SUKAN

Sukan ria mempromosi cara hidup sihat

GADONG, Ahad, 6 Julai. – Pasukan VIP yang diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi berjaya menumpaskan Pasukan Ketua-ketua Bahagian Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dalam Perlawanan Tarik Kalat di Temasya Sukan Ria Amal Bertaja Hospital RIPAS hari ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hassanal Bolkiah Polis Gadong di sini, Pasukan VIP yang turut disertai oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Awang Hazair dan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dato Paduka Awang Haji Serbini telah mengalahkan pasukan lawan dengan kiraan mata 2-1.

Lapan buah pasukan yang terdiri daripada bahagian-bahagian di Hospital RIPAS menyertai acara-acara sukan tarik kalat, lari dalam guni, boling kampung dan 'fun relay'.

Pelancaran Temasya Sukan Ria itu dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, yang bermula dengan senamrobik sebagai sesi pemanasan badan.

Antara matlamat temasya sukan itu diadakan adalah sejajar dengan misi Kementerian Kesihatan dalam mempromosikan ‘Cara Hidup Sihat’ selain ia merupakan kesinambungan Sambutan Hari Pelanggan Hospital RIPAS 2007.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital RIPAS, Dayang Hajah Siti Mariam binti Haji Md. Jaafar selaku Pengerusi Bersama Temasya Sukan Ria, sebahagian daripada sumbangan yang berbentuk kewangan akan disumbangkan kepada Dana Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan Tabung Kebajikan dan Anak-Anak Yatim Hospital RIPAS.


TWRP juara keseluruhan lumba perahu tradisi 2008

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 6 Julai. – Persatuan Kayak Kebangsaan - dengan bantuan Jabatan Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam pagi tadi telah pun mengadakan kejohanan lumba perahu tradisi belia yang di- adakan di perairan Mukim Tamoi.

Sebanyak enam acara dipertandingkan iaitu 600 meter lumba perahu tradisi belia 20 pekayuh, 600 meter lumba perahu tradisi belia 15 pekayuh, 600 meter lumba perahu tradisi belia 10 pekayuh, 600 meter lumba perahu tradisi belia 20 pekayuh, 600 meter lumba perahu tradisi belia 15 pekayuh dan tiga kilometer lumba perahu tradisi belia 20 pekayuh maraton.

Kejohanan bersempena aktiviti hujung minggu ini disertai oleh enam buah pasukan iaitu Pasukan Lumba Perahu Kampong Setia ‘B’, Pasukan Lumba Perahu Taraf Bau, Pasukan Lumba Perahu Kampong Saba (PERKASA), Pasukan Lumba Perahu Persatuan Berwawasan Sungai Bunga, Pasukan Lumba Perahu Team Waktu Remaja Perpaduan (TWRP) dan Pasukan Lumba Perahu Remaja Mukim Belait.

Pada kejohanan itu, Pasukan Lumba Perahu Team Waktu Remaja Perpaduan berjaya merangkul juara dalam keenam-enam acara yang dipertandingkan sekali gus menjadi juara keseluruhan kejohanan lumba perahu tradisi belia dan menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah, Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, Pengiran Sabri bin Pengiran Haji Mohammad.


Perlawanan Sepak Takraw Jabatan Hal Ehwal Ugama Daerah Temburong

TEMBURONG, Ahad, 6 Julai. - Jabatan Hal Ehwal Ugama Daerah Temburong melalui Bahagian Badan Kebajikan dan Sukan Pejabat Hal Ehwal Ugama telah menganjurkan Perlawanan Sepaktakraw Antara Bahagian-bahagian, Unit-unit dan Zon-zon di bawah jabatan berkenaan.

Pertandingan yang disertai 16 buah pasukan itu diadakan di gelanggang sukan ko-kurikulum Jabatan Sekolah-Sekolah, Pekan Bangar, di sini.

Pertandingan dimenangi oleh Bahagian Pengajian Islam setelah menumpaskan Bahagian Pentadbiran 21 - 16, 8 - 21 dan 15 - 6, manakala pasukan Masjid Zon 2 berada ditempat ketiga.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Awang Haji Miramit bin Haji Damit.

Pertandingan seumpamanya merupakan salah satu aktiviti tahunan Jabatan Hal Ehwal Ugama daerah ini.

Ianya diadakan antara lain bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara Bahagian-bahagian dan Unit-unit di bawah Jabatan Hal Ehwal Ugama Daerah Temburong dan bagi menyahut hasrat kerajaan supaya melakukan aktiviti bersukan demi kesihatan.

Kembali ke muka utama