Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Hulurkan sedekah seikhlas hati

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Agama Islam amat menggalakkan kita supaya hidup saling bantu-membantu dan tolong-menolong kerana dengan cara demikian dapat menimbulkan perasaan hormat-menghormati dan berkasih sayang sesama manusia, tidak mengira sama ada keluarga, kaum kerabat, rakan, jiran mahupun orang yang tidak dikenali. Dengan amalan demikian dapatlah kita nikmati kehidupan yang aman damai, sejahtera dan harmoni, baik dalam berkeluarga, bermasyarakat mahupun bernegara.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Maa-idah ayat 2, tafsirnya :

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat Azab Seksa-Nya bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya."

Salah satu cara untuk melaksanakan konsep tolong-menolong atau bantu-membantu ialah dengan bersedekah. Sesungguhnya sedekah sangat digalakkan oleh agama Islam. Ia merupakan salah satu cara kita menzahirkan kesyukuran dengan nikmat rezeki kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala. Amalan sedekah merupakan kunci untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagian hidup dan ianya juga merupakan latihan jiwa atau rohani agar kita hidup menjadi orang yang prihatin, belas kasihan, kasih sayang, jauh dari bersifat pentingkan diri sendiri dan sebagainya.

Ketahuilah bahawa orang yang bersedekah telah dijanjikan ganjaran yang sangat besar dari Allah Subhanahu Wata'ala, tidak kira banyak atau sedikit, apa yang penting ialah niat dan keikhlasan orang yang bersedekah. Dalam hal ini, ganjaran orang yang bersedekah itu sangat banyak, antaranya ialah :

- Terhindar dari mendapat suulkhatimah iaitu mati dalam keadaan yang buruk dan hina.
- Mendapat harta dan rezeki yang bertambah-tambah bahkan juga mendapat berkat.
- Mendapat ganjaran pahala seperti Perang Uhud, bahkan lebih besar dari itu.
- Diampunkan dosanya, dipermudahkan perhitungan amal, dipanjangkan umur.
- Dapat menyucikan jiwa.
- Diselamatkan dari api neraka.
- Mendapat naungan dari Allah Subhanahu Wata'ala di Hari Kiamat kelak.
- Mendapat penjagaan dari Allah Subhanahu Wata'ala serta menyelamatkannya dari bala dan maksiat.

Itulah keberuntungan orang-orang yang bersedekah, oleh itu orang yang enggan bersedekah, yang takut atau tidak mahu hartanya berkurangan, mereka sebenarnya berada dalam kerugian yang bukan sedikit, tetapi sangatlah besar. Dengan bersedekah kita boleh menikmati ganjaran yang begitu banyak dengan mudah serta berlipat ganda dari apa yang telah dikeluarkan, maka rebutlah peluang keemasan itu dengan cepat. Ketahuilah bahawa bersedekah itu umpama sesuatu perlaburan yang tidak akan mengalami kerugian walau sedikit pun, bahkan sangat menguntungkan, kita renunglah firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 261, tafsirnya :

"Bandingan derma orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas Rahmat Kurnia-Nya, Lagi Meliputi Ilmu Pengetahuan-Nya."

Sebagaimana kita ketahui bahawa pada zaman ini kita menghadapi banyak ancaman seperti wabak penyakit, tidak terkecuali bencana alam seperti banjir, gempa bumi, taufan, tanah susur dan sebagainya. Maka sebagai umat Islam kita menghadapi situasi-situasi tersebut dengan sabar dan tabah menghadapinya, di samping berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Selain itu perbanyakkanlah amalan bersedekah kerana sedekah itu boleh menyelamatkan kita dari marabahaya dan bencana serta mendapat perlindungan dari Allah Subhanahu Wata'ala.

Oleh itu hulurkanlah sedekah dengan seikhlas hati sama ada kepada ahli keluarga atau kepada sesiapa yang memerlukan. Lebih-lebih lagi di negara kita banyak kemudahan untuk kita menghulurkan sedekah atau derma, seperti melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), tabung-tabung kutipan derma yang telah ditempatkan di tempat-tempat yang khusus seluruh negara dan seumpamanya. Inilah peluang kita untuk meraih keuntungan dan ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga kita mendapat naungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala dan mudah-mudahan negara kita dihindari dari apa jua musibah. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 264, tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman jangan rosakkan pahala amal sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang membangkit, seperti rosaknya pahala amal sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riyak). Dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat."

Kembali ke muka utama