sama adalah merupakan kali kelima, di mana baginda telah berkali-kali menekankan perkara dan isu yang serupa. Baginda menitahkan isu pertanian semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, sempena sambutan Hari Keputeraan baginda dan yang terakhir pada 15 Julai 2008 yang lalu.
“Beta tidak bosan-bosan untuk menegaskan, bahawa negara kita adalah perlu mengambil langkah tegas meningkatkan penghasilan tanaman, khasnya beras, pastikan bahawa kita akan berjaya juga menyara diri sendiri dengan hasil kita sendiri,” titah baginda.
Kalau kita amat-amati secara terperinci titah baginda jelas menyeru agar semua kita rakyat dan penduduk negara bukan lagi bersedia menyingsing lengan, tetapi sanggup memikul tanggungjawab yang amat berat ini bagi kelangsungannya di kemudian hari ini. Sememangnya, mungkin mustahil bagi kita untuk mengeksport bahan-bahan tersebut ke luar negara, tetapi apa yang perlu ialah bagi kegunaan sendiri iaitu penghasilan beras yang dapat menampung keperluan sendiri dan berupaya menyara diri sendiri. Tegasnya kita tingkatkan penghasilan beras yang kini hanya setakat 3.12 peratus. Inilah sebenarnya yang ’diangan-angankan’ dan menjadi hasrat murni pemimpin kita yang mahukan sekurang-kurang kita berupaya mengurangkan pergantungan kepada import yang terlalu besar.
Masanya juga sudah sampai bagi kita bergerak cepat dan tidak terlalu perlahan dalam mengejar impian untuk meningkatkan penghasilan beras negara. Jawapannya amatlah tepat kerana dunia kini menghadapi krisis makanan yang sangat merunsing. Dunia kini berdepan dengan krisis makanan yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk dunia yang semakin meningkat. Sehingga kini terdapat 854 juta penduduk dunia sekarang sedang menghadapi kelaparan dan bilangan tersebut dijangka akan terus bertambah empat juta setiap tahun. Ternyata fenomena ini bukan lagi seperti lakonan dalam filem, tetapi benar-benar berlaku di depan kita semua.
Apakah senario ini tidak menginsafkan kita? Apakah kita masih sahaja berpeluk tubuh tanpa berbuat sesuatu, sedangkan dunia dan penduduk global sedang di ambang bahaya. Memang benar kita di Negara Brunei Darussalam tidak ada mereka yang kebuluran dan belum ada kes pun orang mati kelaparan, tetapi apakah kita akan menunggu sudah ada rintihan manusia kelaparan baru kita bertindak. Justeru itu wajar bagi kita menyahut titah baginda yang berkali-kali itu untuk kita alam nyatakan walaupun bukan dalam masa terdekat, tetapi dalam setahun dua ini kita berhasil ‘menuainya’, yang penting kita berusaha dan bukannya mengharap seperti pepatah Melayu, ‘Yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang’.
Semogalah titah baginda yang disempenakan dengan Sambutan Israk dan Mikraj akan membuka mata kita semua untuk lebih memfokus dan melihat secara serius isu krisis makanan yang sedang mengancam dunia sambil kita lebih turut fokus untuk memberikan perhatian terhadap fenomena ini dengan berusaha bersungguh-sungguh selaku ikhtiar kerana agama Islam sendiri menyuruh kita berikhtiar dan bukannya berpeluk tubuh tanpa berbuat sesuatu.
Bersama-samalah kita menggembleng tenaga dari sekarang dengan meningkatkan penghasilan pertanian khasnya beras yang menjadi makanan asasi penduduk negara ini selain bagi menjamin masa depan keselamatan makanan kita. Kita jangan hanya terlalu bergantung harap kepada Jabatan Pertanian untuk menanainya, tetapi semua agensi-agensi kerajaan termasuk kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan lain perlu mengambil peranan lebih serius dalam merealisasikan impian pemimpin kita yang mahukan agar kita mampu menyara diri sendiri. Begitu juga pihak swasta, NGO’s serta semua ‘jalama’ yang ada di bumi Darussalam peri mustahaknya berikhtiar bersama-sama menjayakan misi nasional bagi menjamin pemakanan.
Kita berharap mudah-mudahan peristiwa yang digambarkan dalam Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang memaparkan mengenai kisah bercucuk tanam memberi keinsafan kepada kita, sambil menjadi daya pendorong yang kuat serta menyuntik semangat lebih berdaya maju bagi merealisasikan ke arah meningkatkan penghasilan makanan atau pertanian khususnya industri beras negara.