RIMBA, Sabtu, 26 Julai. - Majlis Khatam Al-Qur'an merupakan tradisi yang biasanya diadakan ketika majlis perkahwinan, acara-acara keagamaan selain satu acara wajib atau acara tahunan yang biasa diadakan oleh setiap sekolah agama yang terdapat di negara ini.
Seramai 30 orang murid lelaki dan 43 murid perempuan Darjah Enam dari Sekolah Ugama Rimba II diraikan dalam Majlis Khatam Al-Qur'an berlangsung di Sekolah Ugama Rimba II, Gadong hari ini, di sini.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Faatihah beramai-ramai diketuai oleh tetamu kehormat, diikuti bacaan doa sebelum membaca Al-Qur'an.
Murid-murid yang dikhatamkan seterusnya membacakan surah-surah lazim bermula dari Surah Adh-Dhuhaa hingga Surah Al-Lahab.
Majlis diteruskan dengan bacaan Tahtim Al-Qur'an disampaikan oleh murid-murid Darjah Empat dan Enam sekolah berkenaan, manakala doa khatam dibacakan oleh Awang Abdul Salam bin Haji Asli selaku wakil murid yang dikhatamkan.
Pada majlis itu tetamu kehormat majlis juga menerima cenderahati dari Cikgu Hajah Salmaya binti Haji Asmat yang juga selaku Pengerusi majlis tersebut.
TETAMU KEHORMAT,Dayang Hajah Noorliah binti Haji Aspar, Guru Besar Sekolah Rendah Rimba II menyampaikan sijil kepada peserta khatam Al-Quran Sekolah Ugama Rimba II. Foto Oleh : Ak. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali.
MAJLIS Khatam A-Quran bagi murid-murid Sekolah Ugama Rimba II.
(Oleh: Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad)
Kembali ke muka utama