AGAMA

262Murid Menerima Sijil Khatam Al-Qu’ran

SETIAUSAHA Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Hamid menyampaikan Sijil Khatam Al-Qur’an kepada seorang penerima.

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 Jun. - Seramai 262 orang murid terdiri dari 137 lelaki dan 125 perempuan menerima Sijil Khatam Al-Qur’an masing-masing pada Majlis Khatam Al-Qur’an Murid-murid Kelas Skim Khatam Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah Kali Ke-6.

Para peserta khatam merupakan murid-murid yang mengikuti Kelas Skim Khatam Al-Qur’an anjuran Jame' ‘Asr Hassanil Bolkiah yang mula diperkenalkan pada awal tahun 1998.

Sehingga kini, seramai 797 orang murid berumur antara sembilan hingga 14 tahun telah mengikuti skim tersebut di bawah bimbingan tiga orang guru.

Mereka yang mengikuti skim tersebut telah membaca Al-Qur’an dari juzu pertama hingga juzu 30 secara murattal.

Kaedah yang digunakan pada majlis khatam pada tahun ini sama seperti tahun 2006 di mana para peserta membaca secara beramai-ramai satu surah pilihan.

Murid-murid lelaki membaca Surah Al Jumu'ah dan murid-murid perempuan membaca Surah Al Munaafiquun.

Selain dari itu, murid-murid yang dikhatamkan itu digalakkan untuk terus mengikuti Kelas Lanjutan Al-Qur’an kelolaan Jame' ‘Asr Hassanil Bolkiah secara berlagu selain mempelajari hukum-hukum tajwid dengan lebih mendalam.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis yang berlangsung di Jame' ‘Asr Hassanil Bolkiah dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Hamid bin Haji Mohd. Jaafar.


24 Pegawai Hadir Bengkel Menghalusi Wuduk

TEMBURONG, Selasa, 24 Jun. - Seramai 24 orang pegawai dan kakitangan kerajaan menghadiri Bengkel Menghalusi Wuduk (Fardu Ain) anjuran Bahagian Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong bertempat di Masjid Utama Mohd. Salleh, Pekan Bangar.

Pemangku Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong, Awang Elde bin Haji Suhaile dalam ucapan alu-aluannya menyatakan program anjuran Bahagian Hal Ehwal Masjid itu bertujuan untuk membantu dan memberikan kefahaman kepada peserta khususnya mengenai asas-asas agama menurut kehendak Islam.

Selain dari itu ia juga bertujuan memberikan bimbingan dan panduan beribadat secara tepat dan berkesan mengikut hukum-hukum syarak, di samping mengenal pasti kesalahan-kesalahan dalam beribadat dan memperbaikinya melalui latihan amali.

Para peserta bengkel dibimbing oleh Pegawai Masjid Zon 2, Awang Haji Mohd. Yamin bin Haji Mohd. Noor.


Peraduan Menghafaz Ayat-ayat Lazim

TEMBURONG, Khamis, 12 Jun. - Majlis Perundingan Kampong Seri Tanjung Belayang dan Batang Tuau dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong telah menganjurkan Peraduan Menghafaz Ayat-ayat Lazim di Masjid Utama Mohd. Salleh, Pekan Bangar.

Menurut Pengerusi majlis, Awang Haji Jainih bin Haji Tahir peraduan itu merupakan projek dan aktiviti tahunan Majlis Perundingan Kampong Seri Tanjung Belayang, Batang Tuau dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Masjid Utama Mohd. Salleh Pekan Bangar untuk menggalakkan belia-belia sentiasa menghadirkan diri ke majlis-majlis keagamaan di masjid-masjid.

Peraduan Menghafas Ayat-ayat Lazim itu dibahagikan kepada empat Kategori, kategori enam tahun, tujuh hingga lapan tahun, kategori sembilan hingga sepuluh tahun dan Kategori sebelas hingga 12 tahun.

Hadir menyempurnakan hadiah-hadiah kepada pemenang ialah Penghulu Mukim Bangar, Awang Hamdan bin Haji Besar.

Juga hadir ialah Pegawai Zon Satu dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Utama Mohd. Salleh, Awang Haji Emran bin Haji Sabtu.

Doa selamat dibacakan oleh Imam Awang Azri bin Haji Mohd. Yussof.


Pameran Peraduan Mengumpul Setem dan Sampul Surat Rasmi Hari Pertama

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 30 Jun. - Beberapa aktiviti sedang dilaksanakan bersempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-62 tahun.

Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Perhubungan juga tidak ketinggalan dalam memeriahkan sambutan yang dinanti-nantikan itu dengan mengadakan Pameran Mengumpul Setem dan Sampul Surat Rasmi Hari Pertama.

Sehubungan itu majlis pelancaran perasmian berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Pos Agung, Awang Haji Abdul Kadir bin Tengah, bertempat di Galeri Setem, Pejabat Besar Pos, di sini.

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang peraduan mengumpul setem dan sampul surat rasmi hari pertama yang diadakan pada 29hb hingga 21 Jun 2008.

Dalam kategori 'A' bagi ahli SODA, dimenangi oleh Awang Hidop bin Haji Mohammad Zain, tempat kedua Dayang Siti Noorazimah binti Haji Abdul Wahab dan tempat ketiga ialah Awang Haji Shahamirul bin Haji Shahrill.

Dalam kategori 'B' bagi ahli SODAKIDS pula dimenangi oleh Dayang Nur Bazilah binti Ridwan, tempat kedua Dayang Nurul Adlina binti Mohd Padil dan tempat ketiga Awang Abdul Syafiq bin Haji Abd Latif.

Sementara itu dalam kategori 'C' bagi remaja, tempat pertama dimenangi oleh Dayang Nur Mazyyatul Akmal binti Haji Omar, tempat kedua Mohd Sarkawi bin Haji Sarbini dan tempat ketiga Dayang Najimah Hayati binti Awang Hidop.

Peraduan diadakan bertujuan untuk memupuk hobi mengumpul setem di samping meningkatkan lagi ahli-ahli SODA dan SODAKIDS selain memberi peluang kepada para pengumpul setem dan sampul surat rasmi hari pertama untuk menunjukkan bakat mereka dalam peraduan tersebut.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada cawangan-cawangan pejabat pos yang memenangi peraduan jualan produk filatelik.

Jualan Tertinggi produk Filatelik dimenangi oleh Pejabat Pos Seria, Pejabat Pos Lumut memenangi Jualan Tertinggi keluaran setem dan sampul Surat Rasmi Hari Pertama serta kategori Pameran Kreatif.

Penyampaian hadiah-hadiah disempurnakan oleh Awang Haji Abdul Kadir.

Pameran dibuka bagi kunjungan ramai bermula 30 Jun hingga 10 Julai 2008 setiap hari Isnin hingga Khamis dan Ahad jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang dan hari Jumaat pada jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan 2.00 petang hingga 5.00 petang.

Kembali ke muka utama