
Sabtu, 26 Julai 2008
23 Rejab 1429
PERTUBUHAN Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) kini berdepan dengan cabaran isu-isu baru yang mencabar kewibawaan pertubuhan tersebut sejak ditubuhkan 41 tahun lalu dalam usaha pertubuhan itu untuk membawa ASEAN sebagai rantau yang aman, bebas dan stabil serta berkembang maju. ASEAN, walau bagaimanapun dalam mendepani sebarang isu berbangkit tidak akan menyelesaikan secara ’tergesa-gesa’. Tradisi amalan para pemimpin pertubuhan itu adalah menerusi permuafakatan dan permuzakarahan, yakni lebih rela memilih untuk menyelesaikan melalui ’meja rundingan’. Inilah sebenarnya kunci utama kejayaan ASEAN dalam merungkai sebarang masalah yang timbul.
Isu terbaru didepani ASEAN ialah konflik di antara Thailand dengan Kemboja yang dicetuskan dengan pertikaian mengenai Kuil Hindu Purba Preah Vihear di sempadan kedua-dua negara terbabit. Namun para Menteri Luar ASEAN yang bersidang di Republik Singapura bertegas agar pertikaian itu diselesaikan secara dua hala di antara Bangkok dengan Kemboja. Para Menteri ASEAN mahu agar konflik itu tidak menjerumuskan kedua-dua negara kepada konfron- tasi tentera. Malah jurucakap pertubuhan itu, Tuan Yang Terutama Surin Pitsuwan, Setiausaha Agung ASEAN menekankan agar kedua-dua negara menye- lesaikan krisis itu secara aman dan mengelakkan konfrontasi tentera antara dua negara anggota ASEAN. Perbalahan sempadan Thai - Kemboja dan persoalan mengenai Myanmar telah membayangi rundingan tahunan Menteri ASEAN di Kota Singa yang bertemakan ’Satu ASEAN Dalam Nadi Dinamik Asia'.
ASEAN sering kali dirundung malang dan kemelut datang silih berganti. Fenomena ini sedikit sebanyak mencalar pertubuhan tersebut di arena global. Isu Myanmar yang telah berlarutan beberapa tahun lalu belum ada tanda untuk selesai. Negara Barat mahu ASEAN menyelesaikan isu Myanmar secara bertegas, namun ASEAN masih sahaja menggunakan pendekatan rundingan di meja bulat.
Apa pun, semasa sidang di Singapura, para Menteri Luar dari sepuluh buah negara ASEAN juga terus memfokus isu utama dalam agenda rasmi mesyuarat iaitu piagam baru yang akan membawa penubuhan sebuah pergerakan ekonomi seperti Kesatuan Eropah (EU) yang akan menumpukan perhatian kepada isu-isu demokrasi dan hak asasi manusia menjelang 2015. Turut menjadi topik utama perbincangan para menteri ASEAN ialah usaha untuk mendapatkan bantuan kira-kira dua juta mangsa Taufan Nargis yang melanda Myanmar. Keselamatan makanan, tenaga serta keadaan kewangan sedunia adalah antara beberapa hal ehwal serantau dan antarabangsa yang dibincangkan. Mesyuarat ke-41 itu juga mem- bincangkan mengenai perkara-perkara penting termasuk Piagam ASEAN dan hubungan luar ASEAN, pemantapan Sekretariat ASEAN dan juga Rangka Kerja Komuniti Politik - Keselamatan ASEAN dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN juga telah dibincangkan.
Sambil itu ASEAN dalam usahanya untuk meningkatkan ekonomi negara-negara anggota terus mengukuhkan kerjasama dengan Republik Rakyat China, Republik Korea dan Jepun yang lebih dikenali ASEAN +3. Jepun salah sebuah kuasa ekonomi dunia berjanji membantu ASEAN merapatkan jurang antara negara-negara anggotanya yang kaya dan miskin bagi mengukuhkan integrasi ekonomi. Tokyo telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan ASEAN bagi membolehkan 90 peratus dagangan antara Jepun - ASEAN dikecualikan daripada tarif dalam tempoh 10 tahun. Sementara itu perdagangan dua hala ASEAN - China sejak tahun 2006 telah meningkatkan kepada 20 peratus. Usaha juga sedang dibuat untuk merealisasikan perjanjian Kawasan Perdaganan Bebas ASEAN - China (ACFTA).
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN + 3 bersabda menekankan kepentingan ASEAN+ 3 dan menggalakkan kerjasama untuk mengatasi cabaran-cabaran baru, terutama keadaan kewangan sedunia serta keselamatan tenaga dan makanan dan melahirkan penghargaan mengenai perkembangan yang dicapai dalam kerjasama ASEAN +3 dan usaha Republik Rakyat China, Jepun serta Republik Korea dalam perbincangan enam hala mengenai Korea Utara.
Warga ASEAN berjumlah lebih 500 juta mengharapkan agar pertemuan di Singapura akan terus meneguhkan ASEAN sebagai pertubuhan yang disegani dan berwibawa serta merangka hala tuju yang baru dalam mendepani apa jua cabaran dan rintangan bagi keamanan, keselamatan dan kesejahteraan ASEAN yang berpanjangan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN Ke-13 berlangsung di kota Bangkok pada bulan Disember depan.