|

Rabu , 29 April 2009
4 Jamadilawal 1430
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
KE ARAH MENCAPAI SARA
DIRI PENGALUARAN BERAS
NEGARA Brunei Darussalam telah menetapkan sasaran meningkatkan pengeluaran beras negara daripada 3.12 peratus sara diri atau bersamaan 982.9 tan metrik tahun 2007 kepada 20 peratus sara diri kira-kira 6,000 tan metrik setahun menjelang 2010 melalui perancangan jangka pendek dan seterusnya mencapai pengeluaran ke tahap 60 peratus atau 18,000 tan metrik setahun menjelang 2015. Hasrat ini selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istiadat Mengadap dan Mengurnikan Bintang-bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan baginda ke-62 tahun yang menekankan amatlah wajar bagi negara ini mempunyai pelan strategi dan dasar pertanian negara bagi menjamin sekuriti makanan negara sebagai satu strategi utama.
Sebagai langkah awal ke hadapan mencapai sara diri pengeluaran beras negara, penanaman padi berskala besar telah dlancarkan pada 27 April 2009 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Apa yang menarik sebagai seorang pemimpin yang penuh prihatin nasib bangsa dan negara, baginda sendiri melakar sejarah penting negara dengan turun ke sawah di tengah-tengah tanah ‘licak’ sehingga ke paras lutut dan menyingsing lengan menanam padi secara tradisional bersama-sama dengan anakanda-anakanda baginda. Senario yang sungguh mengagumkan kepada kita semua kerana mempunyai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.
Langkah penanaman padi secara besar-besaran yang dikepalai oleh baginda sendiri menjadi ‘milestone’ dalam usaha kitani mencapai sara diri kerana sudah sampai masanya negara menghasilkan beras sendiri dari terus mengimport memandangkan kos pengimportan sangat tinggi dan meningkat, ditambah lagi kadar permintaan makanan asas ini akan berlipat ganda dari 30,000 tan metrik setahun pada 2007 kepada sebanyak 60,000 tan metrik dalam jangka masa 35 tahun iaitu pada 2042. Begitu jua senario masa kini yang memperlihatkan dunia berdepan krisis makanan global termasuk kekurangan hasil beras dunia. Realiti ini perlu kita terima hakikatnya dan merasa ‘gundah-gulana’ di mana kita tidak lagi mampu untuk terus bergantung kepada ’ihsan orang luar’ mendapatkan beras walaupun kita berupaya serta mampu menyediakan peruntukan itu. Menoleh pandang semua ini, rasanya amatlah wajar, negara kita berbuat sesuatu bagi keselamatan makanan kita di masa mendatang kerana duit yang berjuta tidak membawa makna andainya kita gagal menghasilkan industri pertanian yang menjadi makanan utama penduduk negara ini. Kita juga amat yakin dengan pengisytiharan beras tempatan yang diberi nama ‘Beras Laila’ akan menjadikan kita lebih beria-ia membangunkan industri beras negara dengan penglibatan semua lapisan rakyat dan penduduk.
Jika kitani imbas kembali kegemilangan sejarah lampau tahun 1925 hampir 75 tahun yang lalu, negara berjaya menghasilkan 6,000 tan metrik berbanding ketika ini hanya lebih 900 tan metrik iaitu pengurangan yang lebih ketara. Kita tidak akan mempersoalkan kenapa situasi sedemikian wujud, cuma yang penting biarlah kitani mengorak langkah baru dan bersedia berazam menyingsing? lengan dalam sama-sama menanai hasrat pemimpin kita Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam merealisasikan pengeluaran beras ke tahap sara diri. Biarlah kitani semarakkan budaya menanam padi secara besar-besaran dengan melibatkan tenaga-tenaga muda belia kitani yang menjangkau tahap pengangguran lebih 6,000 orang. Kitani percaya kalau diberikan peluang, belia sanggup turun ke sawah apatah lagi penanaman padi ketika ini menggunakan tekonologi canggih yang tidak memerlukan tenaga ramai cuma apa yang perlu diberi insentif yang berpatutan.
Kerajaan dalam merealisasikan cita-cita murni itu akan melaksanakan program jangka pendek yang bermula 2009 hingga 2010 yang meliputi empat pendekatan utama iaitu penubuhan kawasan baru yang berpotensi; peningkatan infrastruktur ladang; penukaran biji benih yang ’varieti’ padi berhasil tinggi (HYV) dan memberi kursus kepada kakitangan Jabatan Pertanian dan pengusaha terlibat. Sementara perlaksanaan jangka sederhana dari 2011 - 2015 pula berkisar kepada tiga pendekatan utama yang merangkumi peningkatan tahap infrastruktur, penanaman pada HYV dan meneruskan usaha peningkatan teknologi dan keupayaan sumber.
Apa pun alasan, sebenarnya Brunei berkemampuan menghasilkan beras seperti yang dirancang apatah lagi dengan penglibatan secara langsung oleh raja kita dan usaha berterusan kerajaan melalui inisiatif Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dan Jabatan Pertanian. Cuma yang penting biarlan kitani semua rakyat jelata berpimpin tangan bersama menyahut hasrat kerajaan ke arah menyara sara diri, kerana dengan adanya komitmen jitu semua pihak apa-apa jua pekerjaan akan menghasilkan kejayaan yang gemilang dalam mengisi perut 300 ribu penduduk setiap hari. Tidak ada gunanya kitani mewah dengan wang ringgit, tetapi miskin dalam penghasilan pertanian. Sikap semata-mata bergantung kepada wang ringgit mengisi perut sudah tidak relevan lagi dengan terjadinya krisis makanan dunia dewasa ini. Pastikan bahawa kita akan berjaya juga menyara diri sendiri dengan hasil kita sendiri.
Kembali ke muka utama
|