|

KEIKHLASAN MENURUT ISLAM
IKHLAS terletak di dalam hati. Ia adalah amalan yang terpenting dalam seluruh gerak hati dan lebih-lebih lagi amalan seseorang itu tidak akan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala kecuali jika disertai oleh hati yang ikhlas. Ikhlas bermaksud mengharapkan keredaan Allah dalam segala gerak kerja. Ia menuntut penghindaran dari segala kepentingan diri dan duniawi. Amalan dibuat hanya semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala. Segala amal usaha tidak didorong oleh keinginan diri, baik dari segi zahir mahupun batin.
Ikhlas juga bererti amalan yang dilakukan bukan kerana mengharapkan ganjaran, pangkat, harta, pengaruh, nama, sanjungan orang ramai ataupun kerana bermotifkan dengki dan sebagainya. Secara ringkasnya, perbuatan yang tidak ikhlas ialah perbuatan yang mempunyai muslihat tertentu dan bukan dilakukan kerana Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Az-zumar ayat 2 - 3, tafsirnya:
"Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur'an ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan memberi kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya. Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik)."
Asas keikhlasan bagi sesuatu pekerjaan ialah meniatkan diri dalam segala amalan dan pekerjaan semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala. Manakala maksud niat ialah terdetiknya kemahuan seseorang untuk mencapai matlamat tertentu yang menjadi penggerak kepada kemahuan seseorang untuk segera membuat sesuatu pekerjaan.
Matlamat serta tujuan yang menjadi penggerak sesuatu pekerjaan memang banyak dan pelbagai. Ada yang bersifat benda dan bukan benda, individu dan kumpulan, duniawi dan ukhrawi. Ada yang bertaraf rendah dan ada pula bertaraf tinggi dan mulia. Ada yang berkaitan dengan kemahuan nafsu. Ada pula yang berkaitan dengan kelaziman akal atau roh. Ada yang terlarang, diharuskan, sunat dan ada pula yang wajib.
Orang mukmin yang sebenar ialah orang yang hatinya selalu dipengaruhi oleh kehendak agama. Kehendak ini mengatasi kehendak hawa nafsu. Hasrat untuk memperolehi ganjaran akhirat mengatasi hasrat untuk memperolehi ganjaran dunia. Orang mukmin lebih mengharapkan kurnia Allah Subhanahu Wata'ala dari mendapat kurnia manusia. Niat, perkataan dan perbuatan mereka semuanya dijuruskan untuk Allah Subhanahu Wata'ala. Sembahyang, ibadat, hidup dan mati seluruhnya hanyalah kerana Allah. Inilah gambaran amalan yang dikatakan ikhlas.
Keihklasan juga merupakan tauhid yang sempurna kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Ini bermaksud penjurusan segala ibadat dan permohonan bantuan hanya kepada Allah semata-mata. Ikhlas ialah merealisasikan apa yang diungkap oleh Allah dalam Al-Qur'an seperti mana dijelaskan dalam Surah Al Faatihah ayat 5, tafsirnya :
"Dan hanya kepada Engkau kami sembah dan kepada Engkau kami memohon pertolongan."
Imam Ghazali ada menerangkan mengenai niat, ikhlas dan juga jujur dalam kitabnya 'Ihya Ulumuddin' iaitu para pemilik hati yang celik dan subur dengan keimanan serta kefahaman mengenai Al-Qur'an merumuskan bahawa kebahagiaan tidak akan dapat diperolehi kecuali dengan ilmu pengetahuan dan ibadat. Umumnya, manusia akan celaka kecuali berilmu. Orang yang berilmu juga akan celaka kecuali beramal. Manakala yang berilmu pun akan bernasib malang kecuali ikhlas.
Sesungguhnya amalan tanpa disertai dengan niat yang ikhlas menjadi sia-sia. Niat tanpa digandingi oleh keikhlasan pula menyamai dari sifat riyak. Ini setara dengan sifat nifaq bahkan juga derhaka. Lebih jauh lagi, keikhlasan tanpa kejujuran juga tidak akan ke mana-mana. Allah Subhanahu Wata'ala menjelaskan bahawa keadaan ini akan membawa kepada kecuaian. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Furqaan ayat 23, tafsirnya :
"Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik) lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan."
Amalan tanpa ikhlas ibarat rangka yang tidak bernyawa. Sedangkan Allah Subhanahu Wata'ala hanya menghargai amalan yang benar-benar dilakukan dengan ikhlas, bukan sekadar rupa atau bentuk lahirnya sahaja. Allah tidak menerima amalan berbentuk musyrik. Dalam hadis ada menyatakan, diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :
"Allah tidak melihat kepada anggota tubuh dan rupa kamu tetapi ia menilik hati kamu." Baginda menunjukkan dengan jari ke arah dada Baginda dan berkata, "Taqwa itu ada di sini, taqwa itu ada di sini, taqwa itu ada di sini."
Penegasan Islam mengenai kepentingan ikhlas serta keperluan meluruskan niat dan hala tuju hanya kepada Allah, bukanlah kerana sifat fanatik, tetapi kerana sifat tersebut penting untuk mencapai kesejahteraan dan keselamatan hidup dalam masyarakat. Rata-rata bencana dan krisis yang menimpa umat adalah disebabkan oleh golongan yang bermuka-muka, pentingkan dunia dan tidak pernah berusaha untuk mencari keredaan Allah Subhanahu Wata'ala. Golongan ini sanggup mengorbankan apa sahaja demi mencapai cita-cita peribadi mereka.
Ajaran Islam melarang umatnya mengamalkan hidup dengan dua wajah. Satu wajah untuk Allah, manakala wajah yang lain untuk sekutu Allah. Islam tidak suka kepada fahaman seperti ini. Sesungguhnya sifat ikhlas menjadi tali pengikat yang memandu kehidupan Muslim dalam amalannya. Sembahyang, ibadat, hidup dan mati sememangnya hanya kerana Allah Subhanahu Wata'ala. Firman-Nya dalam Surah Al An'aam ayat 162 - 163, tafsirnya :
"Katakanlah, sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku dan hidup dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (diantara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)."
Kembali ke muka utama
|