|

Rabu , 1 April 2009
5 Rabiulakhir 1430
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
KEKAL ‘TUA’
DALAM ‘MODENNYA’
BUKU Adat Istiadat Diraja Brunei telah dilancarkan pada 31 Mac 2009 yang disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muh- tadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri. Sesungguhnya penerbitan buku berkenaan yang memaparkan tentang kehalusan, keindahan dan keunikan adat istiadat diraja Brunei yang dipusakai turun-temurun akan menjadi ristaan sejarah yang begitu mahal dan tinggi nilainya dalam sejarah Negara Brunei Darussalam. Kita selaku rakyat dan penduduk negara ini amat bertuah kerana dapat menikmati dan menyelami isi kandungan buku berkenaan yang disesuaikan dengan peredaran zaman tanpa merombak keasliannya. Mengambil sukut baik pelancaran buku tersebut, maka 31 Mac setiap tahun diisytiharkan sebagai Hari Adat Istiadat Negara Brunei Darussalam.
Sungguhpun negara kita ‘damit’ dan keluasaannya hanya tinggal setempap dan saiz penduduknya sekadar sejemput jika dibandingkan dengan lain-lain negara di dunia global ini, namun di sebalik kedamitannya itu terserlah kehebatan yang tersendiri iaitu kita telah berjaya menghasilkan Buku Adat Istiadat Diraja Brunei yang pastinya akan menjadi bahan bacaan dan rujukan yang berguna kepada segenap lapisan rakyat, khususnya kepada pembesar-pembesar negara, pegawai-pegawai kerajaan, mahasiswa universiti dan institusi pendidikan tinggi serta para pelajar di sekolah-sekolah.
Penyusunan buku tersebut mengambil masa yang cukup lama, di mana penulisan dan penerbitannya adalah bagi menjunjung titah dan hasrat Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Wad- dien iaitu Sultan Brunei Ke-28 dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Brunei Ke-29 dengan hasrat dan tujuannya ingin melihat adat istiadat diraja Brunei akan sentiasa bersemarak, ‘rakat’ dan terus ‘palikat’ di hati sanubari rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
Dalam Titah Alu-aluan dalam Buku Program Sempena Majlis Pelancaran Buku Adat Istiadat Diraja Brunei, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menekankan sesungguhnya penyusunan buku ini mengambil masa yang lama dan bukanlah suatu usaha yang mudah lebih-lebih lagi dalam menyelidik dan mengumpulkan maklumat-maklumat yang hampir-hampir hilang ditelan zaman.
"Semoga kita dapat mengambil manfaat dalam menyemarakkan dan mengukuhkan lagi dasar dan institusi Melayu Islam Beraja. Beta juga berharap ianya menjadi asas untuk menyusun ’Adat Istiadat Diraja’ yang lebih komprehensif bersesuaian dengan tuntutan masa kini dan akan datang, supaya ia terus mantap dan dinamis, kekal ‘tua’ dalam ’modennya’," titah baginda.
Dengan memaparkan tentang kehalusan, keperibadian budaya dan adat istiadat diraja Brunei, insya-Allah buku berkenaan akan menjadi ‘landmark’ dan ristaan kepada rakyat dan penduduk, di samping menjadi cerucuk, suga-suga dan sulai kepada bangsa Melayu Brunei dalam menghadapi Tsunami langit terbuka dan fenomena global yang melanda dunia sekarang.
Menurut Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Yang Dipertua Adat Istiadat Negara, bahawa buku itu juga diharapkan menjadi asas untuk menyusun ‘Adat Istiadat Diraja’ yang lebih komprehensif bersesuaian dengan tuntutan masa kini dan akan datang supaya ia terus mantap dan dinamis, kekal ‘tua’ dalam ‘modennya’ serta sesuai dengan hukum syarak dan bersandarkan kepada konsep Melayu Islam Beraja (MIB).
Semogalah dengan penerbitan Buku Adat Istiadat Diraja Brunei akan bersemaraklah dan hidup di hati sanubari rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam, di samping bagi mengingat dan mengenang jasa Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang semasa hayat baginda sentiasa menjadi pencetus semangat, pendorong dan perangsang yang tidak kendur-kendur mendorong penulisan buku berkenaan. Penerbitan buku sahaja akan dapat memperlihatkan identiti dan jati diri bangsa, agama dan negara dengan calaknya yang tersendiri, tetapi juga berfungsi untuk menyemarakkan semangat kesedaran tinggi di kalangan rakyat agar menjadi insan lebih berdisiplin. Mudah-mudahan kita semua akan mengambil tabaruk daripada pelancaran buku tersebut dalam menyemarak dan mengukuhkan serta menanai konsep dan falsafah MIB yang menjadi pasak dan teras paksi Negara Brunei Darussalam terutama dalam kita meniti kehidupan berbangsa dan bernegara.
Kembali ke muka utama
|