BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 ogos – Klinik Pediatrik Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Kuala Belait menjuarai Pertandingan Sudut Promosi Penyusuan Susu Ibu 2008 sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu di negara ini.
Tempat ke-2 dimenangi oleh Klinik Kesihatan Ibu-Ibu dan Kanak-Kanak, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Haji Al-Muhtadee Billah Tutong dan tempat ke- 3 dimenangi oleh Wad Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Suri Seri Begawan.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman di Upacara Kemuncak Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu 2008 berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun di sini.
Ketua Penyelaras Pertandingan, Dayang Julita binti Abdul Fata menjelaskan bahawa pelaksanaan pertandingan tersebut melibatkan penyertaan pekerja-pekerja kesihatan daripada pusat-pusat kesihatan pesakit luar, klinik-klinik kesihatan ibu-ibu dan kanak- kanak, wad-wad obstetrik dan pediaktrik di hospital-hospital seluruh negara.
Beliau menambah, sambutan untuk menyertai pertandingan berkenaan adalah sangat menggalakkan melibatkan 37 kumpulan dengan 21 penyertaan dari Daerah Brunei dan Muara, tujuh penyertaan dari Daerah Belait, tujuh dari Daerah Tutong dan selebihnya dua penyertaan dari Daerah Temburong.
Sementara itu, sudut promosi yang diadakan semasa pertandingan tersebut dapat menambahkan informasi dan kefahaman tentang penyusuan susu ibu dan secara tidak langsung membantu menaikkan mutu atau kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai khususnya kaum wanita atau ibu.
Tujuan utama pertandingan adalah untuk mempertingkatkan tahap promosi penyusuan susu ibu di Negara Brunei Darussalam selain meningkatkan kesedaran orang ramai terutama ibu bapa tentang kepentingan amalan penyusuan susu ibu apabila datang berkunjung ke klinik-klinik dan hospital-hospital seluruh negara.
((Oleh : Siti Zuraihah Awg. Sulaiman)
Kembali ke muka utama