BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos.- Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Paduka Awang Haji Ishaaq bin Haji Abdullah hari ini mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Ugama Masin, Kawasan Brunei IV Daerah Brunei dan Muara.
Ketibaan Dato Paduka Awang Haji Ishaaq bin Haji Abdullah dialu-alukan oleh Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajah Kasmah binti Haji Siput; Penolong Pengarah Pengajian Islam Dayang Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani dan Pemangku Guru Besar Sekolah Ugama Masin Awang Seridol bin Hussin.
Semasa lawatan itu, Dato Paduka diberikankan taklimat oleh Pemangku Guru Besar sekolah berkenaan yang antara lain menyentuh mengenai penubuhan sekolah, perkembangan akademik dan kurikulum sekolah, Program 3K (Kesihatan, Kebersihan dan Keindahan), Program Bilik Air Kering, Mirhadh serta aktiviti-aktiviti sekolah yang lain.
Majlis diteruskan dengan sesi perbincangan di antara Pemangku Setiausaha Tetap KHEU bersama Pemangku Guru Besar serta pegawai-pegawai sekolah.
Dato Paduka antara lain memberikan saranan dan nasihat mengenai perlunya sekolah-sekolah ugama mempunyai bahan bacaan yang sesuai bagi bilik-bilik perpustakaan persekolahan ugama dalam usaha menambahkan lagi ilmu pengetahuan pelajar sekolah.
Selain dari itu Dato Paduka juga menyentuh mengenai keutamaan penghayatan terhadap ilmu pengetahuan yang dipelajari di sekolah untuk diamalkan sepanjang hayat.
Lawatan diakhiri dengan tinjauan Pemangku Setiausaha Tetap KHEU ke persekitaran sekolah dan bilik-bilik darjah.
Juga hadir pegawai-pegawai dari beberapa jabatan di bawah KHEU termasuk Jabatan Pengajian Islam, Pejabat Timbalan Setiausaha Tetap, Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan dan Bahagian Dasar dan Inspektorat.
Lawatan kerja merupakan kesinambungan daripada siri-siri lawatan pihak KHEU ke sekolah-sekolah ugama di seluruh negara yang diadakan sebelum ini.
Ia antara lain bertujuan bagi memastikan pentadbiran persekolahan ugama berjalan dengan lancar, di samping membuat pendekatan mengenai keberkesanan projek yang diungkayahkan oleh pihak sekolah ke arah menerapkan penghayatan beragama di kalangan murid-murid.
Sekolah Ugama Masin mempunyai seramai 24 orang tenaga pengajar dan mempunyai kira-kira 360 orang pelajar.
PEMANGKU Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Ishaaq bin Haji Abdullah ketika melawat kawasan Sekolah Ugama Masin dengan diiringi oleh Pemangku Guru Besar sekolah berkenaan. Foto oleh :- Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman.
((Oleh : Marzuki Haji Mohd. Seruddin)
Kembali ke muka utama