KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar ketika berkenan berangkat ke Perarakan Kenderaan Berhias, Persembahan Bunga Api dan Tarik Kalat Se-Borneo. (Foto Oleh : Masri Osman).
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar berkenan berangkat menyaksikan Perarakan Kenderaan Berhias, Perlawanan Tarik Kalat Se-Borneo dan persembahan bunga api sempena sambutan perayaan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-62, di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara. Keberangkatan Kebawah DYMM, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan DYTM Pengiran Isteri dan kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adana; Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pegawai Daerah Brunei dan Muara dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Perarakan dan Perlawanan Tarik Kalat.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.
Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan kerabat diraja yang lain.
Persembahan pada malam itu dimulakan dengan empat segmen iaitu persembahan 'Pyrotechnics' dan persembahan bungai api dan seterusnya perkataan 'Merafak Sembah Menjunjung Kasih' dipaparkan.
Kemudian diikuti dengan perarakan lalu yang didahului oleh pasukan Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, pembawa bendera Negara Brunei Darussalam seramai 62 orang terdiri dari anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Penjara, peserta wakil-wakil daerah, ahli-ahli jawatankuasa dan pegawai-pegawai teknikal Perlawanan Tarik Kalat Se-Borneo, peserta-peserta tarik kalat terdiri pasukan Kalimantan Barat, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Negara Brunei Darussalam
Kemudian disusuli dengan perarakan kenderaan berhias sebanyak 20 buah terdiri daripada kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan serta sektor swasta, Persatuan Bank-Bank yang didahului oleh pasukan Jabatan Perdana Menteri.
Segmen seterusnya ialah perlawanan akhir tarik kalat Se-Borneo bagi kategori berat yang menentukan tempat ketiga dan keempat bagi pertemuan pasukan Negeri Sabah dan pasukan Kalimantan Barat. Manakala bagi menetukan juara dan naib juara adalah antara pasukan Negara Brunei Darussalam dan pasukan Negeri Sarawak.
Acara selajutnya diikuti dengan 'grand finale' iaitu persembahan 'pyrotechnics' dan persembahan bunga api set ketiga.
Kebawah DYMM juga berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah-hadiah Perlawanan Tarik Kalat Se-Borneo dan kenderaan berhias di mana pemenang kenderaan berhias ialah pasukan gabungan BSP, BST dan BSM dengan menerima wang tunai BND8,000.00 berserta piala; kedua, pasukan BLNG dengan wang tunai BND6,000.00 dan piala; ketiga, pasukan DST Communication menerima wang tunai BND3,500.00 dan piala; keempat, pasukan Kementerian Pertahanan menerima wang tunai BND1,500.00 dan piala dan tempat, kelima pasukan Penerbangan Diraja Brunei membawa pulang wang tunai BND1,000.00 dan piala.
Persembahan 'Acara Tiga Serangkai' yang berjalan serentak di taman itu indah dan bergemerlapan mencerminkan keceriaan dan kegembiraan rakyat jelata dalam bersama menyerikan dan menyemarakan sambutan ulang tahun Hari Keputeraan dengan acara-acara persembahan menggambarkan tanda simpulan kasih-lilitan setia yang mesra kukuh ke persada Raja Laila Budiman yang sentiasa dikasihi dan ditaati.
Acara tiga serangkai merupakan acara kemuncak kepada semua acara sambutan perayaan setiap tahun yang sentiasa ditungu-tungu oleh rakyat di seluruh pelusuk negara.
Rakyat jelata datang turun berduyun-duyun membanjiri ibu kota dan persekitaran taman, angkasa raya ibu kota bermandikan cahaya dengan persembahan bunga api dan 'pyrotechnics' berirama, 'glittering and sparkling' begitu mencuit hati dan perasaan serta memukau mata memandang.
Tujuan persembahan hanyalah untuk turut bersama menyerikan dan menyemarakkan sambutan perayaan ulang tahun Hari Keputeraan seorang 'Raja Berjiwa Rakyat', sambil mencurahkan perasaan kasih sayang dan taat setia yang tidak berbelah bahagi ke hadapan majlis baginda.
( Oleh : Abdullah Asgar/Haji Ahmad Haji Salim/Abu Bakar Haji Abdul Rahman)
Kembali ke muka utama