BERITA LENGKAP

Peserta Sivik didedahkan dengan Adat Istiadat Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos. - Para peserta bagi Perkampungan Sivik Mahasiswa Negara Brunei Darussalam 2008 pada petang tadi berpeluang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Penolong Yang Di-Pertua Adat Istiadat di Jabatan Adat Istiadat, Pengiran Dr. Hidop bin Pengiran Haji Samsuddin mengenai dengan 'Adat Istiadat Brunei: Majlis Beradat Istiadat'.

Ceramah yang disampaikan banyak menyentuh mengenai dengan cara-cara adat perkahwinan orang Brunei yang masih diamalkan sehingga sekarang ini walaupun zaman semakin canggih dan serba moden.

PENOLONG Yang Di-Pertua Adat Istiadat, Pengiran Dr. Hidop bin Pengiran Samsuddin ketika memberikan ceramah mengenai Adat Istadat kepada para peserta Kursus Perkampungan Sivik Mahasiswa dan Mahasiswi Seberang Laut 2008. Foto oleh :- Hatral Hazmi Abd. Hamid. (Hazmi_01)

Beliau menjelaskan satu persatu mengenai acara-acara yang termasuk dalam adat perkahwinan orang Brunei seperti bersarang gundi, berjarum-jarum, bersuruh, menghantar tanda dan berian, berbedak, berpacar, bersanding, ambil-ambilan dan muleh tiga hari.

Para peserta kelihatan sungguh tertarik dengan topik yang telah dikemukakan oleh penceramah dan mereka juga berpeluang mengajukan soalan-soalan di sesi soal jawab yang telah diadakan selepas ceramah selesai disampaikan.

Mereka akan mendapat sedikit sebanyak pengetahuan tentang adat perkahwinan orang-orang Brunei Melayu dari ceramah yang disampaikan.

Sebagai generasi penerus mereka perlu mengetahui dan faham betapa pentingnya meneruskan dan mengamalkan adat ini supaya ianya tidak pupus di telan zaman.

Sesi ceramah telah diadakan di Votech International House, Seameo Votech, Gadong.
((Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad)

Kembali ke muka utama