Penanaman padi itu perlu kerana ia merupakan makanan asasi di negara ini dan sudah sampai masanya kita tidak terlalu berharap kepada beras-beras yang didatangkan dari luar negeri. Kesan dari penghasilan ini boleh meningkatkan perekonomian ne- gara sendiri.
Mengenai dengan penanaman padi ini, perkara ini telah nampak trend ataupun semangat penanaman padi sejak kebelaka- ngan ini dengan pertambahan kegiatan yang dila- kukan oleh orang ramai.
Di antara yang bergiat dan mengusahakan penanaman padi di Kampong Wasan ialah Majlis Pe- rundingan Mukim Pengkalan Batu (MPMPB) merupakan satu aktiviti Majlis Perundingan Mukim yang menjurus kepada kemasyarakatan dan perekonomian.
Ladang Padi Wasan terletak 17 kilometer selatan barat daripada Bandar Seri Begawan iaitu pada koordinat 4°46'18" - 4°48'00"N dan 114°48'00" - 114°49'20"E. Ladang Wasan telah digazet sebagai Tanah Pertanian dengan keluasan sebanyak 312.1 hektar. Daripada jumlah ini sebanyak 230 hektar telah dijadikan sebagai ladang padi. Ladang Padi Wasan pernah beroperasi di bawah Projek Padi Kerajaan bermula tahun 1978. Ladang padi ini dibuka semula pada tahun 2006 dan dikendalikan oleh MPMPB dan Koperasi Setia Kawan (KOSEKA). Jenis-jenis padi yang lazimnya ditanam oleh peladang-peladang di Ladang Padi Wasan adalah padi Pusu, Bario dan Adan.
Pada masa ini, ladang ini belum mempunyai sistem pengairan dan saliran yang lengkap. Paip-paip air yang menyalurkan air daripada Ampangan Imang telah siap dibina dan perancangan untuk menyalurkan air daripada paip-paip ini ke ladang-ladang pengusaha telah pun dibuat.
Projek ini dianggotai oleh penduduk yang tinggal di tujuh buah kampung di bawah mukim, pada mulanya diusahakan oleh pihak swasta, tetapi hanya sebilangan kecil sahaja yang dimajukan dengan suku keluasan dari keseluruhan 800 ekar, yang mana selebihnya masih terbiar.
Pada masa ini, sebanyak 50.6 hektar dikendalikan di bawah MPMPB iaitu dalam Blok 5. Projek pena- naman padi ini diketuai oleh Awang Haji Ahmad bin Haji Momin dan mempunyai keramaian peladang sebanyak 61 orang. Pada musim 2007 /
2008, sebanyak 64.7 tan padi telah dihasilkan melalui projek ini.
Projek penanaman padi ini bemula pada September 2007 dan boleh mengeluarkan kira-kira 14.5 peratus hasil padi tempatan. Ladang padi yang boleh dikatakan begitu luas ini berpotensi besar dalam membantu mengeluarkan hasil negara selain dari ladang padi yang terdapat di Daerah Temburong dan Labi juga di Daerah Belait.
Sebanyak 139.8 hektar telah dikendalikan KOSEKA iaitu dalam blok 1 - 4. KOSEKA merupakan koperasi bekas perajurit dan ianya diketuai oleh Leftenan Kolonel (B) Haji Mohd. Shahlan bin Hidup. Pada masa ini, seramai 120 orang peladang beroperasi di bawah projek ini. Pada musim 2007/2008, sebanyak 128 tan padi telah dihasilkan.
Ladang Padi Bebuloh terletak di Kampong Bebuloh, Mukim Pengkalan Batu. Kawasan ini telah dibuka oleh penduduk Kampong Bebuloh pada tahun 2002 dan sebanyak 80 hektar telah digazet sebagai Tanah Pertanian. Pada masa ini, ladang ini diketuai oleh Awang Jampi bin Amir dan mempunyai keramaian peladang seramai 84 orang.
Pada masa ini, ladang ini belum mempunyai sistem pengairan dan saliran yang lengkap. Perancangan telah dibuat untuk pembinaan paip-paip air untuk menyalurkan air daripada Ampangan Imang kepada ladang ini.
Ampangan Imang telah siap dibina pada tahun 1997. Walau bagaimanapun pembinaan paip-paip yang menyalurkan air daripada ampangan ke Ladang Padi Wasan telah selesai dibuat pada bulan November 2007. Di samping menyalurkan air ke Ladang Padi Wasan, ianya juga menyalurkan air ke ladang pertanian di Betumpu.
Ampangan Imang mempunyai kapasiti untuk menampung 9.75 juta m3 air. Ianya cukup untuk menyalurkan air secara berterusan sepanjang 4.5 bulan (tanpa hujan) kepada ladang Betumpu (234 hektar ladang sayuran) dan Wasan-Bebuloh (312 hektar ladang padi).
Perancangan telah dibuat untuk menyambung paip pengairan daripada ampangan kepada petak- petak pengusaha di Ladang Padi Wasan dan juga membina paip besar sepanjang 4.5 hektar untuk disalurkan kepada Ladang Padi Bebuloh. Pembinaan sistem pengairan dan saliran bagi Ladang Padi Wasan dan Bebuloh ini dijangka siap pada tahun 2012.
Jenis-jenis padi yang lazimnya ditanam di ladang ini adalah padi Pusu, Bario dan Adan. Pada musim 2007/2008, seba- nyak 115.5 tan padi telah dihasilkan daripada ladang padi di kawasan ini.
Seperti yang kita maklum dan ketahui mengusahakan bertanam padi bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan, dari peringkat pembersihan kawasan tapak ladang, menyamai benih, bertanam serta mengawal rumput rampai dan mengawal serangga pemusnah memerlukan kesabaran serta semangat yang kental dan kuat dengan berbuat begitu barulah hasilnya dapat kita rasakan dan lihat nanti.
Pada masa ini ahli-ahli ladang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang veteran (PESARA) yang boleh dianggap sebagai perintis dan cabaran kepada orang-orang muda belia.
Apa yang membanggakan kita projek berbentuk kemasyarakatan ini telah dapat membuahkan masyarakat kampung yang menghidupkan budaya tradisi turun-temurun bertanam pada ala kampung dan dapat melahirkan masyarakat kampung yang tidak hanya bersikap berdiam diri dengan bergoyang kaki dan hanya bergantung harap kepada pihak kerajaan. Selaku masyarakat yang tinggal di kampung ini ianya akan terus berusaha dan memikirkan untuk memberikan sumbangan kepada mukim dan Negara Brunei Darussalam.
Menyedari tahun pertama musim bertanam padi 2006/2007 adalah tahun percubaan kepada ahli-ahli ladang, tidak dapat dinafi- kan terdapat banyak kelemahan - kelemahannya terutama dari segi kemahiran kerana ada sebilangan ahli ladang langsung tidak pernah mengusahakan dan bertanam padi. Walau bagaimanapun, hasil bim- bingan dan tunjuk ajar dari unit-unit perkembangan padi, perkembangan daerah Jabatan Pertanian dan dengan semangat dan kesungguhan yang tinggi, 98 peratus ladang telah dapat diusahakan oleh ahli-ahli ladang sendiri di atas lot masing-masing seluas dua ekar setiap seorang dengan jayanya.
Hasil daripada kejayaan pertama yang dicapai, ia- nya telah telah membuka mata dan keyakinan, penduduk-penduduk boleh berjaya jika diberikan peluang dengan kesepakatan dan kerjasama yang padu bersama pemimpin akar umbi. Dengan kejayaan tersebut ahli jawatankuasa tadbir telah banyak me- nerima pemohon-pemohon baru dari penduduk-penduduk kampung yang ingin menjadi ahli.
Adalah menjadi harapan bagi penduduk kampung ini untuk memajukan ladang padi kemasyarakatan mukim ini, bukan saja bertanam padi setahun sekali iaitu sebagai pekerjaan sambilan, malah akan dipertingkatkan bertanam padi setahun dua kali dan dikerjakan sepenuh masa oleh ahli ladang sebagai satu pekerjaan.