Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

TELADAN KEHIDUPAN BAGINDA RASULULLAH SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM
Oleh : H.A. Manap

SUASANA dan kemeriahan sambutan Maulidur rasul di negara kita sudah semakin rancak dan ketara, sejak 1 Rabiulawal yang lalu. Kemeriahan dan suasana sedemikian ini adalah merupakan cara kita dan inilah terjemahan kasih sayang kita kepada Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang kita kasihi, pemimpin umat dari kegelapan kepada terangnya kehidupan di dunia dan di akhirat. Ini akan bertambah bersemarak lagi dengan adanya kemuncak perayaan iaitu perarakan mengelilingi ibu kota pada 12 Rabiulawal nanti. Marilah kita memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana di bulan ini adalah merupakan bulan penting untuk kita ingati iaitu keputeraan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Baginda datang untuk menerangi kegelapan umat, membawa rahmat seluruh alam dan menjadi ikutan peribadi serta akhlak yang mulia. Kita perlu menghayati contoh teladan dan kepimpinan yang telah Baginda lakukan sehingga Baginda mewujudkan sebuah tamadun kehidupan yang menyinari kegelapan kepada cara dan kehidupan yang diredai oleh Allah untuk kebahagiaan dunia dan akhirat. Pengorbanan yang Baginda lakukan bukanlah perkara yang sedikit. Ia merupakan pengorbanan besar yang Baginda lakukan demi kebahagiaan umat Baginda di dunia dan di akhirat nanti. Banyak ciri-ciri kehidupan yang Baginda miliki serta tunjukkan adalah merupakan contoh yang amat besar untuk kita hayati. Pimpinan Baginda dan pengasuhan terhadap generasi muda belia adalah merupakan suatu yang mengkagumkan.

Baginda melahirkan generasi belia dan remaja yang mempunyai kekuatan diri yang begitu kental. Iman dan ketakwaan mereka tidak boleh di tawar-tawar atau ditukar ganti. Baginda juga telah melahirkan sebuah generasi yang bukan sahaja mampu mendepani berbagai suasana akan tetapi sebagai generasi yang dapat mewujudkan perkembangan dan kemajuan hidup bermasyarakat dan bernegara yang sangat mulia dan indah. Lihatlah generasi muda belia yang terasuh dengan kekuatan iman dan takwa tidak pernah gentar untuk berdepan dengan berbagai cubaan dan ancaman. Malahan semakin menekan serta cabaran dan ancaman semakin kuat dan teguhnya pendirian dan keimanan mereka. Semangat juang mereka sangat tinggi, mempertahankan kedaulatan agama dan syiar Islam begitu setia dipertahankan. Kemenangan diraikan dengan kesyukuran, kekalahan diterima dengan kesabaran, di samping selalu bermuhasabah untuk mencari jalan bagi mencapai kemenangan yang cemerlang.

KASIH SAYANG TERBINA

Hubungan dan kasih sayang umat kepada Baginda tidak ada bandingannya. Inilah kekuatan dan keindahan yang telah Baginda lakukan dalam memperlihatkan betapa pentingnya kehidupan ini disaluti dengan kekuatan iman dan takwa.

Dari dunia yang gelap gelita dihiasi dengan kejahilan dan kemaksiatan bertukar menjadi suatu kehidupan yang sangat indah dan mulia. Baginda tidak pernah kendur-kendurnya untuk melihat kehidupan umat ini berada pada keadaan yang baik dan sempurna. Bagi kaum wanita Baginda memperjuangkan hak mereka, sehingga kedudukan dan tempat bagi kaum wanita tidak lagi seperti mana yang dikotak katikan di zaman jahiliah sebelumnya.

Anak-anak yatim terbela, orang-orang miskin dipeduli dan orang-orang tua terpelihara dan banyak lagi yang telah Baginda lakukan. Sebagai generasi muda belia adalah wajar dan sangat penting untuk kita sentiasa mengkaji dan membaca sirah Baginda iaitu perjalanan hidup dan sejarah yang telah berlaku pada diri Baginda.

Kita tidak perlu mencari 'role model' yang lain. Baginda sudah cukup untuk menjadi contoh teladan yang sempurna dan sebagai lambang kehidupan yang berwibawa tinggi. Justeru, jika kita sentiasa ingat dan menanamkan rasa cinta dan kasih sayang kepada Baginda, nescaya kehidupan yang kita lalui akan lebih sempurna dan baik. Kehidupan yang kita depani ini adalah merupakan pencorakkan hidup yang sangat mencabar keimanan dan ketakwaan.

Kita disogokkan dengan berbagai perkara yang hanya menjurus kepada titik-titik hitam kehidupan. Namun jika kita sentiasa kembali dan menghayati perjuangan dan contoh teladan yang telah Baginda Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam lalui tentu kita bukan sahaja akan mampu menghadapi cabaran dan ancaman kehidupan ini dengan lebih baik dan sempurna, malahan kita menjadi generasi yang berwibawa.

JANGAN CARI IDENTITI LAIN

Banyak orang tewas dan tercari-cari identiti bagaimana yang patut diikuti dan dijadikan contoh yang sebaiknya. Namun terlalu banyak yang sudah lupa bahawa pada diri mereka ada kewajipan dan keperluan untuk mereka memahami akan keunggulan dan ketokohan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang mesti mereka ketahui. Sesuai di bulan Rabiulawal ini, bulan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diputerakan dan marilah kita kembali serta memahami sejarah kehidupan dan mengenali Baginda secara lebih dekat lagi.

Di samping dalam usia yang muda remaja ini biasakanlah diri untuk memperbanyakkan selawat ke atas Junjungan Besar kita Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Hanya dengan memahami dan menghayati perjuangan dan sirah yang telah Baginda lalui sahajalah yang akan dapat menghidupkan kecintaan dan kasih sayang kepada Baginda yang merupakan seorang pemimpin contoh kepada umatnya yang telah mengorbankan diri Baginda semata-mata untuk menyampaikan dakwah islamiah bagi membina sebuah tamadun kehidupan yang berbahagia di dunia dan di akhirat nanti. Jadikanlah setiap langkah dan kehidupan Baginda itu sebagai contoh teladan untuk kita ikuti dan hayati. Jangan biarkan kita terlepas peluang untuk mengasihi Baginda dan menghayati perjuangannya. Kerana jika ini berlaku, maka kita sudah tentunya akan menjadi generasi yang bukan sahaja rugi di dunia malahan di akhirat nanti.

Marilah kita bersama-sama memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Baginda yang dikasihi, mudah-mudahan dengan adanya perlakuan sedemikian itu akan menjadikan kita sebagai umat dan menjadi contoh dan generasi muda belia yang mempunyai kekuatan yang sukar untuk ditandingi. Insya-Allah inilah yang akan menjadikan kita sebagai bangsa yang cemerlang dan yang sukar ditembusi oleh sebarang anasir-anasir serta pengaruh liar yang sentiasa mengintai untuk menghancurkan kehidupan kita di dunia ini.

Tanggungjawab yang terpikul kepada kita ialah untuk menyambung dan meneruskan perjuangan dan juga menanai kedaulatan beragama, di samping menjadikan kita sebagai masyarakat yang kuat dan teguh. Kekuatan dan keteguhan yang kita cari itu akan hanya ada, jika kita mampu memelihara dan menjaga maruah agama dan tetap secara berterusan menjadikannya sebagai cara hidup yang sempurna.


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

PENYELIDIKAN ROV DI KAWASAN MLJ2 DAN MLJ1

JABATAN Laut memaklumkan kepada semua kapal, para pelaut serta orang ramai bahawa penyelidikan ROV di kawasan MLJ2 dan MLJ1 akan diadakan bermula 4 April 2009 selama 20 hari.

Kawasan MLJ2 yang terbabit dari 5 darjah 23’ 29.236” (U) 114 darjah 39’(T)59.720” dan kawasan MLJ1 yang terbabit dari 5 darjah 24’ 01.431” (U) 114 darjah 41’ 05.844” (T).

Penyelidikan yang akan menggunakan Kapal MV Fugro Sostice itu akan melibatkan carta BA 2109.