CETUSAN MINDA 26

MEMAHAMI BAHAWA BEKERJA ADALAH IBADAH
Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)


PESANAN

PAGI itu awal bulan Mei lalu, ketika saya sedang membaca buku di serambi rumah sambil mendengar kicauan beburung dari perpohonan hijau, telefon bimbit mengeluarkan bunyi yang menandakan ada pesanan ringkas sedang dikirim. Lalu saya membaca pesanan ringkas itu dan berbunyi begini: "Assalamualaikum, apa pendapat anda tentang kerja harian misalnya sebagai kerani di syarikat swasta atau jurujual di kompleks beli- belah? Apakah itu ibadah?"

Saya tidak jelas siapa pengirimnya kerana tidak tercatat dalam memori telefon bimbit saya. Saya membalas dengan pesanan begini: "Kenapa tidak meminta pendapat kepada institusi-institusi yang lebih arif mengenainya."

Pengirim misteri itu membalas balik ‘‘Mahu jawapan dari anda yang bukan berpendidikan aliran Arab. Aku adalah pembaca tetap tulisan anda."

"Terima kasih, tapi anda siapa?" Lepas itu hubungan pesanan ringkas tamat.

Rapat kali saya hubungi nombor yang digunakan namun yang berbunyi hanyalah deringan memanjang yang menandakan telefon itu beroperasi namun tidak dijawab. Entah, sengaja tidak dijawab atau bagaimana! Dan hingga kini, pengirim itu tidak menjawab. Pesanan itu pun sudah hapus atau ‘delete’ dari simpanan telefon bimbit saya.

Alhamdulillah, saya masih ingat pertanyaannya. Maka sebelum terlupa, kali ini saya cuba mengupas hal mengenainya dari sudut pemahaman saya, sebagai seorang Muslim, yang berpendidikan aliran Melayu dan Inggeris. Mudah-mudahan pengirim misteri itu meluangkan masa untuk membaca tulisan ini. Siapa dan apa pun tujuannya, saya tetap dan sentiasa berlapang dada atau ‘open heart’.

Terlebih dahulu, saya mengajak kita semua untuk melawan terhadap kemungkinan-kemungkinan. Biasalah, orang sentiasa terfikir kemungkinan yang terburuk. Dugaan-dugaan kita yang negatif hanya membawa kita kepada suatu mimpi atau ‘dream’ yang sekadar ‘dream’.

Kita haruslah bersedia untuk berlapang dada, membuka fikiran atau ‘open mind’, membuka hati atau ‘open heart’ dan membuka tangan atau ‘open hand’. Kita pun mesti sedia untuk menerima masukan dan siap untuk menerima kritikan. ‘Open heart’, kita membuka hati untuk menerima nasihat. Dan buka tangan untuk sedia membantu siapa yang memerlukan sekadar yang termampu. Orang-orang begini lazimnya bersikap pertengahan. Tidak takbur.

Dengan kata lain, setiap manusia berbuat menurut bakatnya masing-masing, maka Allah akan memberikan petunjuk kepada jalan yang benar terhadap tiap orang yang memiliki bakat tertafsirnya:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri; maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapakah (Dia antara kamu) yang lebih betul jalannya."

Ketika kita mendapat sebuah kebaikan, kita bersyukur dan atas dasar syukur itulah kita mendapatkan pahala. Kemudian ketika mendapatkan keburukan, kita hadapi dengan kesabaran, kerana itu adalah sebahagian dari ujian Allah. Kesabaran itu juga akan mendatangkan pahala. Tidak ada yang hilang bagi kehidupan orangorang yang beriman.

Baiklah, dalam ajaran agama Islam, bekerja untuk mencari nafkah atau pendapatan yang halal, adalah merupakan satu jenis ibadah kepada Allah yang akan diberi ganjaran pahala di akhirat kelak.

IBADAH UMUM

Ibadah mencari nafkah ini dikategorikan kepada ibadah umum. Ibadah khusus pula antaranya ialah sembahyang lima waktu, berpuasa, memberi zakat dan sebagainya. Nah, ibadah umum boleh dibuat, boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana jua. Ibadah umum tidak melibatkan masa atau tempat khas.

Misal, jika dia bekerja sebagai penjaga malam, tentunya dia bekerja di sebelah malam. Dan jika dia bekerja di kawasan pedalaman, bukan di bilik berhawa dingin, demi mencari rezeki halal untuk keluarganya itu maka itu adalah ibadah umum misalnya, pencari rotan atau nelayan, apa-apa sajalah yang bukan dikategorikan sebagai kerja 'kolar putih'.

Sebilangan orang berfaham bahawa ibadah itu hanyalah yang berkaitan dengan masjid dan sembahyang sahaja. Timbulnya gejala-gejala rasuah, menipu, pecah amanah, menjalankan kerja dengan tidak bertanggungjawab dan seumpamanya adalah kerana mereka tidak mengaitkan bahawa kerja yang dilakukan itu merupakan ibadah.

Secara logiknya, apabila tempat bekerja atau tempat mencari nafkah sudah dianggap sebagai tempat yang seronok, gembira dan diminati maka tentu tidak akan timbul sikap bencikan tempat kerja. Bila kerja itu sebahagian daripada ibadah maka dia akan sentiasa ingin pergi ke tempat kerja (mencari rezeki) dan akan bekerja dengan tekun dan penuh komitmen. Bayangkan, nelayan yang turun pagi dini, pulang lewat petang. Perasaan bosan dan jemu tidak timbul sama sekali.

Tetapi sekiranya seseorang tidak berminat dengan tugasnya meski berpejabat di bilik berhawa dingin maka biasalah kad perakam waktu atau 'punch card' akan dianggap batu penghalang yang cukup menyeksakan. Aturan-aturan yang semata-mata bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dianggap sebagai; "Ah, buat kacau saja!"

Petugas-petugas begini, baik dalam perkhidmatan awam mahupun swasta, akan benci kepada perkara-perkara yang mereka anggap sebagai menyusahkan diri. Ini bermakna, mereka bekerja semata-mata kerana 'kena bekerja' untuk mendapatkan gaji. Mereka bukan bekerja kerana komitmen dan minat. Kerja tidak dianggap sebagai ibadah. Maaf cakap.

Manusia secara semula jadinya memerlukan sesuatu untuk mengenyangkannya dan untuk memberikan dirinya dalam semua keadaan dan titian kehidupannya sejak dia dilahirkan hingglah dewasa dan ke hari tuanya. Untuk itu dia harus bekerja, harus mencari nafkah atau rezeki.

Rezeki yang kita perolehi secara halal, hasil dari kerja kita apa pun jenis pekerjaan, itu membawa berkat. Sehubungan ini saya nukilkan sebuah cerita benar yang saya dapati dari seorang kawan saya, seorang wartawan Republik Indonesia, semasa kami sama-sama mengambil kuliah kewartawanan di Berlin, Jerman akhir tahun 80-an.

Apabila saya pergi ke Jakarta, dia sempat membawa saya ke kawasan perumahan elit tersebut bagi membuktikan bahawa ceritanya itu benar. Malah saya berpeluang berjumpa dengan mereka yang diceritakannya itu. Nah, cerita kawan saya lebih 20 tahun lalu dan peristiwa yang saya sendiri jadi saksi mata ada kaitan dengan soalan pengirim misteri ini. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.

Pagi-pagi dia (wartawan Indonesia) itu suka joging, lari pagi. Melintas di satu kawasan perumahan mewah, dia sempat berbual dengan amah atau pembantu rumah yang bekerja dalam sebuah rumah yang cukup mewah. Dia bertanya kepada amah itu, "Mbak, Mbak diam di sini." Angguk.

"Bapak yang punya rumah sering nginap di sini, Mbak?" Pantas pembantu rumah, lingkungan umur lewat 30-an, menjawab, "Wah, Bapak yang punya rumah ini, nginap di sini dalam setahun dapat dibilang dengan sebelah jari sahaja."

"Kenapa?"

Pembantu itu berkata, "Rumahnya banyak. Di Bogor ada. Di Puncak ada. Di Surabaya ada. Sebut saja di mana ada. Wah, banyak rumahnya. Wah, lain lagi banglo di desa-desa. Sumpah Pak."

Kawan saya itu mengulang tanya, "Mbak, tidak marah jika tanya, ya berapa kali dalam sebulan Bapak yang punya rumah ini nginap di sini?"

Pembantu rumah itu jujur menjawab, "Dikira untung jika Bapak tidur di sini sekali dalam tempoh tiga bulan."

Lalu dia bertanya, “Jadi, yang tidur di sini siapa?"

"Ya, saya Pak dan suami saya, Pak."

"Suami Mbak pun kerja di sini?"

"Iya, tukang kebun. Saya nguruskan bahagian dalaman rumah, suami Mbak pula luar rumah."

"Oh, gitu. Ada talian darah dengan Bapak punya rumah ini."

"Oh, Bapak yang punya rumah ini orang bangsawan, kami ini oh ... liat saja. Masakan ada talian darah. Tapi kami beruntung Allah menemukan kami dengan Bapak yang sebudiman itu."

"Mbak, kerja di sini udah berapa lama sih?"

"Wah, lebih sepuluh tahun Pak. Suami Mbak pula dekat 15 tahun."

"Mbak beruntung, walaupun Mbak tidak memiliki rumah mewah ini tapi Mbak sudah menikmati nginap di situ."

“Alhamdulillah,’’ pembantu rumah menadah syukur dan berkata ‘‘Kerja Mbak dan kerja suami Mbak sungguhan sih, kami anggap sebagai ibadah, Pak."

Benar, mereka pemilik rumah yang mewah itu tetapi mereka telah pun menikmati kehidupan selesa di rumah yang mewah itu sejak puluhan tahun. Rumah mereka di desa hanyalah sebuah rumah kecil tanpa perabot, di mana ruang tamu ketika siang dan malam jadi bilik tidur.

Benar, ini sebuah kenyataan yang kita boleh nampak dalam kehidupan sehari-hari. Banyak orang memiliki dari hasil pendapatannya yang lumayan tapi tidak menikmati. Namun banyak orang yang tidak memiliki apa-apa tapi boleh menikmati, dia mendapatkan keberkatan dari rezeki orang lain. Kenapa? Kerana pekerjaan apa pun jenisnya disifatkan sebagai ibadah. Bila kerja itu dianggap ibadah maka mereka bekerja dengan baik, jujur, ikhlas dan penuh tanggungjawab.

Dalam kehidupan kita sehari-hari kita boleh nampak, banyak orang memiliki tapi tidak dapat menikmati, tapi banyak juga orang yang menikmati meski dia tidak memiliki! Lebih jauh daripada itu, kita perhatikan beberapa ramai orang-orang yang disebabkan masalah kesihatan ditegah untuk menikmati makanan walhal dia lebih daripada mampu untuk membeli malah memborong secara pukal makanan yang amat digemarinya. Maaf cakap.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Sesungguhnya Allah tiada melihat kepada rupa kamu dan amalan kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan niat kamu."

Apabila hati seseorang bersih maka mereka akan bekerja dengan jujur, penuh tanggungjawab, bermuafakat, murah hati, suka tolong-menolong dan sentiasa mencari jalan untuk mewujudkan keharmonian sesama sendiri. Balasan baik di akhirat kelak adalah berdasarkan kepada hati bersih dan niat yang baik.

Seorang pekerja, sama ada tinggi jawatannya mahupun pekerja berpangkat rendah, di mana sahaja ia bertugas sebagai Perkhidmatan Awam atau swasta, hendaklah jujur, bertanggungjawab dan amanah dalam menjalankan tugas.

Tekun dan menjalankan tugas dengan sempurna setakat yang termampu, adalah merupakan kewajipan seseorang yang bekerja. Apabila diberikan sesuatu tugas atau tanggungjawab maka hendaklah dilaksanakan dengan baik atau sesempurna mungkin. Ini bermakna, tidak ada unsur-unsur hendak menipu, berdusta, mungkir janji, suka bertangguh, ponteng dan tidak mematuhi masa yang ditentukan dan sebagainya.

Bekerja adalah merupakan punca seseorang mendapat rezeki. Dan, rezeki yang diperolehi hendaklah dari punca dan cara yang halal. Rezeki yang diperolehi akan digunakan atau menjadi makan minum seseorang. Ini bermakna, darah dan dagingnya dalam tubuh akan terbina daripada unsur-unsur makan minum yang halal serta diredai Allah.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Sesiapa yang merasa penat kerana bekerja sehari suntuk untuk mencari rezeki yang halal, nescaya akan terampun segala dosanya."

Akhirulkalam, ‘open your mind’, buka fikiran anda. Dengan membuka fikiran ini adalah bagaimana kita selalu melihat suatu masalah itu dengan kaca mata yang positif, jangan dari kaca mata yang negatif. Kenapa? Kerana kita yakin bahawa setiap yang diberikan Allah kepada kita selalu mengandungi kebaikan. Mungkin pada ketika itu kita tidak boleh melihat hikmahnya, tapi setelah kita boleh menyingkap misteri itu maka semua itu menjadi sebuah hikmah buat kita semua. Nah, kepada penulis misteri ku hulurkan salam persahabatan, bila-bila kita boleh santai dan masing-masing boleh bergilir ‘belanja’ bagi sama-sama menikmati rezeki yang dianugerahkan Tuhan. Bagaimana?

Kembali ke muka utama