Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

MANUSIA DIUJI DALAM PELBAGAI BENTUK

MUSIBAH, malapetaka, tragedi dan kesusahan hidup boleh menimpa sesiapa sahaja mengikut kehendak Allah Subhanahu Wata’ala. Sekiranya perkara sedemikian melanda diri kita, jangan sekali-kali kita berpatah hati, berduka cita dan hilang semangat untuk meneruskan hidup dengan rancak dan penuh harapan. Ketahuilah bahawa semua musibah atau bencana hidup itu sebenarnya merupakan ujian dan cubaan dari Allah Subhanahu Wata’ala ke atas para hamba-Nya. Allah Subhanahu wata’ala firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 214 tafsirnya :

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman ada bersertanya : Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”

Cubaan dan ujian Tuhan ke atas para hamba-Nya tidak sama dan datang dalam bermacam-macam cara. Ada yang diuji dari segi batin dan ada juga yang diuji dari segi zahir. Ada kalanya kita disulitkan dengan penganiayaan dan tipu daya majikan, teman-teman, begitu juga dengan orang yang memusuhi kita. Ada kalanya juga kita disulitkan dengan masalah kewangan dan kerjaya, ada pula dicuba-Nya dengan perkara-perkara yang menyentuh peribadi seperti krisis rumah tangga dan masalah kekeluargaan.

Di akhir ayat tersebut di atas, Allah Subhanahu Wata’ala berjanji bahawa bantuan dan pertolongan-Nya akan datang juga sekiranya kita boleh bersabar dalam menanti turunnya bantuan dan pertolongan tersebut. Dalam penantian yang disusuli dengan ketabahan dan kesabaran ini, Allah Subhanahu Wata’ala mahu hamba-Nya tetap teguh, setia dan patuh kepada-Nya dengan tidak meniympang dari suruhan dan laranganNya.

Walau apa pun bentuk masalah atau bencana yang menimpa kita, percaya dan yakinlah bahawa masalah atau bencana yang menimpa kita, percaya dan yakinlah bahawa semua itu semata-mata ujian daripada Allah Subhanahu Wata’ala untuk melihat sejauh mana ketabahan dan kesetiaan kita terhadap-Nya. Apabila kita dapat membuktikan ketabahan dan kesetiaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala, maka Ia akan segera menghampiri kita untuk dengan menurunkan apa jua pertolongan serta bantuan untuk mengatasi masalah atau bencana yang kita alami itu. Allah Subhanahu Wata’ala firman-Nya dalam Surah Al 'Ankabuut ayat 2 - 3 tafsirnya :

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : Kami beriman! Dan mereka tidak akan diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenarnya-benarnya beriman.”

Ayat di atas menggambarkan bahawa ujian Allah Subhanahu Wata’ala ke atas hamba-Nya dan keimanan hamba tersebut kepada-Nya saling berkait rapat. Jika kita mengakui beriman kepada Allah Subhanahu Wata’ala, maka kita mestilah membuktikan kesabaran kita dalam menghadapi apa jua ujian membuktikan kesabaran kita dalam menghadapi apa jua ujian daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Dengan kata lain, kita masih tidak beriman kepada Allah Subhanahu Wata’ala jika kita tidak boleh menerima ujian-ujian-Nya dengan sabar. Apabila kita boleh membuktikan kepada Allah Subhanahu Wata’ala bahawa kita tetap bersabar semasa susah sambil terus beriman kepada-Nya, maka kita tidak perlu ragu-ragu lagi dengan janji Allah Subhanahu Wata’ala yang akan mendekati kita untuk menurunkan apa jua bantuan dan pertolongan.

Sesungguhnya dunia ini dijadikan Allah Subhanahu Wata’ala sebagai tempat percubaan dalam segala hal. Kita tidak terkecuali diduga dan diuji oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Segala ujian yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala akan diiringi dengan ganjaran-ganjaran berupa rahmat sebagai penyudahannya. Besar atau kecil rahmat dan kebaikan nanti akan setimpal dengan besar atau kecilnya cubaan dan ujian yang diterima hamba-Nya. Allah Subhanahu Wata’ala firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 - 157 tafsirnya :

“Demi sesungguhnya akan Kami uji kamu dengan suatu (cubaan) iaitu ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, manusia dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira untuk orang yang sabar (atas cubaan itu). (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah (malapetaka), mereka berkata: Bahawa sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kami akan kembali kepada-Nya. Mereka itulah yang dilimpahi pelbagai kebaikan dan rahmat daripada Tuhan mereka; dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

Janji Tuhan dalam ayat tersebut cukup jelas dan terang. Berita-berita gembira serta rahmat di penghujung ujian itu menanti para hamba-Nya yang sabar dan dapat menerima ujian tersebut dengan dada yang terbuka.

Memang sudah menjadi fitrah kejadian manusia di mana Tuhan sengaja meletakkan para hamba-Nya dalam keadaan-keadaan yang sukar dan sulit supaya dapat diuji keimanan dan kesabaran mereka serta dapat diberi peluang supaya para hamba-Nya dapat melihat kebesaran dan kekuasaan-Nya dalam mengutuskan bantuan, pertolongan serta rahmat dalam menghadapi segala macam kepayahan itu.

Selagi masih ada dunia, selagi itulah kesusahan (dugaan dan cubaan) akan terus ada. Jadi, kita tidak perlu hairan akan dugaan demi dugaan yang menimpa kita di dunia kerana dugaan itulah yang akan menguji keimanan kita dan Tuhan. Itulah sebenarnya perancangan Allah Subhanahu Wata’ala supaya kita tidak terlalu cenderung kepada dunia yang sementara dan akan lebih cenderung kepada akhirat yang kekal selama-lamanya.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda Riwayat Abu Hurairah yang mafhumnya: “Dunia ini umpama penjara bagi orang yang beriman dan Syurga bagi orang kafir.”


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.-