REMAJA

MASA UNTUK MENYINGSING LENGAN
Oleh : H.A. Manap

TITAH Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Keputeraan baginda ke-62 tahun amat signifikan untuk kita junjung terutama sekali kepada generasi muda belia. Inilah masanya yang paling tepat untuk kita bersama-sama membantu dan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai rakyat dan penduduk di negara ini untuk menjunjung titah tersebut dan sambil melaksanakannya dengan penuh iltizam.

Titah baginda bahawa masanya sekarang adalah bertepatan untuk kita menyingsing lengan bagi turun ke sawah bendang melaksanakan kewajipan kita untuk bercucuk tanam dan meningkatkan keupayaan negara di dalam bidang pertanian. Bidang yang kini dilihat sebagai perkara penting dalam membantu keperluan dan kehendak kehidupan di seluruh rakyat dan penduduk di negara ini. Kemelut dan pergolakan dunia sekeliling cukup untuk memberikan isyarat penting kepada kita untuk tidak lagi menoleh ke belakang untuk menunaikan dan menjunjung titah ini. Melibatkan diri kita secara langsung sambil menjadikannya sebagai punca dan mata pencarian adalah merupakan satu hal yang amat terpuji.

JANGAN LEPASKAN PELUANG

Generasi muda belia boleh menjadikan peluang dan ruang sedemikian ini sebagai asas ke arah permulaan membina dan menjana usaha yang lebih besar di dalam bidang pertanian, perladangan dan perusahaan yang secara langsung berunsurkan bidang pertanian.

Permulaan biarlah ia mampu bagi menampung keperluan domestik dan tidak mustahil jika penghasilan bertambah baik dan menggalakkan dan mampu melebihi paras keperluan domestik hal ini boleh lagi dilebarkan sebagai negara pengeluar dalam bidang ini. Jika ini berlaku usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi akan mudah dicapai dari pergantungan kepada penghasilan minyak dan gas. Sekali gus mewujudkan bidang ini juga akan membantu ke arah menjana keperluan bidang kerja yang mana kita sedang mencari ruang ke arah menampung keperluan generasi lepasan sekolah yang sedang mencari pekerjaan. Perubahan iklim perusahaan di negara kita kini semakin ketara, paling tidak di sektor perniagaan kecil-kecilan dan bidang pertanian dan perladangan, ternyata dapat membuka ruang yang perlu diterokai dan tidak dibiarkan begitu sahaja. Justeru apabila baginda menitahkan kita untuk menyingsing lengan ianya adalah merupakan suatu yang positif dan sepatutnya sudah lama kita menggerakkannya. Namun ketika ini adalah merupakan saat dan ketika yang amat berpatutan untuk kita lakukan secara kolektif dan gigih.

KITA MESTI MENJADI PENGGERAK

Kita tidak boleh membiarkan bidang-bidang seumpama ini cuma dilakukan oleh orang asing yang datang ke tempat kita. Kita mestilah menjadi pengusaha dan peladang yang menyingsing lengan demi untuk kepentingan bangsa dan negara tercinta. Rasanya sudah tiba masanya untuk generasi kita berperanan bersama dalam mencorakkan bidang pertanian ini secara besar-besaran dengan kemampuan yang kita miliki.

Ia perlu diterokai oleh kalangan anak tempatan kita, terutama sekali dari mereka di kalangan generasi belia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap atau masih lagi belum bekerja. Kekurangan pengalaman dan modal mengorak langkah, jangan dianggap sebagai suatu permulaan yang tidak mengizinkan. Kita perlu menyedari kita mempunyai ‘advantage’ yang sangat baik, untuk dijadikan pengukur keupayaan kita. Kita faham akan budaya kita sendiri dan juga tahu akan segala keupayaan dan kemampuan berusaha dengan titik peluh sendiri. Hal ini menjadi ‘added value’ kepada kita untuk menerokai dengan lebih meluas, sekiranya kita berupaya melakukannya. Generasi belia tidak perlu memikirkan sesuatu permulaan yang besar, secara kecil-kecilan juga mungkin boleh membantu. Kita perlu berani sama ada mahu menerokai di bidang pertanian berkelompok atau melakukannya secara ‘consortium’ dan sebagainya yang berpatutan.

Kalau kita merujuk semula titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, semasa bertitah menjelang tahun baru Masihi 2006, baginda mahukan kita sebagai satu generasi atau bangsa yang kreatif di pelbagai bidang. Hasrat dan pandangan jauh baginda ini ialah berdasarkan kepada keupayaan dan kemampuan kita untuk mewujudkan sesuatu yang lebih jauh dari kepompongan jangkaan kita. Hal ini berpatutan dengan membuat suatu pendekatan baru dalam bercucuk tanam, misalnya dalam meng- ungkayahkan penanaman padi negara. Hal ini benar-benar memberikan suatu impak yang mendalam jika ia diterokai dengan penuh kegigihan dan juga ketekunan.

Justeru kita perlu mewujudkan daya kreativiti yang tinggi untuk melahirkan suatu bidang usaha pertanian yang mampu memberikan pulangan yang lumayan dan menjamin perjalanannya. Kita juga mesti bijak dalam menentukan cara penghasilan yang akan dijana, agar ianya menjadi pemangkin ke arah menggerakkan usaha yang mampu mencapai keberhasilan yang lumayan. Bijak dalam menentukan hala tuju jualan dan pasaran juga perlu diambil kira. Belajar dari merangkak kemudian bangun membina empayar pertanian yang besar merupakan kejayaan yang bukan dibina dalam sekelip mata. Kita perlu berani menerokai kesempatan. Kerana itu kita jangan jadi lemah dan lesu kerana tidak mempunyai peluang dan kesempatan untuk berkerja di sektor lain. Kita mesti pandai menghalakan matlamat hidup kita. Fokus kita perlu jelas terhadap kemampuan dan kemahiran yang ada untuk digembleng. Pandangan ke hadapan perlu mampu menganekacorakkan pilihan kita. Ini adalah sebahagian dari perkara yang sangat penting dijadikan sebagai resipi kejayaan.

GUNAKAN KREATIVITI YANG TINGGI

Daya kreativiti yang tinggi dan pembentukan cara berfikir yang mantap dijadikan asas kepada menjelmakan kejayaan cemerlang, bersama ‘mind-set’ dan ‘mentality’ usahawan yang gigih. Hari ini belum terlambat rasanya kalau kita mahu mengorak langkah untuk berubah. Hari ini walau sedikit pembaharuan yang kita buat ia amat bermakna untuk menjadi aset di hari muka. Kerana apa yang berlaku hari ini adalah merupakan jelmaan yang akan tercipta di hari muka. Justeru hari ini, adalah merupakan masa depan kita.

Jika kita pandai mencorakkannya, maka kita pasti akan mendapat hasil yang positif. Skop kehidupan yang sudah kita lalui memerlukan ‘mind-set’ yang lebih ke hadapan. Pandangan dan tunjuk arah ini, merupakan gerak kompas yang mengarah ke peta kehidupan yang lebih bertenaga dan berupaya tinggi. Kita perlu melakar sesuatu yang akan menjadi tatapan dan ‘role model’ kepada generasi kita untuk di hari muka. Kerana itu hari ini adalah sangat penting dalam proses pembentukan dan penghasilan kualiti yang diperlukan. Penerokaan bidang pertanian mungkin akan dapat kita jadikan sebagai warisan berharga kepada generasi akan datang jika ia berjaya dilaksanakan dengan penuh iltizam dan penggemblengan tenaga yang gigih. Ia perlu dilakukan dengan penuh bijaksana dan berpandangan jauh bagi keperluan negara dan bangsa tercinta.

Kita sepatutnya merasa berbangga kerana titah seorang raja dan pemimpin negara yang kita kasihi ternyata melihat keadaan ini sebagai proses ke arah pembinaan rakyat yang tidak bergantung kepada hasil bumi semula jadi semata-mata. Namun ia sekali gus menanamkan semangat kecintaan kepada bidang usaha dan penghasilan bumi yang diungkayahkan sendiri. Inilah yang akan memberikan dan mewujudkan rasa tanggungjawab bernegara dan bermasyarakat yang mendalam. Apatah lagi kalau hal sedemikian dapat melahirkan suatu penghasilan yang boleh dijadikan sebagai keluaran utama negara. Sekarang peluang sudah terbentang luas, yang tinggal hanyalah kita bagaimana kita boleh menjadikan peluang ini sebagai suatu yang amat berharga dalam kehidupan dan kepentingan bersama kita.


Kembali ke muka utama