|
Pelita Brunei - Hasrat Negara
HALUAN

UCAPAN Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Kifrawi bin Dato Paduka Kifli di Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2009 pada hari Selasa, 7 April 2009 / 11 Rabiulakhir 1430 berlangsung di Bangunan Mahkamah Tinggi - Mahkamah Besar.
Undang-undang
negara sentiasa dikemaskinikan
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
KITA bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua telah membolehkan kita membaharui ikrar yang lazim kita buat. Kita berikrar untuk memberikan kerjasama dan sokongan dalam mendukung kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.
1. PENYEMAKAN DAN PEMBAHARUAN UNDANG-UNDANG
Mengenai topik undang-undang, penyemakan dan pengemaskinian Undang-undang Negara Brunei Darussalam yang berterusan adalah projek yang lazim dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara. Inilah sebabnya mengapa Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang yang disebutkan dalam persidangan Majlis Mesyuarat Negara baru-baru ini, tidak lagi aktif. Sejak tahun undang-undang yang lalu pada 18 Mac 2008, 10 lagi undang-undang telah disemak.
10 undang-undang tersebut adalah Akta Penghutang (Penggal 195); Akta Transaksi Elektronik (Penggal 196); Akta Konvensyen Tokyo (Penggal 198); Akta Distres (Penggal 199); Akta Pihak Berkuasa Sungai Liang (Penggal 200) dan Akta Bank Pembangunan Asia (Penggal 201); Akta Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Penggal 166); Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Negeri (Peraturan 1 dari Penggal 133) dan Akta Majlis Mesyuarat Negara da Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri (Saraan Ahli) (Penggal 134).
(a) LAMAN WEB PEJABAT PEGUAM NEGARA
Pada tahun ini Pejabat Peguam Negara telah mula menyediakan Undang-undang Negara Brunei Darussalam dalam laman web Pejabat ini bagi membolehkan orang ramai mendapatkan akses kepada Undang-undang Negara ini dengan mudah. Pada masa sekarang, kebanyakan naskhah undang-undang utama yang mengandungi Perintah dan ‘Akta’, kini boleh didapati secara online dan boleh dimuat turun. Laman web ini juga memasukkan maklumat lain yang berguna misalnya, senarai pindaan undang-undang, undang-undang tambahan dan senarai terbitan Warta Kerajaan Bahagian II mengikut susunan nombor bagi tahun 2006 hingga tahun 2008. Saya sukacita mempelawa para hadirin sekalian untuk melawati laman web ini (www.agc.gov.bn). Apa-apa ulasan untuk membolehkan laman web ini diperbaiki adalah sangat dialu-alukan.
Saya juga gembira mengumumkan bahawa edisi terbaru (2009) buku-buku mengenai Perlembagaan Negara Brunei Darussalam tersedia untuk dijual dan boleh didapati daripada pejabat saya.
(b) UNDANG-UNDANG BARU
Seperti kelazimnnya, saya mengambil kesempatan ini untuk menyebutkan beberapa undang-undang baru yang telah diluluskan atau diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Petuan Negara Brunei Darussalam sejak tahun undang-undang yang lalu.
(i) PERINTAH PENDAFTARAN PENJENAYAH, 2008 yang menggantikan Undang-Undang Cap Jari 1956 membuat peruntukan bagi mewujudkan satu pangkalan data DNA selain dari daftar yang sedia ada mengenai orang- orang yang telah disabitkan kesalahan dan orang-orang yang telah diperintahkan untuk dibuang negeri, diusir atau dideportasi dari Negara Brunei Darussalam. Seseorang pegawai yang diberi kuasa boleh mengambil cap jari dan gambar atau merekodkan apa-apa butiran lain mengenai mana-mana orang yang ditangkap atau telah disabitkan atas suatu kesalahan. Perintah ini seterusnya membuat peruntukan bahawa suatu contoh badan boleh diambil daripada seseorang yang telah ditangkap, disabitkan atas suatu kesalahan atau menjalani suatu tempoh hukuman penjara.
(ii) PERINTAH KASTAM (PINDAAN), 2008 menaikkan hukuman bagi kesalahan-kesalahan berkenaan dengan penyeludupan barang-barang tertentu yang dilarang iaitu minyak (yang terdiri dari gasolin, diesolin dan kerosin) dan beras, padi dan apa-apa produknya. Bagi kesalahan pertama, hukumannya adalah suatu denda tidak kurang dari BND10,000 dan tidak melebihi dari BND500,000, hukuman penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi dari 3 tahun atau kedua-duanya sekali; dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, suatu denda tidak kurang dari BND20,000 dan tidak melebihi dari BND500,000, hukuman penjara bagi suatu tempoh tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi dari 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
(iii) PERINTAH PERBANKAN ISLAM, 2008 baru yang menggantikan Akta Perbankan Islam Penggal 168, bertujuan untuk mengukuhkan sistem pengawalseliaan terhadap pengendalian perniagaan perbankan Islam. Perintah ini yang diperbaiki pada keseluruhannya dari Akta Perbankan Islam yang telah dimansuhkan, bermaksud untuk membawa perbankan Islam di Brunei selaras dengan perbankan konvensional di bawah Perintah Perbankan, 2006. Antara kehendak-kehendak bagi bank-bank Islam dalam Perintah ini adalah dana modal minimum, dana rizab, aset cair, baki tunai dan aset yang mesti disediakan, dipegang atau diselenggarakan oleh bank-bank Islam. Selain dari itu, matlamat dan pengendalian bank-bank Islam mestilah tidak bertentangan dengan undang-undang syariah. Ini akan memberikan jaminan yang lebih besar bagi pelanggan-pelanggan dan pendeposit-pendeposit bank Islam dan suatu Sistem Perbankan Islam yang lebih kukuh yang sekarang ini setanding dengan bank-bank konvensional.
(iv) Satu lagi undang-undang baru adalah PERINTAH TAKAFUL, 2008 yang diperkenalkan untuk mengawal selia perniagaan takaful di negara ini. Ini adalah suatu Perintah baru yang diperkenalkan untuk mengawal selia dan mengawal aktiviti-aktivti pengendali takaful yang telah mengendalikan perniagaan takaful di Negara Brunei Darussalam untuk beberapa ketika. Peruntukan-peruntukan Perintah ini sebahagian besarnya selaras dengan Perintah Insurans, 2006 dan bertujuan untuk membawa perniagaan takaful, sekali lagi, standing dengan insurans konvensional, selain dari itu pengendali-pengendali takaful mestilah menjalankan perniagaan takaful mereka menurut undang-undang syariah. Pengendali-pengendali takaful di Negara Brunei Darussalam mengadakan perniagaan takaful am dan takaful keluarga. Di bawah Perintah ini hanya syarikat-syarikat yang mempunyai modal yang mencukupi sahaja akan dibenarkan untuk didaftarkan, dan lagi syarikat-syarikat takaful perlulah memenuhi kehendak-kehendak kewangan yang ketat seperti membuat suatu deposit dengan Pihak Berkuasa dalam suatu jumlah wang yang minimum dan dikehendakli mempunyai suatu modal saham berbayar minimum yang ditetapkan. Ini sangat penting untuk memastikan supaya syarikat-syarikat takaful mempunyai aset dan kecairan yang mencukupi untuk membayar tuntutan-tuntutan insurans yang dibuat oleh pihak menuntut dan terutamanya tuntutan-tuntutan kecederaan diri yang semakin bertambah.
Kita telah melihat bilangan undang-undang di negara ini bukan saja bertambah dengan nyata sejak beberapa tahun ini tetapi juga undang-undang itu telah dikemaskinikan dengan kerap supaya selaras dengan perkembangan masa. Pada amnya, agensi-agensi penguatkuasaan kita telah menguatkuasakan undang-undang berkenaan dengan imigresen, kastam, rasuah, dadah dan lalu lintas jalan raya. Saya memuji Unit Kawalan Tembakau Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan sokongan Pasukan Polis Diraja Brunei kerana menjalankan serbuan ke atas beberapa buah restoran untuk menghentikan mereka yang tidak mematuhi Undang-undang Melarang Merokok kita.
Menggubal undang-undang baru biasanya tidak susah. Kemampuan atau keupayaan untuk melaksanakan undang-undang baru itu selalunya menjadi isu yang perlu diselesaikan sebaik-baiknya sebelum membuat undang-undang. Kita tidak mahu undang-undang baru sebagai hanya kata-kata kosong sahaja dalam buku-buku statut.
Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang mempunyai jumlah penduduk yang kecil mempunyai batasan-batasan tertentu. Seperti kelazimannya, kementerian - kementerian atau jabatan-jabatan berkaitan yang perlu melaksanakan undang-undang baru mestiklah bersedia dengan tenaga manusia yang terlatih dan infrastruktur yang diperlukan.
2. PENGURUSAN BENCANA
Pada awal tahun ini kita telah melihat skala kerosakan yang tidak pernah berlaku dahulu kepada harta benda dan landskap akibat hujan lebat di negara ini. Sejak penubuhan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan di bawah Perintah Pengurusan Bencana, 2005, pusat tersebut telah bekerja keras bersama agensi-agensi kerajaan yang lain untuk memberi bantuan yang diperlukan siang malam kepada mereka yang terjejas. Dengan perancangan yang teratur dan strategik yang disebut oleh Perintah Pengurusan Bencana, 2005 sebagai ‘Pelan Pengurusan Bencana’, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan telah berupaya melaksanakan pelan tindakan yang memastikan kesediaan dan tindak balas yang cepat bagi menangani bencana.
3. KEGANASAN RUMAH TANGGA
Adalah baik untuk sentiasa diingati bahawa sistem keadilan jenayah yang berkesan mestilah mendapat penghormatan dan sokongan masyarakat. Satu komponen penting untuk mendapatkan sokongan tersebut adalah bagaimana mangsa-mangsa jenayah itu diperlakukan. Dalam banyak kes, satu-satunya hubungan dengan sistem keadilan jenayah yang dipunyai oleh anggota masyarakat malangnya adalah apabila dia menjadi mangsa jenayah. Oleh yang demikian adalah penting bahawa langkah-langkah yang diambil itu mestilah diketahui sebagai mencukupi sama ada dalam bentuk undang-undang atau langkah-langkah pentadbiran untuk melindungi dan memenuhi keperluan mangsa. Dalam hal ini saya ingin menekankan usaha pejabat saya dan kerajaan dalam memberi bantuan di bawah undang-undang kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga.
Perangkaan yang diberikan oleh Unit Keganasan Rumahtangga Pasukan Polis Diraja Brunei menunjukkan bilangan kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan yang membabitkan pasangan suami isteri dan kanak-kanak adalah pada tahun 2006 - 130 kes; 2007 - 160 kes dan 2008 - 150 kes. Di samping itu, juga terdapat beberapa orang suami yang melaporkan telah didera oleh isteri-isteri mereka tetapi bilangannya sangatlah kecil.
Walaupun tidak ada undang-undang tertentu pada masa ini yang berhubungan dengan keganasan rumah tangga, tingkah laku lazimnya termasuk di bawah takrifan biasa keganasan rumah tangga seperti menyebabkan cedera, serangan atau menggunakan kekerasan jenayah adalah kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Hukuman Jenayah.
Pejabat Peguam Negara memandang keganasan rumah tangga sebagai suatu perkara yang serius. Dalam hal ini, saya telah mengarahkan bahawa jika sesuatu kesalahan jenayah telah dilakukan terhadap mangsa, perkara itu hendaklah dibawa ke mahkamah walaupun mangsa mengemukakan surat penarikan balik seperti yang berlaku dalam kebanyakan kes. Jika mangsa tidak mahu meneruskan perkara itu lagi, maka mangsa boleh memilih untuk mengkompaun kes itu dengan persetujuan mahkamah.
Saya juga gembira Majistret-majistret juga menyifatkan perkara tersebut sama seriusnya dan penyelesaian biasanya dibenarkan tertakluk kepada syarat bahawa defendan tidak akan melakukan perbuatan penderaan itu lagi. Membawa kes-kes tersebut ke mahkamah tidak diragukan lagi memakan masa yang lama dan satu bebanan kepada sumber-sumber pihak pendakwa dan Jabatan Kehakiman. Walau bagaimanapun saya rasa dengan membawa pendera itu ke mahkamah daripada diberikan amaran oleh Polis, dia akan menyedari betapa seriusnya salah lakunya terhadap suami atau isteri dan dengan harapan dia akan dihalang dari melakukan penderaan pada masa hadapan. Saya mengambil maklum pendekatan ini nampaknya menghalang kebanyakan pesalah dari hadir kemudiannya di mahkamah.
Walau bagaimanapun, adalah diakui bahawa membawa sesuatu kes itu ke mahkamah bukanlah jawapannya dalam setiap kes. Jika kes itu diteruskan untuk dibicarakan, mangsa terpaksa menghadapi trauma memberi keterangan dalam mahkamah tanpa sebarang jaminan supaya penderanya disabitkan kesalahan. Penderaan mungkin masih terus berlaku malahan lebih buruk lagi jika pendera itu dituduh sama ada atau tidak sesuatu sabitan itu didapatkan, kerana dalam banyak kes, mangsa dan pendera masih tinggal bersama. Lagi pula bukanlah bagi kepentingan si mangsa untuk meneruskan kes itu. Pendera biasanya adalah pencari nafkah keluarga dan mangsa dan keluarga tidak mempunyai sumber pendapatan lain. Apa yang jelas diperlukan dan pada masa ini masih belum ada mekanisme untuk memastikan supaya mangsa dilindungi dari penderaan seterusnya sambil tidak memandang ringan perkara tersebut kecuali membawa suatu pendakwaan jenayah.
Selepas berunding dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pejabat Peguam Negara sedang menyediakan peruntukan-peruntukan baru yang khususnya berhubungan dengan keganasan rumah tangga untuk melengkapi undang-undang sedia ada.
Saya berharap usaha ini akan berjaya untuk melegakan sedikit kebimbangan yang diluahkan oleh orang ramai dan memastikan supaya anggota masyarakat kita yang mudah terdedah pada bahaya dilindungi secukupnya.
4. PIAGAM ASEAN DAN UNDANG-UNDANG HAK ASASI MANUSIA
Piagam ASEAN mula berkuat kuasa papada 15 Disember 2008. Ini menandakan satu era baru bagi ASEAN kerana ia mengubah dari satu kumpulan negara-negara berdaulat kepada penubuhan sebuah organisasi antara kerajaan dengan hak dan obligasi undang-undang di bawah undang-undang antarabangsa.
Piagam ASEAN mencerminkan komitmen negara-negara anggota untuk mengembangkan dan memperkukuh ASEAN bagi membolehkannya menghadapi cabaran persekitaran ekonomi dan sosial semasa, khususnya, komitmen ASEAN untuk merealisasikan Komuniti ASEAN menjelang 2015.
ASEAN kini lebih berasaskan kepada aturan-aturan. Piagam ASEAN telah membuat peruntukan bagi mekanisme untuk memastikan pematuhan melalui peruntukan-peruntukan pelaksanaan dan pemantauan. Peruntukan-peruntukan ini termasuk mekanisme penyelesaian pertikaian yang berkaitan dengan pertikaian tentang tafsiran atau pengenaan Piagam tersebut dan suratcara ASEAN yang lain.
Perkara 1 Piagam tersebut membuat peruntukan bagi tujuan-tujuan ASEAN. Antaranya adalah untuk memelihara hak asasi. Perkara 1 Fasa 7 Piagam tersebut membuat peruntukan “Untuk memperkukuh demokrasi, meningkatkan pemerintahan yang baik dan kedaulatan undang-undang dan untuk menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia dan kebebasan asasi, dengan mengambil kira hak dan tanggungjawab Negara-Negara Anggota ASEAN”.
Dalam hubungan ini, perkembangan yang paling penting Piagam tersebut adalah penubuhan Badan Hak Asasi Manusia ASEAN. Penubuhannya menandakan komitmen ASEAN kepada isu-isu yang berkaitan dengan penggalakan dan perlindungan hak asasi manusia.
Perlembagaan Negara Brunei Darussalam membuat peruntukan bahawa agama rasmi adalah agama Islam, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan sempurna. Menghormati hak asasi manusia adalah salah satu tujuan asasi Islam. Undang-undang kita sememangnya menjamin hak asasi manusia seperti hak untuk hidup, yang dianggap tidak boleh dicabuli di bawah Undang-undang Islam, hak untuk memiliki harta, hak mendapat keadilan dan perbicaraan yang adil dan paling mustahak sekali melindungi hak wanita dan kanak-kanak.
Terdapat undang-undang sedia ada yang membuat peruntukan bagi perlindungan hak asasi manusia pada amnya. Undang-undang asasi sedia ada yang membuat peruntukan bagi perlindungan hak asasi manusia pada amnya termasuklah yang berikut: -
- Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22)
- Kanun Peraturan Jenayah (Penggal 7)
- Perintah Kanak-Kanak
- Akta Perlindungan Wanita dan Gadis
- Perintah Undang-Undang Keluarga Islam
- Akta Buruh
5. PERKHIDMATAN UNDANG-UNDANG
Pejabat Peguam Negara telah berjaya menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Pegawai Undang-Undang Kanan ASEAN Ke-12 (ASLOM) dan Mesyuarat Menteri Undang-Undang ASEAN Ke-7 (ALAWMM) pada bulan Oktober 2008. Dalam mesyuarat ASLOM, Negara Brunei Darussalam telah menyampaikan satu kertas bertajuk 'Liberalisasi Progresif Perdagangan Dalam Perkhidmatan Undang-Undang Dalam ASEAN'. Kertas tersebut membincangkan rintangan yang ketara terhadap perlunya sektor perkhidmatan undang-undang yang liberal memandangkan perkembangan terbaru dalam ASEAN khususnya Rangka Tindakan Ekonomi ASEAN. Mesyuarat Pegawai Undang-Undang Kanan ASEAN juga bersetuju rundingan lanjut diperlukan dalam perkara ini dan Menteri Undang-undang ASEAN bersetuju supaya Forum Undang-undang ASEAN dapat diadakan untuk membincangkan topik yang sangat penting ini.
Apabila Pejabat Peguam Negara terlibat dalam memberi nasihat mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan perdagangan antarabangsa sama ada di dalam ASEAN atau di luar ASEAN, liberalisasi perkhidmatan undang-undang sentiasa menjadi isu yang perlu diberikan perhatian. Memandangkan ASEAN sedang berusaha ke arah pasaran tunggal dengan aliran bebas perdagangan barangan, perkhidmatan dan pelaburan melintasi wilayah negara-negara anggota, ini akan mengakibatkan banyak transaksi lintas sempadan yang membabitkan penyedia-penyedia perkhidmatan antarabangsa dan multinasional dan klien-klien. Nasihat undang-undang mengenai berbagai isu undang-undang mungkin timbul, yang termasuk nasihat undang-undang di bawah bidang kuasa yang berlainan, bergantung kepada undang-undang mana yang akan dikenakan dalam hal tertentu itu.
Oleh sebab itu, dalam usaha membantu ASEAN untuk mencapai matlamatnya hendak menubuhkan Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang 2015, kita sebenarnya mungkin perlu mula menimbangkan kemungkinan untuk meliberalisasikan sektor perkhidmatan undang-undang juga.
Ini akan melibatkan keperluan untuk meneliti kemungkinan untuk membuat komitmen undang-undang bagi membenarkan peguam-peguam luar negeri untuk menjalankan amalan undang-undang di Negara Brunei Darussalam. Kita juga perlu memastikan peguam-peguam tempatan kita juga dibenarkan menjalankan amalan di dalam bidang kuasa lain. Setakat ini, komitmen tersebut tidak diperuntukkan dalam perjanjian-perjanjian perdagangan bebas yang telah dibuat.
Pejabat Peguam Negara sukacita melaporkan pada bulan Februari tahun ini kami telah mengadakan dialog di antara semua mereka yang berkepentingan iaitu, Persatuan Undang-Undang, Jabatan Kehakiman (yang bertanggungjawab bagi menerima masuk pengamal undang-undang di Brunei), Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdagangan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan kami sekarang ini sedang meneliti secara kolektif modality apa-apa komitmen yang mungkin perlu dibuat, dengan mengingat obligasi kita di bawah Piagam ASEAN dan juga tarikh akhir bagi Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang 2015. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Undang-Undang, Jabatan Kehakiman, Jabatan Kehakiman Negara dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan atas sumbangan dan usaha mereka mengenainya dan kami berharap akan mempunyai hubungan kerja yang progresif dalam perkara ini.
PENUTUP
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai saya daripada pelbagai bahagian di dalam pejabat saya iaitu Keadilan Jenayah, Sivil, Hal Ehwal Antarabangsa, Penggubalan Undang-Undang dan Pejabat Pendaftaran kerana usaha keras mereka.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kementerian dan jabatan terutama sekali Jabatan Perdana Menteri kerana semua sokongan, bantuan dan kerjasama mereka.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pesuruhjaya Polis dan pegawai-pegawainya serta agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang lain iaitu Biro Kawalan Narkotik, Biro Mencegah Rasuah, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imigresen, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (jabatan yang mengendalikan Pusat Pengurusan Bencana) kerana bantuan dan kerjasama mereka dan usaha berterusan mereka dalam mengekalkan dan memelihara undang-undang dan ketenteraman.
Yang Amat Arif, saya ingin mengakhiri ucapan saya ini. Saya berharap hubungan baik di antara pejabat saya dan Jabatan Kehakiman serta peguam-peguam persendirian dan Persatuan Undang-Undang akan berterusan pada tahun-tahun akan datang. Kita semua bertanggungjawab untuk mendukung keutuhan Sistem Undang-Undang kita.
Akhir sekali, saya ingin mengucapkan kepada Yang Amat Arif dan semua orang yang hadir pada pagi ini semoga tahun ini membawa kemakmuran dan kejayaan.
Kembali ke muka utama
|