|
MINDA PEMBACA
MINDA Pembaca yang terpilih minggu ini daripada tajuk yang telah kami kemukakan iaitu 'Ke Arah Penjimatan Tenaga Elektrik'. Mereka akan menerima hadiah sebanyak BND40.00. Pendapat yang berjaya itu adalah seperti berikut: :
Bersama menyahut seruan kerajaan
MENGIKUT statistik semasa, Negara Brunei Darussalam menunjukkan antara negara yang paling banyak menggunakan tenaga elektrik, selain daripada Jepun dan Republik Singapura. Pada tahun 2006 sahaja negara menggunakan kira-kira 6,934 kwh per kapita berbanding Jepun kira-kira 8,076 kwh per kapita, Republik Singapura 8,171 kwh dan Malaysia 3,166 kwh. Ini menunjukkan jika dibandingkan dengan jumlah penduduk 300,000 orang adalah kurang munasabah melihat kepada penggunaan tenaga yang begitu tinggi. Walhal kalau kita lihat Jepun dan Republik Singapura adalah merupakan negara industri dan tidak menghairankan negara-negara berkenaan menggunakan tenaga yang lebih bagi menjana pertumbuhan industri negara-negara berkenaan. Berbanding kita kebanyakan penggunaan tenaga adalah lebih merupakan penggunaan domestik iaitu di rumah-rumah.
Justeru itu, kerajaan dalam usaha untuk menjimatkan penggunaan tenaga telah mengisytiharkan 24 Mei setiap tahun sebagai Hari Tenaga. Tahun ini Hari Tenaga diraikan dengan tema 'Jimatkan Tenaga, Tanggungjawab Kitani'. Ianya ke arah menyedarkan setiap pengguna di negara ini betapa pentingnya tenaga dalam kehidupan seharian, di samping untuk sama-sama mempraktikkan kecekapan dan penjimatan dalam penggunaan tenaga. Sudah sampai masanya bagi rakyat dan penduduk di negara ini bukan sahaja pandai berjimat malahan penuh bijaksana serta penuh berhemat dalam menggunakan tenaga bukan membazir tenaga elektrik sewenang-wenangnya setiap hari. Masa untuk membazir tenaga elektrik sudah berlalu, walaupun negara kita adalah yang terendah mengenakan caj bil elektrik. Tetapi kita perlu ingat 88 peratus penjanaan elektrik adalah menggunakan minyak dan gas iaitu sumber asli yang sangat berharga.
Penggunaan tenaga elektrik di jabatan-jabatan kerajaan semakin tinggi dan meningkat. Pada tahun 2008 sahaja, tuntutan bil elektrik di sektor berkenaan berjumlah BND68 juta. Satu angka penggunaan yang sangat membazir, walhal jika kita dapat mengurangkan ke tahap sepuluh peratus setahun bermakna kerajaan dapat menjimatkan hampir BND6.8 juta. Penjimatan yang sangat bernilai dan dapat digunakan bagi projek pembangunan yang lebih bermanfaat untuk semua. Bagi merealisasikannya, perubahan sikap semua pihak dalam agensi kerajaan itu sendiri adalah perlu. Sudah sampai masanya bagi semua pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam perlu lebih responsif dengan mengamalkan budaya ambil peduli dan berjimat dalam penggunaan tenaga setiap hari semasa menjalankan tugas seharian. Dengan mematikan semua suis lampu apabila balik makan tengah hari dan semasa hendak balik dari pejabat pada sebelah petangnya adalah langkah yang bijak dan bertanggungjawab. Begitu juga dengan mematikan mesin komputer dan alat penghawa dingin di pejabat jika tidak digunakan.
Biarlah warga Perkhidmatan Awam itu sendiri yang menjadi contoh (role model) yang baik kepada masyarakat di negara ini. Tidak ada alasan mengapa kita tidak dapat merubah sikap dalam usaha menjimatkan tenaga elektrik di pejabat-pejabat, sedangkan di rumah kitani sendiri kita dapat berbuat sedemikian. Kita perlu menyedari akan tanggungjawab sebagai seorang kakitangan awam dalam sama-sama membantu kerajaan dalam menjimatkan penggunaan tenaga elektrik setiap tahun. Jika ini dapat kita tangani dengan baik tidak ada sebab mengapa kita tidak dapat menjimatkan sepuluh peratus seperti yang diidamkan.
Sememangnya untuk mengubah pemikiran (mindset) semua pengguna tenaga elektrik bukan semudah yang dirancang. Usaha hendaklah diteruskan dan dipertingkatkan bagi mewujudkan budaya dalam penjimatan tenaga elektrik ini bagi sama-sama menyahut dan mendukung hasrat kerajaan. Janganlah kita bersikap leka dan membazir, tetapi sebaliknya berwaspada dan jimat selalu. Kerana itu amalan berjimat cermat dalam penggunaan tenaga adalah langkah yang terbaik lagi bijaksana yang mesti dilaksanakan oleh semua pihak tidak ada yang terkecuali iaitu dari agensi kerajaan, swasta dan sampailah kepada orang perseorangan.
Dayang Nur Afiqah Hazirah binti
Mohamad Zaidi,
No. 4, Simpang 163, Jalan Kota Batu,
Kampung Mentiri, BU1929.
No. k/p: 01-053590.
Berganding bahu menjimatkan tenaga
TENAGA elektrik merupakan satu sumber yang penting dalam kehidupan manusia pada masa kini. Jika kita imbas pada masa lampau sebelum adanya tenaga elektrik, manusia menggunakan alternatif lain bagi menerangkan suasana keadaan tersebut seperti penggunaan lilin, lampu pelita dan sebagainya. Apabila dunia semakin maju dan mengalami proses modenisasi, penggunaan tenaga elektrik sangat diperlukan dalam menjalani kehidupan seharian. Walaupun Negara Brunei Darussalam kaya dengan hasil minyak dan gas, ini tidak bermakna kita menggunakan tenaga elektrik yang berlebihan sehingga menjejaskan sistem ekonomi negara.
Penggunaan elektrik yang berlebihan bukanlah satu fenomena baru yang di perkatakan. Sebenarnya perkara ini sudah lama diperkatakan namun, ia kurang diambil perhatian oleh orang ramai walaupun agensi kerajaan sudah memainkan peranan dan melakukan usaha yang sepatutnya. Menyedari pentingnya penjimatan tenaga elektrik usaha dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik denga usaha sama media elektronik dan media cetak kerajaan serta agensi kerajaan yang lain ke arah penjimatan tenaga elektrik seperti membuat pengiklanan melalui media massa, poster-poster, risalah-risalah dan mengadakan jerayawara mengenai penjimatan tenaga elektrik.
Penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan serba sedikit boleh menjejaskan pentadbiran serta ekonomi negara. Hal ini perlu diambil perhatian yang serius sejajar dengan visi negara menuju Wawasan Brunei 2035. Ke arah penjimatan tenaga elektrik, peranan bukan saja kepada agensi kerajaan sahaja untuk membendung masalah ini tetapi perkara ini perlu dipikul bersama oleh orang ramai akan betapa pentingnya penjimatan penggunaan tenaga elektrik. Orang ramai perlu mengambil langkah yang sepatutnya dalam merealisasikan penjimatan tenaga elektrik. Gunakanlah tenaga elektrik yang sepatutnya dan tidak perlu kita membuka banyak bahan elektrik jika kita memerlukan.
Selain itu institusi pendidikan juga memainkan peranan yang penting dalam penjimatan tenaga elektrik. Walaupun penggunaan tenaga elektrik pada institusi pendidikan ini percuma, ini tidak bermakna penggunaan elektrik itu berlarutan sehingga 24 jam setiap hari. Gunakanlah ketika proses pembelajaran dan pengajaran bermula bagi memudahkan proses pembelajaran untuk pelajar. Apabila tamat pembelajaran, segala tenaga elektrik yang digunakan perlulah dimatikan dan ini serba sedikit membantu ke arah penjimatan tenaga elektrik. Para guru memainkan peranan bagi menasihati para pelajar supaya mereka peka tentang betapa pentingnya penjimatan tenaga elektrik.
Jika dilihat dengan negara luar, betapa sukarnya mereka mendapat tenaga elektrik sehingga penggunaan tenaga elektrik menjadi satu isu politik dan propaganda bagi sesebuah negara tersebut. Perbalahan selalu berlaku dalam menyelesaikan masalah ini sehingga satu pihak menemui jalan buntu. Sebagai rakyat Negara Brunei Darussalam kita perlu bersyukur dengan kemudahan tenaga elektrik yang disediakan oleh pihak kerajaan, oleh itu adalah diharapkan agar setiap rakyat dan penduduk di negara ini perlu memainkan peranan masing-masing ke arah penjimatan tenaga elektrik.
Awang Ibnu@Haliful bin Hashim,
No. 9, Simpang 7, Jalan 88,
Kampung Lambak Kanan, BC2515.
No. k/p : 00-300759.
Ringankan bebanan
kerajaan membayar subsidi
SEBAGAIsebuah negara yang dilimpahkan kurnia sumber alam minyak dan gas, Negara Brunei Darussalam telah dapat menikmati tenaga elektrik yang relatif murah. Ini bererti keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini dapat menikmatinya dengan kos yang begitu rendah sama ada mereka berada di bandar atau di luar bandar. Oleh kerana begitu murah dan mudah mendapatkannya, maka timbullah kelekaan sehingga kita lupa bahawa elektrik ini adalah satu sumber yang amat bernilai dan berharga.
Tidak dinafikan kos penggunaan elektrik di negara kita adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kos penggunaan di negara-negara lain. Apatah lagi di negara-negara yang tidak mempunyai hasil minyak dan bergantung kepada import dari luar.
Kempen penjimatan penggunaan tenaga elektrik telah diadakan di peringkat daerah dan negara. Usaha seperti ini memanglah baik bagi menimbulkan kesedaran bahawa bahan bakar iaitu minyak dan gas yang digunakan untuk menjana elektrik iu tidak akan bertahan buat selama-lamanya; satu hari kelak ia akan pupus. Berjimat menggunakan elektrik bererti kita akan dapat memanjangkan hayat sumber tenaga alam kitani. Adalah perlu disedari bahawa dari segi per kapita, Negara Brunei Darussalam belum mencapai ke tahap sebagai sebuah negara industri. Ini bererti kebanyakan pemakaian tenaga elektrik itu adalah bagi penggunaan di rumah-rumah persendirian yang mana besar kemungkinan tidak menjana ekonomi negara malah membazirkan tenaga yang amat berharga.
Sikap berjimat cermat nescaya meringankan bebanan kerajaan yang membayar subsidi kepada kos penjanaan kuasa elektrik. Penjimatan juga akan mengurangkan kos pelaburan pada memelihara alat-alat penjana kuasa elektrik dan kos tenaga manusia yang mengendalikannya.
Memandangkan tenaga elektrik merupkan satu perkhidmatan penting dan strategik kepada negara, ada baiknya kempen berjimat cermat ini diadakan secara berterusan dengan pelbagai tema dan pendekatan supaya ia tidak membosankan tetapi benar-benar menunjukkan kesungguhan. Apa yang harus ditekankan bahawa sikap berjimat cermat ini bukannya berkala atau bermusim ataupun hanya menunggu kempen diadakan. Tetapi ianya hendaklah dijadikan tatacara kehidupan setiap waktu dan pada setiap tempat selamanya.
Dayang Amal Sohani binti Johari,
No. 18, Simpang 63,
Jalan Beribi, Kampung Beribi, Gadong, BE1118.
No. k/p : 00-298777.
TAJUK-TAJUK MINDA PEMBACA AKAN DATANG
1. 'E-Kerajaan Memudahkan Urusan Orang Ramai'. Tarikh tutup : 20 Julai 2009.
2. 'Hari Keputeraan Lambang Perpaduan dan Kerjasama'. Tarikh tutup : 27 Julai 2009.
3. 'Bersama Rakyat Manifestasi Yang Meneguhkan Institusi Beraja'. Tarikh tutup : 3 Ogos 2009.
Pendapat awda hendaklah ditaip jarak langkau dua baris dan panjang pendapat awda mestilah antara 200 hingga 300 patah perkataan. Nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat lengkap dan nombor telefon jika ada hendaklah disertakan dan hendaklah dihantar kepada :
Sidang Penyunting Minda Pembaca,
Unit Pelita Brunei,
Lapangan Terbang Lama, Berakas,
Bandar Seri Begawan, BB 3510,
Negara Brunei Darussalam,
jaafar.ibrahim @ information.gov.bn.
e-mel : pelita@ brunet.bn
Kembali ke muka utama
|