BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 April. - Karnival Kerjaya yang bermula hari ini merupakan platform dan salah satu inisiatif pihak kerajaan bagi menyatukan pencari-pencari kerja ke arah menangani masalah pengangguran di negara ini.
Dalam usaha meningkatkan kemahiran pencari kerja tempatan, beberapa kursus di bawah Program Khas Graduan dan Lepasan Sekolah Mencari Pekerjaan dilaksanakan kali pertama di bulan Mac dan April tahun ini.
Pelbagai kursus yang dikendalikan oleh Jabatan Buruh seperti Kursus Motivasi, Kursus Jurujual dan Kursus Juruwang serta beberapa kursus lagi akan dijalankan dan dibentuk mengikut kehendak pasaran bagi memastikan peningkatan ‘employability’ dan ‘marketability’ anak tempatan bagi memberi nilai tambah kepada mereka dalam merebut peluang-peluang pekerjaan di negara ini.
Semasa berkunjung ke Karnival Kerjaya Kali Ke-3 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini, wakil PELITA BRUNEI sempat membuat pendekatan beberapa peserta yang mengikuti Seminar Kerjaya di karnival tersebut.
Awang Safwan bin Adi, yang berasal dari Kampong Rimba melahirkan rasa gembira dan bertuah kerana dapat menyertai seminar di karnival ini buat pertama kali dan ianya katanya banyak memberikan pengetahuan dan bimbingan dalam mencari pekerjaan.
“Dengan adanya bimbingan dari penceramah-penceramah yang berkaliber dari dalam dan luar negeri akan dapat diaplikasikan dalam mencari sebarang pekerjaan,” tambah Awang Safwan lagi.
Pada Karnival Kerjaya tahun ini, satu komponen tambahan diperkenalkan iaitu Klinik Kerjaya yang melibatkan beberapa institusi serta individu untuk turut serta dan menyumbang tenaga, kemahiran dan tenaga untuk memberikan bimbingan dan kaunseling tentang isu atau perkara yang berkaitan dengan kerjaya bagi pencari-pencari kerja tempatan.
Dayang Nurkamalia bin Abdul Jalil dari Kampong Rimba pula apabila ditemui menyeru para pencari kerja supaya akan dapat hadir bersama-sama ke karnival ini dan tidak terlalu memilih pekerjaan.
“Dengan adanya Karnival Kerjaya ini akan dapat membuka ruang dan memudahkan lagi anak-anak tempatan untuk mengetahui sebarang pekerjaan yang ditawarkan mengikut kelulusan masing-masing,” jelas Dayang Nurkamalia.
Sementara itu, Awang Mohd. Hilmi bin Abdul Hamid dari Kampong Sengkurong juga bersyukur kerana dengan adanya Karnival Kerjaya ini akan memberikannya peluang untuk mencuba memohon sebarang kekosongan yang ditawarkan oleh pihak majikan swasta dan agensi-agensi kerajaan yang ditempatkan dalam satu bumbung, di samping dapat melihat secara lebih dekat lagi pameran-pameran di karnival tersebut.
(Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)
Kembali ke muka utama