Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Belia melimpasi sempadan
Oleh : H.A. Manap

SEJAUH mana langkah generasi belia remaja kita untuk menyeberangi atau melimpasi sempadan dunia kehidupan yang kini semakin diperkaya dengan berbagai ilmu dan kemahiran. Belia melimpasi sempadan! Satu harapan dan keinginan besar yang mahu diwujudkan di kalangan generasi belia remaja kita. Segalanya akan bermula dari kalangan generasi belia remaja kita, yang mempunyai bekalan ilmu pengetahuan masa kini dan kecekapan diri yang serasi dengan perubahan zamannya. Mungkin agak ambitious harapan dan cita-cita tersebut akan tetapi inilah yang mesti kita lakukan sekarang supaya kita mampu mewujudkan generasi yang kompetitif dan tahan lasak. 'Berfikir secara global bertindak secara glokal'. Maknanya sekarang adalah era yang penuh dengan persaingan, yang mahu diwujudkan ialah generasi yang bersaing dan mampu mewujudkan pembaharuan dan perubahan besar dalam kehidupan dan perubahan anjakan paradigma baru. Perubahan dan persaingan apa yang sehingga kita memerlukan generasi belia remaja yang melimpasi sempadan. Dalam konteks kehidupan kita ini ada beberapa perkara yang boleh dijadikan sebagai asas untuk berkembang antaranya ialah kualiti generasi itu sendiri, kemahiran, kesempatan, peluang, tindakan dan ancaman. Berdasarkan kepada beberapa faktor inilah kita perlu kepada mengasuh dan membimbing generasi belia remaja kita supaya mampu mengenali dan sanggup berubah ke arah yang lebih produktif dan dinamik.

MODEL POSITIF

Model yang akan dilahirkan adalah model yang menjadi kebanggaan masyarakat dan negara. Model yang akan mampu memperlihatkan suatu gambaran akan kemampuan dan kualiti yang kita ada. Kualiti seperti ini perlu dalam mengharungi apa jua perubahan sama ada ia berlaku secara mendadak atau bagaikan arus gelombang yang datangnya secara perlahan menyerap dalam kehidupan.

Globalisasi yang kita lalui sekarang ini banyak mewujudkan berbagai karenah kehidupan, sama ada ia berupa yang positif mahupun yang negatif, ia menjadi perubahan yang menghimpit ruang lingkup kehidupan kita yang menyebabkan ruang tanpa sempadan wujud. Dinamik sistem komunikasi dan telekomunikasi menyebabkan cara berfikir manusia berubah. Kita sebenarnya sedang berhadapan dengan suatu realiti baru yang amat terbuka dan mencabar. Apakah minda kita terutama di kalangan generasi muda mempunyai keinsafan tinggi terhadap upaya bangsanya atau sedang dilalaikan dengan hal remeh-temeh dan mengalami ketirisan nilai dan etika yang parah. Al-Qur'an memberikan asas jelas bahawa : "Allah tidak mengubah nasib sesuatu bangsa melainkan bangsa itu sendiri mengubah dirinya." (Surah Ar Ra'd). Hadirnya generasi belia remaja kita sebagai suatu kumpulan di kalangan warga umat manusia adalah suatu fitrah. Allah menjadikan manusia itu berbangsa-bangsa supaya berlaku proses berkenalan. Allah berfirman yang bermaksud : "Wahai umat manusia Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berpuak-puak supaya kamu berkenalan. Sesungguhnya semulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa." (Surah Al Hujuraat, ayat 13). Allah memberikan prasyarat bahawa yang terbaik di kalangan bangsa ini ialah orang yang muttaqin. Jiwa takwa apabila disuburkan kepada generasi belia remaja kita akan merubah minda dan wataknya bahawa ukuran terbaik ini perlu ada dalam menguasai ilmu pengetahuan, kualiti kepemimpinan dan pengikut yang baik, menyediakan suasana persekitaran dan budaya hidup yang kondusif, merintis jalan dakwah yang dinamik dengan tidak saja menyantuni dakwah secara lisan, tetapi menekuni dakwah hal yang membawa kesan perubahan kepada kualiti diri generasi belia remaja itu sendiri.

BELIA BERILMU

Konsep belia remaja kita yang menjadikan ilmu dan akhlak sebagai dukungan utama dalam binaan kepemimpinan dan kepengikutan bakal meletakkan jihad ilmu sebagai yang paling utama.

Daya kepemimpinan dan pengikutan yang amanah sebagai teras dan menyediakan persekitaran budaya yang sihat sebagai landasan. Jika dapat dilakukan dengan bijaksana, generasi belia remaja, bakal menjelma sebagai umat yang dihormati dan diteladani. Justeru dalam melalui proses kehidupan sedemikian ini, generasi muda belia perlu bersiap dengan menambahkan ilmu pengetahuan, kecekapan dan kemahiran di berbagai bidang, di samping memperdalam hingga ke tahap yang membolehkan mereka menjadi pesaing yang mempunyai kekuatan. Keupayaan untuk berfikir secara lebih konstruktif dan kreatif juga merupakan elemen penting dalam mengangkat keupayaan diri di tengah-tengah pergolakkan yang berlaku. Inilah yang dinamakan perubahan yang menuntut kemahiran, kecekapan dan ketinggian pengetahuan.

Kita perlu berusaha gigih dengan mengangkat kekuatan daya fikir kita. Justeru sekarang adalah masanya bagi generasi muda remaja kita menjadi generasi muda yang bukan setakat diiktiraf di tempat kita sendiri malahan ia perlu kepada pengiktirafan dunia antarabangsa. Maknanya kita akan melihat lahirnya generasi yang melimpasi sempadan dalam erti kata menyumbang ke arah perluasan ilmu dan kemahiran sejagat. Rahsia kejayaan bukan mudah untuk diperolehi, ia memerlukan kekuatan iltizam dan keampuhan semangat. Memiliki akan kemampuan untuk berubah dan perubahan itulah nantinya menjadi modal ke dimensi baru dalam ruang lingkup kehidupan global ini. Pada waktu yang sama tunjang kepada kemampuan berubah ialah bagaimana kita menggerakkan daya fikir kita ke satu tahap yang boleh membantu kita menjadi pesaing yang hebat dan berupaya tinggi. Persaingan yang dimaksudkan tidak dapat tidak akan menuntut berbagai keperluan. Namun keperluan yang sudah pasti menjadi hal utama ialah sejauh mana kita mempunyai kualiti diri yang bersendikan ketinggian ilmu pengetahuan. Inilah sepatutnya yang menjadi pengukur kepada kemampuan kita bersaing. Dalam banyak hal pun kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa kemahiran diri itu mestilah bertunjang kepada ketinggian ilmu pengetahuan yang dimiliki.

Sebagai anggota masyarakat yang akan lahir sebagai pesaing yang hebat dan mempunyai kualiti yang tinggi, kita akan menjadi penggerak kemajuan dan perubahan sosial. Pada waktu yang sama sebenarnya laluan kehidupan yang kita lalui ini tidak pernah sunyi dari sebarang cabaran, sama ada ringan, berat, susah dan menyulitkan. Untuk menghadapi semua ini ia perlu kepada keyakinan diri dan bagaimana strategi untuk menghadapinya. Ada orang bila berhadapan dengan keadaan sedemikian tidak akan mudah gopoh atau gelabah malahan ia akan melihat bagaimana sepatutnya ia ditangani. Sedangkan pada waktu yang sama ada orang melihat cabaran sebagai beban dan suatu yang melemahkan emosi dan jiwanya.

Sebab itu kita akan melihat ada orang menghadapi kehidupan dengan tenang, ada yang bersikap gelojoh dan gopoh dan berbagai lagi yang rata-rata mencerminkan nilai keperibadian seseorang. Kerana itu jadikanlah cabaran sebagai suatu perangsang untuk menjadi cemerlang dan bukannya menjadi penghalang. Inilah juga ramuan dan resipi untuk menjadi bekalan generasi muda belia berhadapan dengan arus dan gelombang perubahan globalisasi, yang mana generasi muda belia diharapkan akan dapat menjadi pemain yang aktif dan dinamik. Limpasilah sempadan kehidupan ini walau ke mana pun arah tujunya, asalkan kehidupan dan nilai diri tidak tergugat olehnya. Jadilah pembawa perubahan dan bukannya semata-mata menjadi pengikut yang tidak mengerti akan perubahan yang dilaluinya.

Kembali ke muka utama