Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Akibat mengabaikan zikir

SETIAP perkara yang dilakukan setentunya ada imbalan atau kesan yang akan berlaku, sama ada kesannya baik ataupun buruk. Sebagai contoh orang yang rajin menimba ilmu pasti akan memperolehi kejayaan dalam kehidupannya. Sebaliknya jika malas, kegagalan akan sentiasa mendampinginya. Begitulah halnya dengan berzikir. Berzikir akan memberikan banyak kesan yang baik terhadap individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Akan tetapi, dalam arus kecanggihan teknologi masa kini, sebahagian besar manusia mula melupakan peranan mereka sebagai hamba Allah Subhanahu Wata’ala. Mereka menganggap bahawa kehidupan mereka ini tiada penghujungnya dan sebaliknya mereka terus lupa dari mengingati Allah Subhanahu Wata’ala yang telah memberikan mereka kehidupan yang selesa selama ini. Padahal Allah Subhanahu Wata’ala telah mengingatkan hamba-Nya untuk sentiasa berzikir mengingati-Nya. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al Ahzab ayat 41 tafsirnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan sebanyak-banyaknya.”

Manusia hari ini sibuk dengan kegiatan masing-masing demi mengejar kesenangan hidup dan harta duniawi sehingga lupa bahawa setiap kemewahan dan kesenangan yang dinikmati sekarang hanyalah berupa sementara dan boleh ditarik balik bila-bila masa sahaja dengan kehendakNya.

Kita lihat sekarang, pelbagai musibah yang telah diturunkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala seperti banjir, kemarau, angin kencang, hujan lebat, wabak selesema dan banyak lagi yang melanda di negara-negara lain dan tidak terkecuali di negara kita. Sebenarnya semua merupakan peringatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala kepada hamba-hamba-Nya terutama Islam yang lalai dan mengingati Allah sehingga terabai kewajipan untuk beribadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Namun begitu manusia masih juga tidak mengambil iktibar musibah yang terjadi. Akibatnya Allah turunkan musibah yang lebih hebat lagi. Kita pasti ingat satu peristiwa malapetaka Tsunami yang pernah melanda di beberapa buah negara Asia sebelum ini. Kenapa Allah datangkan musibah yang sederhana rupa? Sudah tentunya untuk memperingatkan hamba-hamba-Nya yang terlalu leka dengan kesenangan dan hiburan dunia sehingga jauh dari mengingati Allah Subhanahu Wata’ala.

Bagi mereka yang jarang mengamalkan zikir hingga mengabaikannya akan membawa kerugian yang besar pada diri mereka sendiri. Malah, orang- orang yang tidak mengingati Allah Subhanahu Wata’ala merupakan sebahagian dari tanda-tanda orang yang munafiq. Sebenarnya orang yang munafiq ini jarang melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala sehingga tidak mendatangkan rasa takut dan tidak mendorong mereka kepada bertakwa dan beriman kepada Allah Subhanahu Wa- ta’ala.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari, dari Abu Musa Al-Asy’ari Radiallahuanhu dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

“Perumpamaan orang yang berzikir (ingat) kepada Tuhannya dengan orang yang tidak ingat kepada-Nya adalah seperti perbandingan antara orang yang hidup dengan orang yang mati.”

Hidup dan mati yang dimaksudkan tadi itu ialah persoalan jiwa (hati). Orang yang hatinya hidup akan mampu melaksanakan pekerjaan sehariannya dengan baik, manakala orang yang jiwanya mati sudah pasti kurang melakukan pekerjaan yang bererti bagi hidup mereka. Selain itu, seseorang yang tidak suka mengamalkan zikir bererti dia kurang mengingati Allah. Bermakna dia lupa kepada-Nya. Maka Allah Subhanahu Wata’ala menjauhkan dia dari rahmat-Nya, sebagaimana Allah Subhanahu Wata’ala akan selalu ingat pula kepada siapa yang selalu ingat kepada-Nya.

Justeru itu, orang yang tidak mengamalkan zikir bererti tidak mengingati Allah. Malah dia tidak kisah jika tidak beramal ibadah kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Jika demikian halnya, bagaimana kita berkehendak supaya Allah mengingati kita, sedangkan kita sendiri tidak mengingati-Nya, bagaimana pula hendak dikabulkan segala permintaan kita, jika kita sendiri tidak menjalankan apa yang diperintahkanNya.

Sekiranya seseorang itu semakin jauh dari mengingati Allah maka semakin dekatlah dia kepada kekufuran. Bahkan syaitan juga begitu mudah untuk menghampiri dan menguasai serta mempengaruh diri orang yang gemar mengabaikan zikir kepada Allah Subhanahu Wa- ta’ala. Apabila syaitan telah berjaya menguasai seseorang, dia dengan tidak berlengah lagi akan mengajak untuk melakukan kejahatan dan perbuatan yang tidak diredai Allah Subhanahu Wata’ala.

Di samping itu Allah juga telah menjanjikan bagi orang-orang yang enggan mengingati-Nya dengan kehidupan yang amat sukar di dunia malah kelak di akhirat ia akan dibangkitkan dalam keadaan yang buta penglihatannya. Ini bersesuaian dengan firman-Nya dalam Surah Thaahaa, ayat 124 - 125 tafsirnya:

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan pertunjukan-Ku, maka sesungguhnya adalah bagainya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: “Wahai Tuhanku mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu celek?”

Orang yang tidak mengamalkan zikir juga tidak akan merasakan ketenangan hati, malah akan ditimpa ketegangan jiwa dan kemelut batin. Bahkan hatinya juga akan mudah disarangi dengan penyakit-penyakit hati. Firman Allah Subhanahu Wa- ta’ala dalam Surah Ar Ra’d, ayat 28 tafsirnya:

“Ketahuilah! Dengan 'zikrullah' itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Oleh sebab itu tiada ketenteraman hati akibatnya mudahlah bagi orang itu melanggar perintah Allah, ringanlah baginya meninggalkan kewajipan dan semakin besar kemungkinan baginya berdendam dan memarahi orang lain. Inilah waktunya syaitan mula menghasut dan meniupkan bisikan-bisikan jahat yang mendorong seseorang itu melakukan perkara yang tidak baik seperti mencuri, membuli, berkhalwat, membunuh diri dan pelbagai perkara sosial yang akan terjadi. Inilah akibat mengabaikan amalan berzikir. Dari itu, hendaklah kita sentiasa mengamalkan amalan berzikir mengingati Allah Subhanahu Wata’ala.


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.-