BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 26 Jun. - Dua lagi kes terbaru Influenza A (H1N1) telah disahkan hari ini oleh Kementerian Kesihatan dan menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini kepada 20 kes.
Menurut Siaran Akhbar Kementerian Kesihatan, kes ke-19 melibatkan seorang lelaki penduduk tetap Negara Brunei Darussalam berumur 47 tahun, yang telah pergi ke Kuala Lumpur pada 19 Jun 2009. Pesakit kembali ke negara ini pada 22 Jun 2009 melalui Miri dengan menaiki penerbangan AK5186.
Pada 25 Jun 2009 pesakit mendapatkan rawatan dan ujian makmal disahkan positif pada 26 Jun 2009. Pada masa ini pesakit sedang menjalani rawatan dan berada dalam keadaan yang baik.
Sementara kes ke-20 ialah seorang perempuan berumur 18 tahun yang telah pergi ke Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia pada 23 Jun 2009 dengan menggunakan kereta dan balik ke negara ini pada 25 Jun 2009. Pesakit mengalami simptom-simptom penyakit pada hari yang sama dan ujian makmal disahkan positif pada 26 Jun 2009.
Pada masa ini pesakit adalah dalam keadaan baik dan menjalani rawatan.
Dari jumlah 20 kes ini, 12 dari mereka telah dijangkiti virus Influenza A (H1N1) semasa berada di luar negeri. Manakala 8 kes yang lain adalah kontak terdekat dari kes-kes sebelumnya.
Sementara itu, empat lagi pesakit Influenza A (H1N1) yang terdahulu dilaporkan telahpun sembuh dan dikeluarkan daripada Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.
Seperti lazimnya, kes-kes berkenaan telah menjalani ujian ulangan bagi memastikan bahawa mereka adalah dalam keadaan sihat dan bebas dari jangkitan virus Influenza A (H1N1), sebelum dikeluarkan dari hospital berkenaan.
Sekali lagi, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai yang baru pulang dari luar negara supaya akan mengurangkan aktiviti-aktiviti dan interaksi sosial secara sukarela selama tujuh hari.
Mereka juga dinasihatkan untuk memantau kesihatan mereka dan mendapatkan rawatan segera, jika menghidap simptom-simptom penyakit.
Di samping itu, langkah-langkah kewaspadaan perlu diambil dengan mengamalkan kebersihan diri yang baik pada setiap masa.
Kembali ke muka utama