|
MINDA PEMBACA
MINDA Pembaca yang terpilih minggu ini daripada tajuk yang telah kami kemukakan iaitu 'Wujudkan Program Keselamatan dan Kesihatan Sekolah'. Mereka akan menerima hadiah sebanyak BND40.00. Pendapat yang berjaya itu adalah seperti berikut: :
Melahirkan sumber tenaga yang intelek,
berwawasan
SEBENARNYA program keselamatan dan kesihatan di sekolah sudah lama menjadi dasar kerajaan di negara ini apa yang perlu ialah untuk terus mengekalkan dan mengemaskinikan program itu dengan cara lebih teratur dan sempurna. Kesihatan di sekolah amat diambil perhatian oleh pihak Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam seperti mengadakan kempen-kempen berupa kesihatan untuk murid-murid di kesemua sekolah milik kerajaan. Bukan setakat murid sahaja malah tenaga pengajar juga tidak dilupakan untuk turut sama dalam program kesihatan seperti mengadakan ceramah dan tunjuk ajar cara-cara penggunaan peralatan kesihatan yang betul. Suntikan mencegah penyakit berjangkit dan penjagaan gigi tidak pernah diabaikan dari dahulu hingga sekarang masih lagi diteruskan oleh pihak-pihak tertentu memikirkan supaya ada di- sediakan satu bilik rawatan khas untuk merawat murid-murid di setiap sekolah-sekolah milik kerajaan yang lengkap dengan segala kemudahan perubatan dan selain itu juga terdapat sekurang-kurangnya guru-guru yang terlatih dalam bidang pertolongan cemas. Sebagai contoh murid yang mengalami keracunan makanan sebelum dibawa ke rumah sakit sekurang-kurangnya sudah ada langkah rawatan awal dari guru-guru sekolah. Sudah menjadi tanggungjawab pihak sekolah untuk menangani jika berlaku sebarang masalah.
Mewujudkan program keselamatan di sekolah amat diperlukan ketika ini kerana setiap sekolah milik kerajaan merupakan tempat atau kawasan terkawal yang patut dilindungi dari semasa ke semasa. Bukan hanya setakat mendirikan pondok-pondok pengawal yang kosong dan pagar-pagar di sekeliling sekolah. Apa yang perlu diambil perhatian ialah seperti jika berlaku kebakaran atau bencana alam yang tidak diduga-duga bila ianya akan terjadi. Di zaman awal 80-an pihak pasukan bomba dan Kementerian Pendidikan ada mengadakan latihan mengawal jika berlaku sebarang kebakaran bangunan sekolah, terutama di sekolah-sekolah kerajaan yang didirikan di kawasan perumahan Kampong Ayer. Sehingga sekarang sekolah-sekolah tersebut masih lagi digunakan oleh penduduk-penduduk di Kampong Ayer. Perkara itu tidak lagi kedengaran adakah sistem ketika ini lebih baik dari dahulu yang tidak memerlukan sebarang penglibatan atau latihan dari pihak-pihak tertentu.
Kepada pihak guru-guru sekolah ada baiknya mengambil langkah bijak jangan hanya mengharapkan atau menunggu dari pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) sahaja. Apa kiranya pihak sekolah sendiri mengadakan latihan tersebut jika sekiranya berlaku kebakaran ke mana semua murid harus ditempatkan untuk berkumpul, setiap guru memastikan tiada seorang murid pun berada di dalam bilik darjah dan mampu mengawal kebakaran dari merebak. Jika pihak sekolah kurang pengetahuan tentang langkah-langkah mencegah atau tidak tahu menggunakan alat-alat pemadam api yang disediakan mintalah nasihat dari pihak JBP tentu mereka tidak keberatan kerana sudah menjadi tanggungjawab mereka. Selain itu juga pihak JPB harus mengadakan ceramah dan latihan yang bersesuaian kepada guru-guru dan murid-murid sekolah. Adakan lawatan ke sekolah-sekolah bagi membuat pemeriksaan terhadap alat-alat pemadam api dan menukar mana-mana yang sudah rosak atau luput tarikh penggunaannya.
Memastikan yang pihak sekolah mematuhi arahan-arahan keselamatan penggunaan alat pemadam api dan keselamatan bangunan yang telah diberikan oleh pihak bomba seperti tiada halangan untuk kereta bomba masuk atau keluar dari kawasan tersebut. Pintu masuk dan keluar dalam keadaan baik. Wujudkan pengawal atau penjaga sekolah terutama sekali di sekolah-sekolah rendah kerajaan bagi membantu kelancaran perjalanan murid-murid dan ibu bapa ketika menghantar dan menjemput anak-anak mereka balik dari sekolah dengan selamatnya. Guru-guru sekolah perlu diberikan pendedahan tentang keselamatan penjagaan murid-murid dan hal-hal pengurusan bangunan sekolah, seperti memastikan semua peralatan ditutup (di- matikan), menaruh segala dokumen atau fail ke tempat asalnya dan dikunci sebelum meninggalkan bangunan.
Dengan pendidikan sihat dapat melahirkan murid-murid yang sempurna baik zahir dan batin selain bijak dalam pembelajaran sekolah. Ibu bapa juga perlu memberi sokongan yang padu kepada pihak sekolah selain dari pihak-pihak kerajaan.
Awang Junaidi bin Hidup,
No. 2, Jalan 9, Kampong Perpindahan Lambak Kanan.
No. k/p : 00-257603.
Pupuk budaya selamat, sihat di kalangan pelajar
KITAsering mendengar, terbaca dan melihat dari media massa mengenai beberapa kemalangan dan kecederaan yang berlaku di premis sekolah. Insiden dan kemalangan ini melibatkan pelajar mahupun guru. Perkara ini sememangnya membimbangkan kita semua kerana sekolah sepatutnya menjadi gedung menimba ilmu pengetahuan yang selamat dan sihat serta jauh dari perkara yang mendatangkan berbahaya. Oleh itu program keselamatan dan kesihatan sekolah wajar diwujudkan. Program ini adalah sebagai usaha mewujudkan kesedaran dan mempromosikan keselamatan dan kesihatan kerana ianya menjadi satu keperluan yang sangat relevan.
Banyak perkara yang patut diisikan dalam program keselamatan dan kesihatan sekolah ini. Bagi program keselamatan, ianya merangkumi keselamatan di dalam dan di luar bilik darjah. Panduan keselamatan bagi pelajar dalam menggunakan bahan-bahan kimia dalam makmal umpamanya banyak membantu kerja-kerja praktikal. Keselamatan jalan raya juga perlu diambil perhatian berat. Para pelajar terdedah dengan bahaya kemalangan jalan raya semasa menyeberangi jalan raya, di kawasan menunggu kenderaan dan sebagainya. Begitu juga semasa mengadakan aktiviti sukan, pelajar hendaklah dilatih untuk mengamalkan aspek keselamatan dalam bersukan.
Program kesihatan pula patut diisi dengan memberi penekanan kepada pelajar tentang pentingnya menjaga kesihatan. Ianya merangkumi bagaimana untuk memiliki badan yang sihat dengan pemilihan makanan seimbang yang diperlukan oleh tubuh badan. Pemakanan memainkan peranan penting bagi kesihatan. Badan yang sihat akan menjamin kecerdasan dan ketajaman minda. Kita memang menghendaki kesihatan tubuh badan yang berpanjangan tanpa adanya gangguan dari berbagai penyakit. Dengan mengetahui pentingnya penjagaan pemakanan itu dapat membantu diri pelajar dalam mengimbangi keperluan makanan untuk tubuh badan yang sihat. Begitu juga dengan memberi kefahaman mengenai bahaya rokok. Di peringkat sekolah inilah larangan merokok dilaksanakan secara serius dengan memberi sepenuh penjelasan akan kesan buruk dari merokok.
Salah satu inisiatif dalam mewujudkan program keselamatan dan kesihatan sekolah ialah dengan mengeluarkan 'Buku Panduan Program Keselamatan dan Kesihatan Di Sekolah'. Buku ini diharap akan dapat dijadikan sebagai rujukan asas oleh pelajar dan guru dalam menerapkan aspek keselamatan dan kesihatan sekolah. Antara lain, buku panduan ini dapat memberikan maklumat tentang cara-cara bagaimana untuk menimbulkan kesedaran dan latihan berkenaan keselamatan dan kesihatan kepada para pelajar, guru dan kakitangan sekolah. Buku panduan ini juga akan memberi maklumat mengenai keselamatan di makmal, pejabat dan kantin, keselamatan ketika bersukan, keselamatan daripada terjatuh, keselamatan pemakanan di kantin, keselamatan dan kebersihan diri, pengosongan bangunan waktu kecemasan serta pertolongan kecemasan.
Program keselamatan dan kesihatan bukanlah perkara yang baru bagi sekolah. Kebanyakan sekolah-sekolah di negara kita ini telah memperkenalkan beberapa kegiatan pembelajaran berunsurkan keselamatan dan kesihatan sebagai pemangkin kepada matlamat sekolah yang sihat, bersih dan selamat. Tinggal saja lagi, program ini hendaklah sentiasa dibuat pemantauan berterusan agar ianya menjadi program teras atau wajib bagi seluruh sekolah. Tunggak utama terhadap pelaksanaan program ini adalah memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan setiap pelajar, guru dan pekerja sekolah. Memastikan sesiapa sahaja yang berada di sekolah diawasi dan dijaga keselamatan dan kesihatan mereka.
Di samping itu, program tersebut dapat memupuk budaya selamat dan sihat di kalangan para pelajar sekolah sejak awal lagi supaya mereka akan menjadi sumber tenaga manusia atau modal insan yang sentiasa prihatin terhadap aspek keselamatan dan kesihatan. Pendedahan awal ini akan membantu generasi muda negara membentuk budaya kerja selamat dan sihat. Guru-guru adalah orang yang penting di dalam menerapkan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan dan kesihatan di kalangan pelajar.
Dayang Nur Afiqah Hazirah binti Mohamad Zaidi
No. 4, Simpang 163,
Jalan Kota Batu, Kampong Mentiri, BU 1929.
No. k/p : 01-053590.
Wujudkan program keselamatan
dan kesihatan sekolah
KESELAMATAN KESELAMATAN dan kesihatan merupakan dua perkara asas yang amat diperlukan terutamanya bagi pelajar-pelajar di sekolah rendah, menengah mahupun universiti kerana tanpa dua perkara ini, mereka tidak mampu fokus ketika sesi pembelajaran, suasana pembelajaran yang kurang selesa dan tidak dapat membuat kerja-kerja yang diberikan oleh guru mereka.
Sebenarnya ada bermacam-macam cara untuk mewujudkan program kesihatan sekolah. Salah satu daripadanya ialah semua guru dan pelajar melakukan senaman ringan selama 15 minit selepas perbarisan setiap pagi sebelum sesi pembelajaran pertama bermula. Dengan cara ini, mereka merasa segar dan bersemangat serta tidak mengantuk semasa belajar.
Setiap tahun, Kementerian Kesihatan menghantar beberapa orang doktor ke setiap sekolah di Negara Brunei Darussalam untuk memberikan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada semua pelajar dan guru misalnya mata, telinga, ketinggian, gigi, berat badan dan bermacam-macam lagi. Ini menunjukkan bahawa kerajaan juga mengambil peduli mengenai kesihatan di sekolah.
Pada tahun 2008, Kementerian Kesihatan telah menghantar beberapa orang pakar gigi ke semua sekolah di Negara Brunei Darussalam bagi menunjukkan cara-cara yang betul dalam memberus gigi serta memberi tips dalam memelihara gigi dengan baik.
Manakala bagi mewujudkan program keselamatan sekolah, perlu diadakan ceramah tentang cara-cara menyelamatkan diri ketika berlaku kebakaran di sekolah oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat. Sekurang-kurangnya para pelajar dan guru tidak merasa cemas dan melakukan perkara yang membahayakan nyawa sendiri seperti melompat dari bangunan jika berlaku kebakaran di sekolah.
Pada masa ini pihak sekolah telah mengupah beberapa orang pengawal keselamatan untuk meningkatkan lagi keselamatan sekolah. Dengan cara ini, dapat mengurangkan lagi insiden-insiden yang tidak diinginkan misalnya, pergaduhan.
Ada juga pihak sekolah memasang kamera kecil di tempat yang tidak diketahui oleh para pelajar untuk mengetatkan lagi keselamatan sekolah.
Demikianlah cara-cara untuk mewujudkan program keselamatan dan kesihatan sekolah. Pada pendapat saya, ini amat diperlukan kerana dua perkara inilah yang akan melancarkan perjalanan para pelajar sebagai bakal pemimpin negara kita.
Awang Mohd. Ali Azhar bin Haji Suhaili,
No. 23, Simpang 18, Jalan 64,
RPN Lambak Kanan, Berakas
BC 3115.
No. k/p: 01-049645.
Program kesihatan tingkatkan kesedaran penuntut
PERIBAHASA'melentur buluh biarlah dari rebung' adalah masih relevan. Dalam konteks ini rebung itulah kanak-kanak yang berada di bangku sekolah. Merekalah rebung-rebung bangsa yang perlu diasuh dan dididik yakni dilentur untuk menjadi buluh-buluh bangsa yang indah, berjati diri, patriotik, terdidik, terpelajar dan lengkap dengan ilmu untuk mengangkat negara ini sebagai sebuah negara maju sesuai dengan citi-cita Millenium Goal Bangsa-Bangsa Bersatu.
Selain daripada melentur mereka di rumah melalui lenturan ibu bapa, sekolah adalah juga tempat mereka untuk diwarna-warnikan demi mentransformasikan mereka menjadi anak-anak bangsa pembela tanah air. Di sekolah anak-anak ini didedahkan dengan berbagai cabang ilmu sebagai bekalan apabila tiba masanya untuk memasuki dunia kerjaya.
Adalah belum mencukupi jika ilmu dan pengetahuan tentang keselamatan dan kesihatan tidak diturunkan kepada anak-anak ini. Justeru, adalah penting untuk menerapkan ilmu tersebut kepada anak-anak agar mereka lebih berkeyakinan dalam berhadapan dengan kenyataan kehidupan. Tambahan pula keadaan dunia jauh berubah dan diubah oleh pelbagai cabaran yang dijangkakan serta tidak kurangnya juga yang tidak diduga.
Antara perubahan yang sedia dialami ialah yang berkaitan dengan alam sekitar akibat pemanasan global dan pengaruh cuaca yang tidak menentu. Kejadian banjir dan tanah susur yang telah kita alami. Ada baiknya program untuk menanganinya diadakan di sekolah agar anak-anak lebih bersedia untuk berhadapan dengannya jika perkara ini berlaku lagi. Program seperti ini telah lama dikenalkan di sekolah-sekolah di negara Jepun yang sering dilanda oleh kejadian gempa bumi. Malahan anak-anak sekolah di sana sudah mengetahui bagaimana bertindak seandainya tsunami melanda negara mereka.
Begitu juga halnya dengan isu-isu kesihatan. Mereka perlu memahami peri mustahaknya kesihatan melalui program kesedaran tentang kesihatan. Kita tidak ingin melihat anak-anak mempunyai berat badan berlebihan dan mempunyai risiko tertinggi terhadap kesihatan. Program seperti ini boleh diserapkan dengan lawatan ke rumah-rumah sakit kerajaan bagi membolehkan anak-anak sekolah mempelajari gejala-gejala pengabaian kesihatan. Kempen ini hendaklah berterusan supaya mereka mengerti bahawa penyakit membebankan penghidapnya, keluarga dan juga negara.
Dayang Amal Sohani binti Johari,
Simpang 63, No. 18, Jalan Beribi,
Kampong Beribi, Gadong BE 1118
Bandar Seri Begawan.
No. k/p : 00-298777.
TAJUK-TAJUK MINDA PEMBACA AKAN DATANG
1. 'Kesedaran Bernegara' Menuntut Kita Lebih Rancak Membangun Ke Arah Mencemerlangkan Negara'. Tarikh tutup : 9 Mei 2009.
2. 'SPN21 - Semua Pihak Memainkan Peranan'. Tarikh tutup : 16 Mei 2009.
3. 'Amalkan Cara Hidup Sihat'. Tarikh tutup : 23 Mei 2009.
Pendapat awda hendaklah ditaip jarak langkau dua baris dan panjang pendapat awda mestilah antara 200 hingga 300 patah perkataan. Nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat lengkap dan nombor telefon jika ada hendaklah disertakan dan hendaklah dihantar kepada :
Sidang Penyunting Minda Pembaca,
Unit Pelita Brunei,
Lapangan Terbang Lama, Berakas,
Bandar Seri Begawan, BB 3510,
Negara Brunei Darussalam,
jaafar.ibrahim @ information.gov.bn.
e-mel : pelita@ brunet.bn
Kembali ke muka utama
|