BERITA LENGKAP

Kadar penyusuan susu ibu 2003 hanya 54 peratus

YANG Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman, Menteri Kesihatan, Berucap di Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu (PSI) yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqu Foto oleh :- Hj. Masmaleh Hj. Mohd Ali.

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos.- Kajian kecil yang dijalankan oleh Bahagian Permakanan Masyarakat, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan pada tahun 2003 menunjukkan kadar pe nyusuan susu ibu sepenuhnya bagi anak damit yang berumur hingga satu bulan hanya 54 peratus.

Kadar ini menurun ke 35 peratus bagi anak damit yang berumur dua bulan dan hanya satu peratus sahaja anak damit menerima penyusuan susu ibu sepenuhnya pada usia enam bulan.

Berucap pada Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu (PSI) berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman seterusnya berkata, Kementerian Kesihatan perlu mengkaji mengapa ramai ibu-ibu terlalu awal memberhentikan penyusuan susu ibu sepenuhnya dan bagaimana masyarakat boleh membantu serta menyokong ibu-ibu dalam usaha mereka mempraktikkan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan sehingga anak berusia dua tahun.

"Terdapat dua isu penting ke arah usaha untuk meningkatkan penyusuan susu ibu di kalangan ibu-ibu; Pertama ialah dengan memastikan semua ibu bapa memiliki maklumat yang cukup untuk mereka membuat pilihan yang bijak untuk anak damit mereka dan mereka sendiri dan Kedua, dengan menawarkan sokongan-sokongan yang tertentu kepada ibu-ibu yang memilih penyusuan susu ibu supaya dapat melakukannya dengan sesempurnanya secara berterusan," jelas Yang Berhormat.

Sementara itu jelas Yang Berhormat, ketiadaan bilik penyusuan di tempat-tempat awam juga merupakan salah satu faktor yang boleh menyulitkan ibu-ibu untuk menyusukan anak-anak damit mereka.

Justeru itu, langkah-langkah dokongan perlu dipertingkatkan lagi selain mengenalpasti dokongan baru yang dapat diberikan seperti menghapuskan sebarang rintangan kepada penyusuan tersebut sama ada di rumah, tempat awam, tempat kerja dan juga di tempat-tempat riadah.

Pada majlis itu, ceramah mengenai hasil penyelidikan penyusuan susu ibu di kalangan ibu-ibu yang bekerja juga disampaikan oleh Ketua Unit Penyelidikan Maktab Jururawat Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB), Awang Haji Abdul Rahim bin Haji Abdul Hamid.

Hasil penyelidikan tersebut merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan dengan Kementerian Pendidikan melalui Maktab PAPRSB.

Objektif Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia di Negara Brunei Darussalam antara lain bertujuan untuk memperluaskan kesedaran tentang keperluan dan kepentingan memberi sokongan kepada ibu-ibu yang mengamalkan penyusuan susu ibu, di samping menyebarkan informasi terkini tentang sokongan yang diperlukan untuk setiap ibu.

Ia juga bertujuan mengurangkan beban penyakit-penyakit yang mungkin timbul disebabkan tidak mengutamakan penyusuan susu ibu bagi anak, ibu, keluarga, masyarakat dan negara.

Tema sambutan Minggu PSI tahun ini ‘Menyokong Ibu Ke Arah Kecemerlangan Penyusuan Susu Ibu. Semua Berjaya!’.
(Oleh : Siti Zuraihah Awang Sulaiman)

Kembali ke muka utama