BERITA LENGKAP

Lapan strategi utama capai Wawasan Brunei 2035

GADONG, Rabu, 6 Ogos.- Matlamat Wawasan Brunei 2035 bertujuan menjadikan penduduk di negara ini berjaya, berpendidikan dan berkemahiran tinggi; mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi, di samping menjadikan ekonomi negara yang dinamik dan berdaya tahan.

Untuk mencapai matlamat-matlamat itu, lapan strategi telah dikenalpasti merangkumi strategi pendidikan, ekonomi, keselamatan, pembangunan institusi, pembangunan perniagaan tempatan, pembangunan infrastruktur, jaminan sosial dan alam sekitar.

Pemangku Pengarah Perancangan, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Awang Abd. Amin bin Haji Hashim menyatakan demikian semasa menyampaikan taklimat mengenai Perancanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darusalam kepada para peserta Perkampongan Sivik Mahasiswa/ Mahasiswi Negara Brunei Darussalam Seberang Laut bagi tahun 2008, berlangsung di Pusat SEAMEO VOCTECH di sini.

PEMANGKU Pengarah Jabatan Perancang Kemajuan Ekonomi, Awang Abdul Amin bin Haji Hashim menyampaikan ceramah bertajuk Perancangan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam kepada peserta kursus Perkampongan Sivik Mahasiswa/Mahsiswi Seberang Laut 2008. Foto oleh :- Abdullah Haji Awg. Damit.

Ketika menyentuh mengenai ekonomi negara ini, beliau berkata ia dikembangkan melalui tiga sektor iaitu sektor kerajaan, sektor minyak dan gas dan sektor bukan minyak dan gas.

Katanya jumlah warga tempatan yang bekerja di sektor swasta di negara ini adalah rendah iaitu hanya 30 peratus sahaja.

Bagi menjana ekonomi yang berdaya tahan jelasnya, negara memerlukan rakyat yang berpendidikan, di samping memajukan perusahaan mereka sendiri.

Perancanaan Kemajuan Jangka Panjang merangkumi Wawasan Brunei 2035, Rangka Strategi dan Dasar Bagi Pembangunan (OSPD) 2007 – 2017, Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 2007 -2012 dan memantau dan menilai.

Lebih 90 penuntut seberang laut menyertai aktiviti tahunan anjuran Jabatan Penerangan ini dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sendirian Berhad.
((Oleh : Hezlinawati Hj. Abd. Karim)

Kembali ke muka utama